Sedih nasib bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Sedih nasib bahasa Melayu

GEGAR Vaganza musim ketujuh masih tidak menggunakan bahasa Melayu secara keseluruhannya. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA amat tertarik membaca tulisan Abdul Aziz Ali dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember lalu yang membangkitkan isu program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang ditayangkan melalui saluran Astro Ria yang berakhir, baru-baru ini.

Ini kerana program dalam format bahasa Melayu itu tidak menggunakan bahasa ibunda secara keseluruhan terutama dalam kalangan juri.

Sebelum episod pertama GV7 disiarkan, saya juga menulis dalam ruangan sama pada 10 Oktober lalu mengenai kemungkinan akan berlaku penggunaan bahasa rojak oleh pengacara dan yang lebih penting pengkritik atau juri rancangan realiti itu.

Memang tepat apa yang berlaku seperti yang disahkan oleh Abdul Aziz. Kita tidak tahu apakah reaksi penerbit dan ketua rancangan Melayu di saluran itu terhadap tulisan saya dan Abdul Aziz.

Nampaknya pengacara, Nabil Ahmad telah menjawab isu ini dengan menyatakan bahawa rancangan itu telah menjadi trending yang bermaksud ia menjadi popular sebab menggunakan bahasa Inggeris.

Kelihatannya orang yang terlibat dalam rancangan ini bercakap dalam bahasa Melayu tetapi jalan pemikiran atau minda mereka dipengaruhi bahasa Inggeris! Itulah sebab bahasa Melayu mereka sendiri telah menjadi bahasa rojak!

Kemungkinan juga, kecelaruan ini disebabkan oleh rasa ingin menunjuk-nunjuk bahawa mereka pandai berbahasa Inggeris lebih daripada menguasai bahasa ibunda sendiri, sedangkan penonton hampir kesemuanya orang Melayu!

Apa yang harus diperbetulkan ialah setiap peserta atau juri perlu mempersiapkan minda dan jalan pemikiran, sewaktu mengemukakan hujah dengan jalan pemikiran bahasa Melayu dan seboleh-bolehnya mencatat hujah di atas kertas sebelum mengutarakan dalam bahasa Melayu lisan yang sepatutnya.

Cara ini lama-kelamaan akan memurnikan bahasa Melayu yang digunakan. Kalau mahu dikukuhkan lagi sesuatu idea atau konsep, baharulah digunakan bahasa Inggeris yang tulen, bukan menggunakan bahasa Inggeris rojak atau bahasa Melayu yang dirojakkan dengan bahasa Inggeris.

Walaupun komen ini khusus untuk GV7 di Astro Ria, ia sebenarnya boleh ditujukan juga kepada stesen-stesen swasta lain termasuk TV3 dan paling perlu diambil perhatian juga ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM) sendiri.

Diperhatikan, hampir semua program realiti di stesen televisyen di Malaysia mempunyai masalah sama, iaitu penggunaan bahasa rojak yang terlalu menebal.

Kita tidak pasti di mana silapnya sehingga bahasa kita menjadi begini, mungkin juga pakar bahasa dan pengkaji budaya dapat merungkainya secara teliti. Apakah peranan guru sekolah ada kaitan dengan kecelaruan ini atau adakah kita dipengaruhi orang bukan Melayu dalam penggunaan bahasa Inggeris, sehingga kita terpengaruh untuk melayan bahasa campuran ini?

Nampaknya fenomena ini berlaku sewaktu penggunaan bahasa Melayu yang lebih luas dalam arus pendidikan negara sekarang berbanding 1960-an dan 1970-an sewaktu bahasa Inggeris masih menjadi bahasa pengantar. Saya serahkan kepada kerajaan dan pakar-pakar bahasa untuk mengorak langkah memperbetulkan segala yang sudah mulai kusut ini.

BADRUDDIN
Petaling Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya