Undang-undang sudah ada, penguatkuasaan lemah

Undang-undang sudah ada, penguatkuasaan lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar kemala­ngan jalan raya yang terus me­ningkat di negara ini berpunca daripada kelemahan infrastruktur dan sikap pengguna jalan raya yang masih tidak berubah, meskipun jumlah kenderaan berdaftar di negara ini kini melebihi 33 juta unit.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Law Teik Hua berkata, pertambahan bilangan pengguna jalan raya sepatutnya disertai dengan penambahbaikan sistem kese­lamatan jalan serta budaya pemanduan yang lebih berhemah.

“Peningkatan jumlah kende­raan dan pengguna jalan raya sepatutnya diiringi dengan penambahbaikan pada aspek keselamatan jalan dan perubahan sikap pemandu ke arah yang lebih bertanggungjawab.

“Namun malangnya, jalan raya yang tidak diselenggara, sikap cuai segelintir pemandu dan kekurangan disiplin dalam kalangan penunggang motosikal terus menjadi penyumbang utama kepada kadar kemala­ngan yang tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak 3.14 juta kes kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024.

Daripada jumlah tersebut, se­cara puratanya kira-kira 1,720 kemalangan berlaku dalam sehari sepanjang tempoh tersebut.

Mengulas dari sudut perundangan, Law berkata, Malaysia sudah mempunyai rangka undang-undang yang lengkap untuk menangani pelbagai ke­salahan trafik.

Beliau berkata, antaranya termasuk kewajipan memakai tali pinggang keledar, penguatkuasaan had laju, larangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta hukuman terhadap pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Namun isu sebenar terletak pada pelaksanaan undang-undang yang tidak konsisten dan tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah.

“Undang-undang sedia ada perlu ditambah baik dan di­sesuaikan dengan cabaran se­masa, misalnya dengan penggunaan teknologi seperti te­lematik, pelaksanaan hukuman progresif mengikut tahap kesalahan serta pendidikan keselamatan jalan raya yang menyeluruh ketika di peringkat sekolah,” katanya.

Mengulas keberkesanan sis­tem penguatkuasaan bertek­nologi seperti e-saman, kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan pemantauan automatik lain, Law berkata, secara umum sistem tersebut memberi kesan di lokasi yang dipantau, namun belum cukup untuk membentuk perubahan jangka panjang dalam kalangan pemandu.

Tambah beliau, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan untuk mendidik dan mengubah budaya pemanduan masyarakat agar bukan hanya patuh kerana takut disaman, tetapi kerana sedar akan tanggungjawab dan keselamatan bersama.

“Sebagai contoh, pemasangan kamera AES telah menyebabkan penurunan kelajuan di lokasi yang dipantau, tetapi secara umumnya, sistem ini masih gagal memberi kesan jangka panjang terhadap sikap pemandu.

“Kebanyakan pemandu ha­nya patuh undang-undang apabila berada di kawasan yang diketahui dipantau. Ini menunjukkan sistem ini belum cukup untuk mendidik pengguna jalan raya secara berterusan,” kata­nya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN