Norma baharu pendidikan khas - Utusan Malaysia

Norma baharu pendidikan khas

Guru pendidikan khas berdepan cabaran semasa penularan pandemik Covid-19 ekoran perlu menyediakan pendidikan berkualiti bagi membolehkan murid mencapai potensi optimum. – GAMBAR HIASAN/SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDIDIKAN merupakan agenda utama bagi sesebuah negara untuk terus membangun dan mencapai kemajuan.

Ini bermakna setiap negara memerlukan sistem pendidikan yang efisien dan terbaik bagi membolehkan pelajar mendapat ilmu dan input melalui konsep Inklusif Pendidikan Untuk Semua khususnya buat golongan berkeperluan khas seperti dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Kanak-kanak tanpa mengira kaum, agama, latar belakang dan status ekonomi mempunyai hak untuk mendapat akses kepada pendidikan sempurna termasuk kanak-kanak kurang upaya.

Mereka mempunyai hak yang sama rata untuk belajar dan bermain dalam persekitaran pembelajaran dan pengajaran norma baharu tanpa halangan tidak kira di bandar mahu pun luar bandar serta perubahan teknologi dalam dunia pendidikan kini.

Begitu juga tanggungjawab digalas oleh guru pendidikan yang dilatih dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti awam yang sentiasa beriltizam menyediakan pendidikan berkualiti bagi membolehkan murid berkeperluan khas mencapai potensi optimum selain memaksimunkan keupayaan tenaga dan kreativiti.

Apabila dunia dilanda wabak Covid-19, pelajar terpaksa belajar secara dalam talian. Menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga membantu mengajar dan menyiapkan tugasan yang diberikan agar mereka tidak tercicir dalam arus dunia pendidikan.

Oleh kerana pelajar berkeperluan khas cenderung untuk mudah rasa jemu menyebabkan guru menggunakan kebijaksaaan dalam memastikan pembelajaran dilaksanakan secara berkesan selain menitikberatkan penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) sebagai landasan utama bagi mencapai hasrat tersebut.

Namun demikian, selaras kemajuan teknologi komunikasi dan galakan yang diberikan kerajaan untuk mengaplikasi sistem pembelajaran dalam talian seperti Google Meet, sidang video mahupun muzik, ada guru yang memberikan kerja rumah menerusi aplikasi Whatsapp dan Telegram manakala penghantaran serta semakan dibuat secara e-mel.

Pada masa sama, guru perlu mengambil kira kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap ibu bapa yang kehilangan sumber pendapatan agar proses pembelajaran masih dapat diteruskan termasuk menyediakan modul pembelajaran mengikut mata pelajaran dan diserahkan kepada pelajar melalui penghantaran pos.

Kesimpulannya, kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam dunia pendidikan norma baharu adalah sesuatu yang boleh ditentukan dan dihasilkan sendiri oleh guru secara fleksibel dan inovasi.

Oleh itu, guru hendaklah bijak dalam merancang dan mencipta pengajaran dan pembelajaran supaya murid dapat menguasai kemahiran secara optimum.

ZETI ZAHARIAH MOHD. ZAHARI
Guru Pendidikan Khas (Pembelajaran)
SK Pasukan Polis Hutan,

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya