Kenapa sut biru muda? - Utusan Malaysia

Kenapa sut biru muda?

Seri Paduka semasa menjadi Tengku Mahkota Pahang berkenan melancarkan Majlis Perbandaran Kuantan pada 1 September 1979.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adakah apa-apa signifikan berkenaan sut warna biru muda yang dikenakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan, Ahad lalu?

Ini kerana sut warna sama dikenakan Seri Paduka dalam majlis lebih 40 tahun lalu pada 1 September 1979. Ketika itu, baginda ialah Tengku Mahkota Pahang juga selaku Pemangku Raja Pahang telah menyempurnakan majlis pemasyhuran Perbandaran Kuantan.

Berkenaan sut warna biru muda ini, Menteri Besar, Datuk Seri Utama Wan Rosdy Wan Ismail ada menyebutnya pada awal ucapan sempena majlis pemasyhuran itu.

“Sesungguhnya, keberangkatan Tuanku ke majlis pagi ini telah mengimbau kembali peristiwa hampir sama berlaku lebih 40 tahun lepas, pada 1 September 1979.

“Ketika itu, Tuanku masih bujang, usia baru mencecah 20 tahun. Tuanku berangkat sebagai Pemangku Raja Pahang dalam pakaian sut berwarna biru muda hampir sama Tuanku pada hari ini telah menyempurnakan pelancaran Majlis Perbandaran Kuantan,” sembah kata Wan Rosdy.

Serentak itu di pentas utama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berada di sisi kelihatan mengusik sambil berkata sesuatu ke arah Seri Paduka dan kelihatan Seri Paduka turut tersenyum.

“Pada hari ini, lebih empat dekad kemudian, dinaikkan tarafnya sekali lagi kepada sebuah bandar raya atau city, dan akan disempurnakan pemasyhurannya oleh baginda Tuanku juga.

“Bak kata pepatah, lain hulu, lain parang, lain dahulu, lain sekarang. Sepertimana bezanya status Kuantan sekarang, begitulah juga baginda Tuanku yang kini berpermaisurikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sejak lebih tiga dekad lepas.

“Keberangkatan Raja Permaisuri Agong mengiringi keberangkatan Tuanku pagi ini serta keberangkatan Paduka Anakanda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, telah memberi makna yang lebih besar kepada seluruh majlis pada pagi ini,” sembah kata Wan Rosdy lagi.

Sungguhpun tiada jawapan setakat ini tentang sut warna biru muda Seri Paduka, namun yang pasti Majlis Permasyhuran Bandaraya Kuantan berjalan lancar dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Begitu ketat tahap pematuhannya sehinggakan kapasiti di dalam dewan pun dihadkan kehadiran jemputan kepada cuma 100 orang dengan susunan kerusi dan penjarakan fizikal sangat jelas sesama mereka.

Oleh kerana jumlah yang kecillah mengakibatkan apabila ada sahaja kata-kata Wan Rosdy yang menarik perhatian dalam ucapannya, disambut tepukan tetapi tidak lagi segempita sepertimana majlis-majlis besar pra-Covid-19 dahulu.

Demi menguatkan lagi usaha pembendungan gejala Covid-19 juga, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar program asal melibatkan majlis santapan atau jamuan selepas majlis pemasyhuran itu ditiadakan.

Maka, sangat tepatlah penganjuran Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan itu yang sebelum ini telah ditunda beberapa kali sejak Kabinet meluluskan kenaikan tarafnya pada 8 Mei 2019.

Lepas sudah halangan pertama. Seterusnya usaha meredakan kebimbangan segelintir penduduk Kuantan tentang kebarangkalian akan berlaku kenaikan cukai pintu, lesen perniagaan, kadar sewaan premis dan caj letak kenderaan.

Dalam hal ini, sudah pasti kerajaan negeri serta Datuk Bandar pertama yang baharu dilantik, Datuk Hamdan Hussin mengambil perhatian berat mengenainya. Apatah pula Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar tumpuan perlu diberi kepada usaha memelihara kesejahteraan penduduknya.

Ekoran itu, hanya sehari selepas majlis pemasyhuran berkenaan, kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd. Rahim Muda mengumumkan tidak akan ada sebarang kenaikan kepada perkara-perkara yang dibangkitkan.

Yang lebih utama dalam meraikan Kuantan sebagai bandar raya katanya, usaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan bandar raya sejajar status terkininya.

Paling ketara ialah aspek kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, sama ada sebelah pagi atau petang. Jambatan Putra yang dirasmikan pada malam Ahad sama, segera meleraikan sebahagian daripada masalah itu.

Dengan adanya ia sebagai jambatan kedua dan alternatif menyeberangi Sungai Kuantan di bandar raya ini telah mengurangkan dengan ketara jumlah kenderaan sekali gus melancarkan perjalanan pergi-balik menggunakan jambatan pertama, Jambatan Tanjung Lumpur yang sentiasa sahaja sesak sebelum ini.

Ke arah menangani isu kesesakan lalu lintas ini juga, memang ada dalam perancangan bagi memperbanyakkan lagi pembinaan jejambat di persimpangan-persimpangan jalan utama.

Bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan pula, telah pun ada saranan membina bangunan parkir bertingkat termasuk di kawasan sesak sekitar Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Pendek kata, semua telah dirancangkan dan ada pula sesetengah dalam pelaksanaan demi memastikan bandar raya Kuantan terus kekal sebagai kawasan selesa dan sejahtera dihuni selain menjadi tarikan pelancong dan pelabur ke situ.

Penulis ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN