Padi dan maruah petani - Utusan Malaysia

Padi dan maruah petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU sawah padi dan hasil yang diperoleh oleh petani sudah berlarutan sejak dua, tiga minggu lepas. Ia bermula dengan penyusutan keluasan sawah padi di beberapa negeri yang turut menjejaskan pengeluaran padi untuk menampung keperluan makanan utama negara.

Apabila Kedah dijangka ‘hilang’ status Jelapang Padi negara, maka negeri-negeri lain yang ada tanaman padi tampil hendak menggantikan Kedah. Kedah kini mempunyai keluasan 82,968 hektar padi manakala Perlis 17,717 hektar. Kedua-dua negeri ini diletakkan di bawah empat wilayah iaitu Wilayah 1 bagi Perlis, Wilayah 2 (Jitra), Wilayah 3 (Pendang) dan Wilayah 4 (Kota Sarang Semut).

Kawasan penanaman padi terbesar di Malaysia ini diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda. Rancangan Pengairan Muda yang bermula pada hujung 1960-an mengairkan kawasan padi di kesemua wilayah tanaman padi di Perlis dan Kedah yang membantu petani mengusahakan sawah mereka dua kali setahun.

Kita dapat melihat betapa sejak bermulanya tanaman padi dua kali setahun, petani menjadi tidak menang tangan. Mereka juga sudah mula meninggalkan kaedah tradisional sekitar 1980-an kerana penggunaan peralatan moden termasuk jentera menuai yang menjimatkan masa dan tenaga.

KETUM

Malah, sudah banyak kali dibayangkan tentang usaha hendak menanam padi lima kali dalam masa dua tahun tetapi sampai sekarang belum terlaksana kerana pelbagai kekangan. Masalah masa, benih padi dan kawalan penyakit masih membelenggu petani.

Apa-apa pun, petani tidak kira di mana sekalipun sentiasa menghadapi masalah dalam tugas mereka. Saya percaya, jika tidak kerana pelbagai bentuk bantuan diberikan oleh kerajaan, sudah ramai petani meninggalkan bidang ini kerana keuntungan diperoleh bukanlah banyak. Mereka pula terpaksa berdepan pelbagai risiko sejak padi mula ditanam sampailah ke hari tuaian.

Maka tidak hairanlah ada dalam kalangan petani menjual tanah sawah mereka jika ada tawaran menarik. Tidak hairanlah juga ada dalam kalangan petani menebus guna tanah dengan tanaman lain seperti mempelam harum manis dan ketum. Sesiapa pun tidak akan melepaskan peluang jika mereka memperoleh keuntungan daripada membiarkan tanah tidak diguna langsung sekiranya ada kudrat. Dalam keadaan hasil padi yang berisiko, tidak mustahil tanaman lain akan diganti jika hasilnya lebih lumayan. Contohnya, jika sepapan petai boleh dijual sampai RM1.50, tidak mustahil petani akan menggantikan dengan tanaman tersebut suatu ketika nanti.

CUKUP MAKAN

Pesawah padi ada maruahnya. Maruahnya terletak pada usaha berbanding dengan ganjaran yang diperoleh setelah berpenat-lelah membanting tulang. Petani yang sekadar memiliki tanah bawah tiga ekar hanya cukup makan. Pembahagian tanah kepada anak-anak menjadikan milikan tanah bagi setiap anak petani semakin mengecil. Golongan muda yang masih bergelumang hidup mereka sebagai petani mungkin kerana terpaksa berikutan tidak ada peluang memperoleh pekerjaan lain.

Sebenarnya mereka inilah yang perlu dididik supaya kekal menjadi petani kerana usaha golongan tersebut untuk menambah bahan mentah negara sekali gus mengelak lambakan import beras luar negara. Oleh itu, segala permasalahan dalam bidang pertanian membabitkan padi mesti diberi perhatian serius.

Kita memang tidak boleh mengelak bencana alam seperti kemarau dan banjir. Tetapi dalam soal-soal lain seperti menghasilkan padi tahan penyakit, padi yang sukar tumbang, kawalan makhluk perosak dan bekalan benih berkualiti serta tempoh matang padi lebih singkat mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak berwajib demi menjaga kebajikan petani.

Apa yang sering menjadi masalah saban tahun ialah serangan bena perang yang menjejaskan hasil padi. Sudah sekian lama serangan penyakit ini berlaku terutama ketika padi hampir dituai dan seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya. Maka tidak hairanlah ada sesetengah petani menuai sebelum padi cukup matang kemudian menjualnya melalui proses pemotongan padi yang cukup tinggi. Alasan petani, jika tunggu betul-betul matang, padi sudah bertukar menjadi hampa.

Inilah yang perlu diambil kira demi maruah petani!

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN