Tiada PN di Selangor – Noh - Utusan Malaysia

Tiada PN di Selangor – Noh

Noh Omar(kanan) bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dalam mesyuarat membincangkan memperkukuhkan Muafakat Nasional, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

TITIK persefahaman antara UMNO dan Pas bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis. Ketika itu, Pas memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding dan kerjasama itu berterusan di PRK DUN Seri Setia dan DUN Semenyih.

Kerjasama antara dua parti besar itu turut kelihatan apabila Muafakat Nasional (MN) dimeterai pada 14 September tahun lalu.

Malah, semangat MN di Selangor semakin erat apabila pembahagian kerusi antara kedua-dua parti selesai dibincangkan tanpa melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Malah, UMNO memberi kata dua kepada Bersatu Selangor agar menghormati kerusi tradisi mereka dengan tidak meletakkan calon.

Bagaimanapun, Bersatu Selangor memberi bayangan akan terus bertanding di kawasan ditandingi UMNO atas alasan tidak perlu memberi ruang kepada parti yang kalah bertanding pada pilihan raya umum lalu.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, SITI ROHAIZAH ZAINAL bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berhubung kemelut tersebut, baru-baru ini.

UTUSAN: Bersatu tidak benarkan UMNO bertanding di kerusi yang pernah kalah. Komen?
NOH: UMNO kalah di beberapa kawasan tetapi bangkit semula selepas adanya kerjasama dengan Pas menerusi MN. Sebagai contoh, di PRK DUN Semenyih, Bersatu ketika itu masih bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi kalah. Oleh demikian, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, lihat dahulu pada fakta kerana kalah bukan semestinya tidak boleh bertanding.

Jika Bersatu mahu bertanding di kawasan UMNO?
Terpulang kepada mereka tetapi kita telah mengadakan perbincangan dengan Pas dan setakat ini tidak melibatkan Bersatu. Sekiranya mereka tekad untuk meletakkan calon di kawasan UMNO, kita akan lawan mereka. Sebagai contoh, di Sabak Bernam. Ahli Parlimennya, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh telah keluar UMNO dan bersama Bersatu. Kawasan itu merupakan kerusi tradisi UMNO dan kita akan letakkan calon.

Wajar UMNO beri ruang kepada Bersatu?
Kerjasama dengan Pas ialah memperjuangkan Islam dan hak orang Melayu serta bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi pada masa sama tidak menafikan kepelbagaian kaum dan agama lain demi kesejahteraan negara. Bagaimanapun, apabila bercakap soal Melayu, tidak adil jika UMNO sahaja perlu berkorban. Semua ini perlu kerjasama semua parti sama ada UMNO, Pas mahupun Bersatu.

Bagaimana pembahagian kerusi di Selangor?
Setakat ini, pembahagian kerusi melibatkan dua proses iaitu peringkat negeri dan pusat. Di peringkat negeri, pembahagian kerusi boleh dianggap selesai dan kita telah pun berbincang dengan Pas untuk tidak bertembung sesama sendiri. Namun, sekiranya Bersatu ingin bertanding, mereka perlu bertanding di kawasan yang tidak ada UMNO dan Pas. Jika tidak, kita akan melawannya tetapi bagi Pas, terpulang kepada mereka. Buat masa ini, perbincangan hanya berkaitan MN, tiada istilah PN di Selangor.

Bagaimana parti komponen lain?
Perbincangan kerusi juga menitik beratkan komponen lain kerana ada UMNO, ada Barisan Nasional (BN) yang terdapat parti lain. Oleh demikian, perbincangan juga melihat kepada faktor tersebut. Parti-parti lain juga mempunyai pengaruh tersendiri dan mereka mewakili kaum-kaum
lain.

Apa prinsip MN di Selangor?
Prinsip UMNO untuk memastikan tiada pertandingan tiga penjuru di Selangor. Kita tidak menghalang Bersatu untuk bertanding dan sewajarnya jika ketiga-tiga parti ini dapat bekerjasama, itu lebih baik. Namun, Bersatu perlu bertanding di kawasan yang mereka menang sahaja dan tiada isu berhubung UMNO perlu beri peluang atau sebaliknya.

Kewujudan Perikatan Nasional (PN)?
MN dan PN adalah dua perkara berasingan. PN adalah kerjasama antara ahli Parlimen manakala MN persetujuan antara dua parti dan dihadiri oleh kedua-duanya. Apabila kerajaan dibubarkan, maka PN juga akan terbubar dengan sendiri tetapi MN akan terus kekal dengan kerjasama yang telah termaktub.

Sekiranya Bersatu mahu berbincang?
Kita tidak mempunyai masalah sekiranya mereka hendak mengadakan perbincangan tetapi setakat ini tiada. Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan segalanya kerana di peringkat negeri, kita telah selesai.

Sekiranya Pas bekerjasama dengan Bersatu?
Terserah kepada Pas untuk berbincang dengan sesiapa pun dan UMNO tidak akan terasa hati. UMNO mengamalkan prinsip yang mudah, iaitu terus memperkukuhkan kerjasama dan di mana
ada UMNO, akan ada Pas. Begitu juga sebaliknya.

Apa jadi jika MN tidak dapat didaftarkan?
Kita serahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan tetapi di peringkat negeri, kerjasama tersebut akan diteruskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN