Takut suatu hari saya terpaksa mengaku sudah tidak mampu lagi - Zoey Rahman - Utusan Malaysia

Takut suatu hari saya terpaksa mengaku sudah tidak mampu lagi – Zoey Rahman

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman mengakui berdepan ketakutan untuk memulakan kehidupan dari bawah sekali lagi selepas melalui pelbagai pengalaman membina perniagaan sendiri.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, dia tidak pernah membayangkan perlu kembali menjadi orang baharu dalam bidang berbeza, meskipun pernah mengusahakan produk sendiri sehingga menembusi pasaran runcit.

Menerusi luahan hati yang dikongsikan, Zoey mengimbas perjalanan membangunkan jenama sendiri yang pernah dipasarkan di Watsons, MR. DIY serta secara dalam talian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tak pernah terbayang, pada usia macam ni saya kena mula semula dari kosong. Dulu saya pernah bina business sendiri. Produk saya MIKASERIES & LUNA CLARA pernah ada di Watsons, MR. DIY dan dijual secara online.

“Saya pernah rasa macam mana penatnya membina sesuatu dari bawah sampai orang mula kenal.

“Tapi hari ini, saya kembali jadi seorang ‘beginner’. Duduk dalam kelas, belajar benda baru, buat silap dan cuba memahami sesuatu yang jauh berbeza daripada dunia saya sebelum ni. Kadang-kadang saya tertanya-tanya, adakah saya dah terlambat untuk bermula semula? Masih ada lagikah peluang untuk saya berjaya?

“Sejujurnya, saya takut. Takut semua usaha saya selama ini hanya tinggal kenangan. Takut saya tak mampu bina semula apa yang pernah saya ada. Takut satu hari nanti saya terpaksa mengaku yang saya dah tak mampu lagi,”katanya di Threads.

Bagaimanapun, di sebalik kebimbangan itu, Zoey masih menyimpan harapan untuk bangkit semula menerusi peluang baharu yang sedang diusahakannya, iaitu menceburi bidang pembuatan kopi sebagai barista.

Dia berharap langkah berkenaan menjadi permulaan kepada perjalanan baharu yang mampu mengubah kehidupannya, selain memberinya semangat untuk terus berusaha meskipun terpaksa belajar dari peringkat asas.

“Tapi jauh di sudut hati, saya masih nak percaya yang hidup saya belum berakhir di sini. Semoga peluang untuk menjadi seorang barista ini menjadi sinar baharu dalam hidup saya.

“Semoga dari secawan kopi yang saya belajar hasilkan hari ini, akan lahir satu lagi perjalanan yang mampu mengubah hidup saya esok.

“Saya tak minta untuk berjaya dengan mudah. Saya cuma berharap, selepas segala yang saya lalui, Allah masih memberikan saya peluang untuk bangkit sekali lagi.Semoga saya dapat semangat baru,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini