Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal berlangsung Februari ini. Tidak banyak lagi masa yang tinggal. Debaran semakin terasa. Saya cuba memanfaatkan waktu yang ada membuat persiapan terakhir dan berharap beroleh kejayaan, insya-Allah.
Pandemik Covid-19 mengubah suasana dan kaedah pembelajaran dalam sekelip mata. Hal ini menjadi satu rintangan bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting seperti SPM.
Saban hari, banyak pendapat dan cadangan dilontarkan oleh pelbagai pihak. Ada yang mendesak SPM 2020 ditangguhkan sehingga jumlah kes harian Covid-19 lebih terkawal. Ada berpendapat, mesti diteruskan mengikut jadual sekarang. Pada waktu sama, ada mencadangkannya dibatalkan.
Bagaimanapun, dalam menghadapi setiap dugaan, kita mesti bersikap positif. Sesukar mana jua jalan yang harus kita tempuhi, kita mesti terus melangkah dengan tabah demi mencapai kejayaan.
Saya cuba berusaha setakat yang saya mampu sambil bermunajat kepada Allah SWT. Selain belajar sendiri dengan bantuan ibu dan kakak, saya mengikuti kelas dalam talian.
LEMBARAN BAHARU
Kelas dalam talian membuka lembaran baharu dalam sistem pendidikan kita. Tidak seperti sekolah harian, kita mesti lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada guru. Tanpa pemantauan daripada guru secara fizikal, pelajar mesti bijak mengatur waktu. Semua ini memerlukan dedikasi dan disiplin diri yang kuat.
Tidak mustahil pada masa hadapan, kelas dalam talian menjadi pilihan utama pelajar dan ibu bapa berbanding secara bersemuka setiap hari. Mungkin pelajar cuma perlu hadir ke sekolah atau pusat pengajian tinggi pada waktu-waktu tertentu sahaja. Contohnya, menghadiri kelas amali dan peperiksaan.
Diucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang berusaha keras mendidik anak bangsa dengan pelbagai cara khususnya guru-guru yang mengajar saya. Saya berdoa diberikan keberkatan dan pertolongan Allah SWT agar berjaya dalam menempuh cabaran ini.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










