C4, Bersih gesa dedah segera siasatan Azam Baki

C4, Bersih gesa dedah segera siasatan Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan termasuk menggesa supaya hasil siasatan terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki segera didedahkan.

Menerusi kenyataan bersama, gesaan tersebut dibuat susulan kehadiran Azam dalam mesyuarat Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang didakwa menimbulkan kebimbangan terhadap peranannya dalam mesyuarat peringkat tinggi itu memandangkan pelbagai dakwaan terhadapnya masih belum diselesaikan.

Mereka turut melahirkan kekesalan kerana dapatan siasatan terhadap Azam sehingga kini masih belum didedahkan kepada umum.

“Kami menggesa Jawatankuasa Siasatan Khas yang menyiasat Azam mendedahkan dapatan siasatan kepada umum dengan segera bagi membolehkan penelitian awam dilakukan secara telus,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, tuntutan kedua ialah kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 2(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“RCI itu perlu dipengerusikan oleh bekas anggota badan kehakiman bagi menyiasat dakwaan membabitkan mafia korporat, penglibatan Azam dalam dakwaan berkenaan serta isu pegangan saham.

“C4 Center dan Bersih turut menuntut supaya proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak lagi diletakkan di bawah kuasa Eksekutif, sebaliknya dipindahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) di Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut mereka, pelantikan tersebut perlu dibuat berdasarkan kriteria dan proses yang jelas, manakala proses penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM hendaklah mengikut mekanisme sama seperti penyingkiran hakim Mahkamah Persekutuan.

Tuntutan keempat pula ialah meletakkan SPRM di bawah pengawasan PSSC dengan jawatankuasa itu diberikan kuasa menjalankan siasatan, memanggil saksi, mendapatkan dokumen serta mengesyorkan tindakan terhadap sebarang salah laku.

Menurut kenyataan itu, tempoh perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dicemari pelbagai kontroversi dan dakwaan salah laku yang membabitkan dirinya serta SPRM.

Mereka berpandangan, NFCC tidak boleh mendakwa mempunyai kredibiliti atau autoriti dalam menangani isu jenayah kewangan sekiranya individu yang berulang kali dikaitkan dengan dakwaan sedemikian masih menganggotai badan penasihat berkenaan.

“Pada masa sama, kegagalan institusi berkaitan mengambil tindakan terhadap Azam dan kepimpinan SPRM hanya menjadikan kehadirannya dalam NFCC lebih membimbangkan.

“Keadaan ini memberi gambaran bahawa kerajaan tidak memandang serius isu rasuah dan jenayah kewangan, selain menimbulkan persepsi wujud layanan istimewa terhadap Azam,” kata kenyataan itu.

C4 Center dan Bersih turut mempersoalkan penjelasan Jabatan Perdana Menteri bahawa Azam merupakan ahli Lembaga Penasihat NFCC sejak 2024.

Menurut mereka, penjelasan itu hanya menguatkan persoalan mengapa beliau masih dibenarkan kekal menganggotai lembaga berkenaan walaupun berdepan pelbagai siasatan.

Pada masa sama, mereka turut mempersoalkan kedudukan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar yang menganggotai Lembaga Penasihat NFCC bersama Azam, sedangkan beliau juga mengetuai jawatankuasa yang menyiasat bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

“Keadaan tersebut berpotensi menimbulkan konflik kepentingan serta mencetuskan keraguan terhadap ketelusan dan keberkesanan siasatan yang dijalankan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC kerana beliau dikaitkan dengan beberapa isu termasuk dakwaan membabitkan mafia korporat dan pemilikan saham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN