PUTRAJAYA: Sebarang permohonan bantuan konsular membabitkan lima rakyat Malaysia yang ditahan di Jepun berkaitan kes dadah minggu lalu tertakluk kepada prosedur dan peraturan pihak berkuasa di negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia hanya dapat menyediakan khidmat konsular kepada individu terbabit sekiranya diperlukan, termasuk mengadakan lawatan bagi melihat kebajikan mereka sepanjang tempoh tahanan.
Menurut beliau, ini kerana pihaknya perlu menghormati prosedur undang-undang Jepun, termasuk dasar privasi yang diamalkan negara itu terhadap individu yang ditahan.
“Yang di Jepun itu kes dadah, jadi terpulanglah kepada pihak berkuasa dan kita cuma boleh memberikan khidmat konsular. Kita akan memberikan lawatan konsular dan khidmat konsular jika mereka perlukan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid Connected PV System) melibatkan Bangunan Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penahanan lima rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Kastam Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu atas dakwaan menyeludup dadah kokain seberat lima kilogram (kg).
Mengulas lanjut, beliau berkata, lawatan konsular tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya atas permintaan keluarga tanpa mendapatkan kebenaran individu yang ditahan, selaras dengan prosedur ditetapkan pihak berkuasa Jepun.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan keluarga yang mahu pihak kedutaan mengadakan lawatan bagi meninjau kebajikan atau keperluan individu terbabit supaya mendapatkan permohonan bertulis daripada mereka yang ditahan.
“Jadi, itu perlu dilakukan jika keluarga mahu kita adakan lawatan konsular untuk melihat kebajikan ataupun apa-apa yang perlu, minta supaya keluarga meminta kepada orang yang ditahan tersebut ataupun mereka yang terlibat tersebut membuat permohonan bertulis kepada pihak berkuasa di Jepun,” katanya.
Tambahnya lagi, Malaysia akan terus menghormati undang-undang tempatan negara lain dan tidak akan mencampuri urusan penguatkuasaan undang-undang yang berada di bawah bidang kuasa negara berkenaan. – UTUSAN











