Kenapa ada batu dalam lubang kubur? - Utusan Malaysia

Kenapa ada batu dalam lubang kubur?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

kolum Seram

PAGI itu, kecoh dengan berita kematian salah seorang penduduk kampung bernama Supardi. Arwah meninggal dalam usia lingkungan 60 tahun selepas terlantar sakit akibat strok hampir tiga tahun.
Namun yang menjadi persoalannya berita kematian Supardi langsung tidak menyedihkan penduduk kampung. Sebaliknya ramai yang gembira menerima berita tersebut. Kenapa jadi begitu? Akan saya ceritakan sebentar lagi.
Pagi itu saya terus ke tanah perkuburan dengan niat mahu membantu penduduk kampung menggali kubur arwah, lagipun memang kebiasaannya bila ada kematian, penduduk kampung akan bergotong-royong menggali kubur. Sesiapa sahaja boleh turun membantu.
Sampai di tanah perkuburan, saya lihat sudah ramai orang yang datang. Tapi yang peliknya keadaan di situ sedikit kecoh. Saya terus bertanya kepada seorang rakan. Apa yang berlaku?
“Ada batu besar dalam lubang kubur ni. Nak keluarkan tak boleh,” itu jawapan yang saya terima.
Menurut cerita mereka cuba nak angkat batu tersebut, tapi hampir sejam mencuba ternyata sia-sia. Batu tersebut terlalu besar sehinggakan sukar untuk digerakkan.
“Kita gali kubur lain,” terdengar cadangan salah seorang penduduk kampung.
Sebulat suara bersetuju. Tanpa berlengah, mereka mencari lokasi sesuai yang jauh sedikit dari kubur. Risau kalau digali bersebelahan takut masalah sama berulang.
Selepas menemui tapak sesuai, kerja menggali dimulakan. Sejam lebih mengorek, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi sesuatu… TINGG!
Terdengar bunyi mata cangkul berlaga dengan objek keras. Rupa-rupanya ada sebongkah batu tertanam dalam lubang.
“Ada batu lagi. Besar macam tadi. Tak boleh alihkan ni,” kata salah seorang penggali.
Kami semua mengeluh sambil berpandangan. Masing-masing sudah kepenatan. Sudah dua buah kubur kami gali, tapi masih menghadapi masalah sama. Nampaknya kerja tadi sia-sia saja.
Lepas berehat hampir 15 minit, sekali lagi kami bergegas mencari tapak baru. Kami perlu sediakan lubang kubur secepat mungkin. Keluarga arwah mahu jenazah dikebumikan sebelum waktu Zuhur.
Selepas menemui tapak yang dirasakan sesuai, kami mulakan penggalian ketiga. Dalam hati kami berdoa agar kejadian sama tidak berulang lagi.
Tapi, apa nak dikata, mungkin sudah nasib arwah. Baru sahaja kubur ketiga digali paras pinggang, kejadian sama berlaku. Kali ini, batu dalam lubang kubur ketiga lebih besar berbanding pertama dan kedua.
Akibat masalah itu, urusan pengebumian terpaksa ditangguh. Kami minta jenazah dikebumikan selepas Zuhur saja. Kalau nak cepat, memang tak sempat. Lagipun kami semua sudah penat. Kami perlu rehat supaya dapat tenaga baru.
Ketika duduk melepaskan lelah, saya mula terfikir tentang kejadian yang berlaku. Sudah puluhan kali saya turut serta menggali lubang kubur di tanah perkuburan ini tapi tak pernah pula saya alami masalah begini. Kalau jumpa batu pun, kebiasaannya hanya batu kecil dan boleh dialihkan. Bukan bongkah besar seperti ini. Juga belum pernah berlaku sampai tiga kali lubang digali untuk jenazah sama.
Selepas setengah jam berehat kami mulakan penggalian kubur baru. Waktu itu, kami berdoa agar perkara sama tidak berulang dan kerja kami dipermudahkan.
Dipendekkan cerita, selepas tiga jam menggali, akhirnya liang lahad keempat siap. Alhamdullillah, kami tak jumpa sebarang batu dalam lubang tersebut.
