DALAM sejarah negara, belum pernah seorang isteri bekas Perdana Menteri diheret ke mahkamah atas pertuduhan melakukan jenayah rasuah. Ini berlaku dalam kes Pendakwa Raya lwn Datin Seri Rosmah Mansor, yang kini baru sampai ke penghujung.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Kes ini mula dibicarakan pada 5 Februari 2020. Pada 11 Disember tahun lalu, pasukan pendakwaan menutup kesnya setelah memanggil 23 saksi memberi keterangan. Perbicaraan di mahkamah berlangsung selama 34 hari.
Pada Khamis lalu, mahkamah memutuskan pasukan pendakwaan berjaya mengemukakan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Dengan itu, Hakim Bicara Mohamed Zaini Mazlan memanggil tertuduh membela diri dengan memberinya tiga pilihan, iaitu berdiam diri, memberi keterangan tanpa bersumpah dan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Jika tertuduh mengambil pilihan kedua, dia tidak boleh disoal balas tetapi nilai keterangannya adalah rendah, tidak sama sekiranya dia memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi (yang bermakna dia boleh disoal balas oleh pasukan pendakwaan).
Dari sudut undang-undang, apabila seorang tertuduh dipanggil membela diri, dia masih berpeluang memberi keterangan dan membuat hujah dengan tujuan menimbulkan keraguan munasabah kepada kes prima facie pasukan pendakwaan itu. Jika dia berjaya berbuat demikian, dia berhak dibebas dan dilepaskan. Sebaliknya jika dia gagal menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan, keputusan prima facie awal itu boleh membawa kepada sabitan.
Di permulaan kes yang berlangsung pada 15 November 2018, tertuduh mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin (bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd.) menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor. Wang sogokan itu bertujuan menolong syarikat berkenaan mendapatkan satu projek membekalkan tenaga solar (bernilai RM1.25 bilion) kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Kesalahan itu dikatakan berlaku di tiga lokasi berbeza antara Januari 2016 hingga September 2017.
PENJARA 20 TAHUN
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman (jika sabit kesalahan) penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Setelah tertuduh dipanggil membela diri pada 18 Februari lalu, Jagjit memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil lima atau enam saksi memberi keterangan bagi pihak tertuduh yang dijadualkan bermula pada 9 Jun ini.
Ketika beliau ditemu bual oleh wartawan di luar mahkamah selepas itu, Jagjit berkata, pihaknya mungkin memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan bagi pihak tertuduh.
Satu perkara yang menarik dalam kes ini adalah sewaktu perbicaraan dijalankan pada 10 Februari lalu, hakim bicara membenarkan pasukan pendakwaan memainkan satu rakaman audio mengandungi ayat “Can I advise you something?” dan kemudian menerimanya sebagai keterangan boleh diterima (admissible evidence) walaupun ada bantahan keras oleh kedua-dua peguam bela tertuduh.
Hakim kemudian menjelaskan, walaupun keterangan rakaman audio itu boleh diterima, isu beratnya untuk maksud sabitan kes akan ditentukan olehnya di kemudian hari (“the weightage on the video recording will be determined later”).
Rakaman video itu dimainkan setelah saksi kelima pendakwaan (bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid) selesai membacakan pernyataan saksinya. Apabila Gopal Sri Ram menyoalnya sama ada dia boleh kenal pasti suara Najib dan tertuduh, Mahdzir menjawab, dia biasa dengar dan boleh mengecam suara mereka.
Selepas itu, Gopal Sri Ram meminta izin mahkamah memainkan rakaman audio bagi membolehkan Mahdzir membuat pengecaman kepada kandungan rakaman itu. Setelah selesai rakaman audio dimainkan dan tiba giliran Mahdzir disoal balas oleh peguam bela tertuduh, Jagjit bertanya sama ada benar atau pun tidak dia sekeluarga ada bercuti ke London pada Disember 2015?
Bila Mahdzir menjawab, “Ya”. Jagjit bertanya lagi sama ada Saidi ada memberinya sejumlah wang untuk perbelanjaan, yang dijawabnya “Tidak ingat.”
Mendengar jawapan itu, Jagjit mencadangkan Mahdzir berbohong kerana perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Saidi dalam keterangannya.
Bekas Menteri Pendidikan itu merupakan saksi terakhir bagi pasukan pendakwaan. Gopal Sri Ram kemudian menawarkan 10 saksi untuk dipanggil oleh pasukan pembelaan, termasuk Najib.
Seperkara lagi yang menarik dalam kes Rosmah ini adalah apabila prosiding jenayah ini dimulakan dahulu, bekas pegawai khas tertuduh (Rizal) turut dikenakan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek sama. Bagaimanapun, pada 8 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Rizal daripada segala pertuduhan tersebut setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.
Walaupun mungkin ada sesetengah pihak berasa perkara ini tidak adil bagi tertuduh, realitinya strategi sebegini menjadi amalan biasa bagi pasukan pendakwaan di seluruh dunia termasuk di negara ini. Apabila dalam satu prosiding jenayah, ada berapa orang yang dituduh melakukan kesalahan, pendakwa ada budi bicara menawarkan pembebasan kepada mana-mana tertuduh jika orang itu setuju menjadi saksi bagi pasukan pendakwa dan membantu pasukan pendakwaan mendapatkan sabitan ke atas mereka yang kekal menghadapi pertuduhan.
Mahkamah menetapkan sembilan hari untuk mendengar kes pembelaan iaitu tujuh hari pada Jun ( 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23) dan dua hari pada Julai (12 dan 15).
Teruslah ikuti kes ini kerana penghujungnya masih lagi menjadi tanda tanya.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










