PETALING JAYA: Johor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi mengatasi semua negeri pada kadar 8.0 peratus dengan nilai ekonomi mencecah RM171 bilion pada 2025, sekali gus menyumbang hampir 10 peratus kepada ekonomi Malaysia.
Ini diikuti Pulau Pinang 7.3 peratus, Selangor 6.3 peratus dan Perak 5.7 peratus, turut mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.
Selain itu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, menyumbang 67.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengekalkan momentum pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah sebanyak RM1.74 trilion berbandinc RM1. 65 trilion pada 2024.
Menurutnya, prestasi itu disokong oleh pertumbuhan yang meluas merentasi semua sektor utama ekonomi.
“Sektor perkhidmatan, kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi dengan sumbangan 59.5 peratus, berkembang 5.4 peratus.
“Sektor pembuatan pula meningkat 4.5 peratus manakala penyumbang seterusnya kepada pertumbuhan ini adalah sektor pertanian merekodkan 2.2 peratus kenaikan.
“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh sederhana sebanyak 0.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2024.
“Sebaliknya, sektor pembinaan terus mengekalkan momentum sebagai sektor yang berkembang paling pesat, mencatatkan pertumbuhan 12.2 peratus didorong oleh pengembangan kukuh dalam semua segmen,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkembangan industri pusat data menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri ini, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
“Sektor perkhidmatan berkembang kukuh 9.9 peratus disokong subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang melonjak 20.8 peratus.
“Lonjakan ini mencerminkan perkembangan pesat infrastruktur digital susulan perkembangan pusat data serta pengukuhan aktiviti logistik di negeri ini.
“Subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan turut meningkat 6.7 peratus didorong oleh peningkatan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa yang terus merangsang perbelanjaan pengguna serta permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan,” ujarnya. – UTUSAN







