‘Mat Salih’ datang Malaysia sebab rawat gigi! - Utusan Malaysia

‘Mat Salih’ datang Malaysia sebab rawat gigi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA viral kisah sebutan bahasa Inggeris Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang diperbetulkan oleh artis Adibah Noor, teringat pula saya kepada perbualan dengan seorang penumpang dari Australia. Kejadian ini berlaku sebelum musim Covid-19 lagi. Saya memgambilnya di sebuah hotel di tengah-tengah Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan mahu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketika sampai di hotel tersebut, saya nampak tiga mat salih berdiri dengan tiga beg besar. Dalam hati saya berkata, arghh sudah. Mana muat kereta aku ini dengan beg lagi. Rupa-rupanya seorang sahaja yang naik. Lelaki muda. Lega saya!
Perjalanan jauh ke KLIA takkan nak disia-siakan dengan sekadar mendengar radio, maka saya pun mula bersembang.
Bahasa Inggeris saya tidaklah bagus, ‘paras hidung’ saja agaknya. Sebutan pun mungkin ‘ke laut dalam’, jauh sekali slang bunyi Amerika atau London, memang tidaklah. bahasa Inggeris bunyi Melayu saja.
Apa pun mujur mat salih ini faham bila kami bersembang. Rupa-rupanya dia hendak balik ke Australia, dua lagi mat salih tadi ialah ibu bapanya yang masih meneruskan percutian di Kuala Lumpur.
Katanya, ia bukan kali pertama datang ke Malaysia, sudah banyak kali. Cuma emak ayahnya saja pertama kali menjejakkan kaki di ibu kota ini. Saya tanya kepadanya, apa yang membuatkan dia suka Malaysia? Jawapannya, memang mengejutkan saya.
Kata pemuda ini, dia banyak kali ke Malaysia sebab mahu mendapatkan rawatan gigi di sini sebab harganya sangat murah. Jauh beza dengan kos di Australia.
“ Mula-mula datang Malaysia, saya melancong sahaja. Kali kedua datang, saya buat rawatan gigi.
“Kali ketiga datang, saya bawa isteri pula untuk tujuan sama. Ini kali keempat saya datang dan bawa emak ayah untuk dapatkan rawatan gigi juga.
“Pendek kata, kami ke sini kerana suka Malaysia atas banyak faktor dan rawatan gigi yang murah,” kata mat salih ini.
Saya mengusiknya mengatakan patutlah gigi dia cantik. Orang Malaysia yang tolong cantikkan rupanya. Setibanya di KLIA, selepas menurunkan beg dan menerima tambang termasuk tips yang diberi, dia sempat memuji saya.
Katanya, dia belum pernah menaiki Grab yang dipandu perempuan, malah sangat seronok berbual kerana saya ramah tamah melayannya.
Saya tersengih saja sambil dalam hati berkata, mujur kau faham apa aku cakap dengan slang Melayu aku ini. Kalau tidak, memang kita sama-sama jadi tunggul kayu dalam keretalah! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN