Hidup sebelah jiran bermasalah - Utusan Malaysia

Hidup sebelah jiran bermasalah

HIDUP bersama jiran bermasalah boleh memberi kesan teruk kepada hidup kita. – Gambar hiasan/Zulfadhli Zaki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu perkara yang selalu diabaikan dalam membeli rumah idaman ialah menyiasat terlebih dahulu mereka yang bakal tinggal bersebelahan. Selalunya kita tidak akan tahu siapa jiran terutama pembelian dalam pasaran primer (terus daripada pemaju) dan hanya terkesan apabila kemudiannya mendapati jiran sangat bermasalah.

Hidup bersama jiran bermasalah boleh memberi kesan teruk terhadap hidup kita. Buat bising pada larut malam, anjing peliharaan menyalak tidak kira waktu, najis kucing mereka di depan pintu kita dan kelakuan jiran keterlaluan adalah antara perkara yang menjengkelkan.

Dari sudut perundangan, kegusaran ini boleh diklasifikasi sebagai kacau ganggu, iaitu salah satu cabang undang-undang tort. Ketika menghadapi kegusaran ini dan setelah menggunakan segala cara diplomasi yang ada serta remedi self-help, contohnya berbincang dengan jiran bermasalah tersebut, mengadu kepada pihak berkuasa tempatan dan membuat laporan polis, tetapi masih tidak menemui jalan penyelesaian, maka cara terakhir ialah mengambil tindakan undang-undang di mahkamah. Bagaimanapun, umum mengetahui, cara ini tidak menguntungkan dari segi kewangan kerana fi perundangan adalah mahal dan mungkin mengambil masa g lama.

LOMPONG

Pada hemat kami, inilah lompong yang memerlukan campur tangan perundangan daripada kerajaan bagi menangani isu sosial yang lazimnya dihadapi akibat jiran bermasalah. Kita memerlukan undang-undang yang dapat membantu menyelesaikan pertikaian komuniti secara cepat, murah dan berkesan. Apabila kita mencari ciri-ciri bersesuaian bagi cadangan undang-undang baharu tersebut, adalah baik sekiranya kita merujuk kepada jiran kita di selatan iaitu Akta Penyelesaian Pertikaian 2015 (APP Singapura) sebagai permulaan.

Dengan melihat contoh daripada APP Singapura, ada beberapa ciri penting yang patut terkandung dalam cadangan undang-undang baharu kita.

Dalam akta tersebut, perkataan “jiran” ditakrifkan sebagai seseorang yang tinggal dalam bangunan sama dengan kita atau tinggal dalam lingkungan 100 meter dari kediaman kita, tetapi tidak termasuk seseorang yang tinggal sama dengan kita.

APP Singapura memberikan 10 contoh gangguan oleh jiran:
1. Menyebabkan bunyi, bau, asap, cahaya atau getaran berlebihan.
2. Membuang sampah di sekitar atau dalam kawasan tempat tinggal anda.
3. Menghalang tempat tinggal anda.
4. Mengganggu harta alih anda.
5. Membuat pengawasan ke atas anda atau tempat tinggal anda, di mana pengawasan terse.
6. Menceroboh tempat tinggal anda;
7. Membenarkan haiwannya menceroboh ke tempat tinggal anda, menyebabkan bunyi atau bau berlebihan, atau membuang najis atau kencing pada atau di sekitar tempat tinggal anda.
8. Berbahasa kesat, menghina dan secara menakutkan.
9. Merosakkan harta dan kemudahan bersama.
10. Menyebabkan kerosakan, kesusahan dan kejengkelan.

Walaupun tidak lengkap, contoh-contoh ini boleh dijadikan panduan bagi bakal pengadu apabila beliau mempertimbangkan untuk memfailkan tuntutan di tribunal bagi gangguan yang disebabkan oleh jirannya.

TRIBUNAL

Inti pati undang-undang baharu yang dicadangkan ini adalah penubuhan sebuah mahkamah separa berbentuk tribunal yang bertindak sebagai platform yang mudah digunakan dan berkesan bagi seseorang menyelesaikan pertikaian jiran.

Dengan mempunyai tribunal khas, ia dapat mempercepatkan penyelesaian jenis pertikaian seperti itu kerana prosiding adalah kurang formal berbanding mahkamah konvensional. Lebih penting, menjimatkan kos. Sepertimana tribunal lain, hanya pihak yang terlibat dengan prosiding dibolehkan mengemukakan kes mereka tanpa diwakili peguam melainkan diarahkan oleh tribunal.

Tribunal khas ini perlu diberikan kuasa untuk membuat perintah yang selalunya dapat dibuat oleh mahkamah konvensional, contohnya ganti rugi, pelaksanaan spesifik dan injunksi.

Adalah diramalkan, tribunal khas ini akan tertakluk kepada bidang kuasa kewangan. Dalam APP Singapura, perintah kewangan maksimum yang boleh dibuat oleh tribunal ialah S$20,000.

Semua senarai semak, borang yang ditetapkan dan dokumen yang diperlukan bagi pemfailan tuntutan, juga garispanduan, proses, senarai fi pendaftaran dan “soalan lazim” perlu dipaparkan dalam lamanweb tribunal, bagi membuatkannya mudah dicapai, lebih mesra pengguna dan senang difahami oleh orang awam.

MELULU

Sama seperti cadangan Akta Penyewaan Kediaman, sudah tiba masanya penggubal undang-undang kita mempertimbangkan secara serius cadangan di atas bagi menamatkan permasalahan yang diakibatkan jiran bermasalah. Mungkin cadangan undang-undang bagi mengawal tingkah laku jiran boleh digabungkan bersama Akta Penyewaan Kediaman bagi melengkapkannya. Namun, seperti mana-mana proses penggubalan perundangan, kita tidak seharusnya mengambil mana-mana undang-undang dari negara lain secara melulu tanpa mengambil kira keadaan sosial, adat dan ekonomi negara kita. Semua pemegang taruh harus mengambil bahagian dalam perbincangan yang meluas dan penyelidikan mendalam sebelum mengkodifikasikannya menjadi satu undang-undang yang akhirnya dapat menjadikan kejiranan kita sebagai tempat tinggal yang lebih baik.

DATUK Chang Kim Loong ialah Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN