BATU PAHAT: Setiap bahagian UMNO umpama sebuah pasukan bola sepak dengan setiap pemimpin perlu memainkan peranan bagi memastikan kejayaan pada pilihan raya akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya parti hanya menumpukan pada kerusi-kerusi ‘panas’ atau calon popular tanpa pasukan yang lengkap di setiap DUN dan Parlimen, parti berisiko kecundang.
“Dalam padang bola, kita ada ‘striker, ‘midfielder’, ‘fullback’, ‘goalkeeper’. Kalau kita hanya ada ramai ‘striker’ atau penyerang siapa hendak bertahan bila diserang?
“Sama juga dengan kerusi DUN dan Parlimen, mesti ada pasukan lengkap, ada peranan masing-masing,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Taman Seri Sulong, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Wanita UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Johor menjadi contoh bagaimana penyusunan strategi kerusi DUN yang teratur mampu membawa kemenangan besar.
“Saya rasa Johor ada satu elemen sangat penting untuk UMNO. Kalau kita tengok masa PRN Johor pada Mac 2022, kita berjaya dapat 40 daripada 56 kerusi DUN, iaitu majoriti dua pertiga.
“Tetapi selepas itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada November tahun sama, daripada 26 kerusi Parlimen, kita hanya menang sembilan kerusi,” katanya.
Johari menegaskan, semangat berpasukan perlu menjadi tunjang bagi gerak kerja parti supaya kejayaan PRN Johor dapat diterjemahkan dengan peningkatan jumlah kerusi Parlimen pada masa depan.
“Contohnya, semangat berpasukan dalam pasukan bola, kalau hanya satu dua striker sahaja bekerja, dia tidak boleh menang. Harapnya kita dapat tambah kerusi Parlimen lagi,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, gelombang kebangkitan UMNO diyakini bermula dari selatan tanah air selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.
Katanya, walaupun tujuh bulan kemudiannya BN hanya mampu memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun jika sebuah pasukan yang mempunyai kekuatan dapat disusun atur, pasti sasaran itu dapat dicapai.
Beliau berkata, pasukan yang dibentuk perlu mempunyai seorang pemimpin serba boleh yang berwibawa, berprinsip selain berani mengambil risiko dan bersungguh-sungguh dalam setiap kerja dilakukan dengan kaedah bertepatan.
“Walau bagaimanapun, perkara utama yang perlu dihadapi pasukan ini adalah untuk memenangi 40 peratus pengundi muda daripada keseluruhan pengundi dalam negara ini.
“Golongan ini mereka memandang ke hadapan tentang apa yang akan peroleh dari segi kepentingan mereka dan bukan hanya melihat kejayaan parti selama tempoh lebih 60 tahun ini,” katanya. – MINGGUAN










