Filem Arab Mr VIP angkat Malaysia ke layar Timur Tengah - Utusan Malaysia

Filem Arab Mr VIP angkat Malaysia ke layar Timur Tengah

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menjadi pilihan penerbit filem antarabangsa apabila filem terbaharu dari dunia perfileman Arab berjudul Mr VIP menjalani penggambaran di beberapa lokasi sekitar ibu negara sejak 21 Jun lalu.

Filem terbitan syarikat produksi gergasi Arab, Synergy Plus itu diterbitkan dengan kerjasama Inifinity Films yang diterajui Abdulrahman Suud, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai antara lokasi utama dalam naskhah berkenaan.

Diarahkan Mootaaz El Tomy, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon terkenal Mesir termasuk Karim Abdel Aziz, Yasmine Sabri dan pelawak popular, Mostafa Khater.

Penggambaran yang berlangsung secara tertutup tanpa sebarang hebahan dijangka mengambil masa lebih dua minggu, sejajar dengan polisi ketat produksi bagi menjaga kerahsiaan projek tersebut.

Lebih membanggakan, projek berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selain kerjasama Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdulrahman yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif berkata, lebih 40 peratus penggambaran filem itu dilaksanakan di Malaysia, malah proses pascaproduksi juga akan dijalankan di negara ini.

“Sepanjang penggambaran, kami cuba mengetengahkan keindahan Malaysia sebagai latar utama filem ini, sekali gus mempromosikan sektor pelancongan, budaya dan keunikan rakyat negara ini kepada penonton di Timur Tengah.

“Kami amat menghargai sokongan MOTAC dan semua agensi berkaitan yang banyak membantu memastikan kelancaran projek berskala besar ini.

“Hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Mesir turut menjadi antara faktor kami memilih negara ini sebagai lokasi penggambaran,” katanya.

Menurut Abdulrahman, kerjasama antara Synergy Plus dan Inifinity Films diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak penerbitan dari negara Arab untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran pada masa hadapan.

“Harapan kami agar lebih banyak syarikat penerbitan filem dan televisyen Arab menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama penggambaran.

“Saya sendiri mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Malaysia kerana membesar di sini sejak berusia lapan tahun selepas keluarga berpindah ke Kuala Lumpur pada 1992.

“Saya bersekolah, membina kerjaya dan mencari rezeki di Malaysia. Setiap kali berada di luar negara, saya sentiasa rindu untuk kembali ke sini,” katanya.

Mengulas mengenai langkah produksi yang mengadakan penggambaran secara tertutup, Abdulrahman berkata, ia merupakan dasar yang ditetapkan pihak penerbit berikutan status Karim Abdel Aziz sebagai antara pelakon paling berpengaruh dan bernilai tinggi di Mesir.

“Produksi sangat menitikberatkan aspek kerahsiaan. Sebarang gambar atau rakaman di lokasi tidak dibenarkan dikongsi sewenang-wenangnya kerana ia sebahagian daripada polisi syarikat.

“Karim ialah antara pelakon paling popular dan mempunyai pengaruh besar dalam industri perfileman Arab,” katanya.

Menurut beliau, penggambaran Mr VIP di Malaysia membabitkan seramai 220 kru tempatan serta 33 kru dan pelakon dari Mesir.

Filem bergenre komedi sosial itu turut menyaksikan Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri kembali digandingkan sebagai suami isteri selepas kejayaan kerjasama mereka sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN