KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengingatkan penduduk supaya mengutamakan keselamatan sekiranya perlu berkunjung atau berulang-alik ke Thailand susulan kejadian letupan bom di Tak Bai yang mencederakan dua rakyat Malaysia kelmarin.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya tidak berhasrat menghalang rakyat daripada memasuki negara jiran itu kerana ramai mempunyai urusan serta ahli keluarga di sana, namun mereka perlu lebih berwaspada.
Katanya, insiden keganasan di Wilayah Selatan Thailand bukanlah perkara baharu dan rakyat Kelantan sendiri sedia maklum mengenai situasi tersebut.
“Apa yang berlaku di Wilayah Selatan Thailand itu pernah berlaku sebelum ini dan rakyat kita sebenarnya tahu situasi berkenaan.
“Kita tidak bermaksud melarang rakyat Malaysia melancong ke Thailand, cuma harap mereka sentiasa berhati-hati ketika berada di negara itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, hubungan rapat antara Malaysia dan Thailand yang berkongsi sempadan menyebabkan ramai rakyat Kelantan mempunyai saudara-mara di negara jiran itu.
“Sebab itu kita tidak boleh menghalang pergerakan mereka ke sana kerana mereka mungkin mahu menziarahi sanak-saudara atau mempunyai urusan penting.
“Cuma dinasihatkan agar mereka hanya tumpukan kepada urusan berkenaan dan juga kepada aspek penjagaan keselamatan,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, dua rakyat Malaysia cedera selepas SUV dinaiki mereka terkena letupan IED yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai.
Sumber ISOC 4 berkata, mangsa dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd. Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38. – UTUSAN