Lebih kurang pukul 2.30 petang, jenazah arwah akhirnya tiba di tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Bila sampai, saya dan rakan-rakan lain hanya duduk memerhati waris-warisnya meneruskan pengebumian. Kami tak bantu sebab terlalu penat.
Namun, baru beberapa minit melepaskan lelah, tiba-tiba seorang waris arwah datang menghampiri kami.
“Kubur sempit. Jenazah tak muat,” beritahunya kepada kami.
Kami masing-masing terkejut dan berpandangan. Macam mana boleh tak muat pula sedangkan kami gali ikut ukuran diberikan. Tanpa berlengah, kami bergegas ke kubur. Bila tengok, memang sah kubur pendek hampir satu kaki.
Kami akui mungkin agak cuai ketika menggali tadi agaknya. Maklumlah semuanya sudah penat, jadi terlepas pandang dengan ukuran sebenar.
Jenazah Supardi dinaikkan semula. Sekali lagi saya dan beberapa rakan turun dalam lubang kubur untuk menggali. Selepas siap dipanjangkan, jenazah diturunkan untuk kali kedua. Waktu itu, semua mata memerhati. Tapi entah kenapa dada saya pula berdebar-debar seperti masih ada yang tak kena.
Ternyata firasat saya betul. Walaupun sudah dipanjangkan, liang lahad itu masih belum muat untuk menempatkan jenazah. Melihat kejadian itu kami semua terkejut. Masing-masing tidak terkata apa-apa. Apa yang berlaku nampaknya bukan salah kami. Banyak saksi yang melihat kami sudah panjangkan lubang kubur itu.
Dalam keadaan pelik itu, imam yang berada di situ bersuara.
“Bengkokkan sedikit kaki jenazah. Lepas itu terus kambus sahaja,” arahnya.
Tanpa membantah, anak-anak arwah terus melakukan seperti yang disuruh. Akhirnya jenazah Supardi ditanam dalam keadaan kakinya dibengkokkan.
Alhamdulillah, walaupun berlaku pelbagai perkara di luar jangkaan, akhirnya jenazah selamat juga dikebumikan.
Namun cerita tersebut terus tersebar meluas. Penduduk kampung mula bercerita kononnya itu balasan Allah atas sikap Supardi semasa hayatnya.
Mungkin ianya boleh dijadikan iktibar kepada yang masih hidup.
Menurut mereka semasa hayatnya Supardi memang seorang yang kaya dan disegani. Dia mempunyai tanah ladang yang luas. Setiap ceruk kampung ada saja tanahnya.
Walaupun kaya, hubungannya dengan penduduk kampung tidak baik. Ramai penduduk menyimpan rasa tidak puas hati dengannya gara-gara isu tanah. Menurut mereka pada awalnya tanah dimiliki Supardi kecil sahaja, tapi lama-kelamaan semakin luas. Macam mana dia buat?
Sebenarnya, kebanyakan tanah tersebut diambil dengan cara tidak betul. Supardi akan alihkan batu sempadan tanah supaya tanahnya jadi lebih luas manakala tanah orang di sebelahnya pula semakin kecil.
Apa yang Supardi buat semua orang tahu. Tapi tiada siapa yang berani hendak melarang atau memarahinya. Ini kerana dia terkenal dengan sikap panas barannya. Malah sanggup menggunakan kuasa wang untuk menindas orang yang menentangnya. Sudah tentu penduduk kampung yang miskin tidak berani melawannya.
Kerana sikap itulah, dia dibenci. Ramai tidak suka dengannya. Maka, tidak hairanlah disebabkan itu jugalah ramai penduduk kampung yang gembira dengan berita kematiannya.
Apa yang saya ceritakan ini jadikanlah pedoman. Janganlah sesekali mengambil hak orang lain sewenang-wenangnya. Bukankah itu sikap buruk yang dilarang Allah SWT. Sehinggakan tanah pun seakan ‘membenci’ untuk menerima jasadnya.
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” Al-Baqarah: 188 – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN