SEPANJANG mengajar subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu hampir 30 tahun, dapat saya lihat perubahan bahasa Melayu sama ada secara formal atau tidak. Perkataan-perkataannya mengalami perubahan berpunca daripada kemasukan dan penggunaan istilah asing. Di akhir karangan pelajar, mereka tidak lagi menggunakan ‘kesimpulannya’ tetapi sudah digunakan ‘tuntasnya’, ‘konklusinya’, ‘akhirulkalam’, ‘secara total’ dan pelbagai lagi.
Sudah tidak kedapatan lagi kata-kata ‘zaman yang maju’ tetapi mula digantikan dengan ‘zaman yang canggih’. Kemudian ‘zaman yang sofistikated’ ‘era moden’, ‘pascamoden’, ‘alaf atau milenium’ dan beberapa lagi yang diguna pakai oleh pelajar sehingga kadang-kadang mereka sendiri pun tidak faham.
Perbezaan ini jelas antara pelajar-pelajar pada 1980-an, 1990-an dan apabila menjengah sahaja era 2000 sampai kini, rentak bahasa dan pengucapannya berubah selaras perkembangan zaman, kerancakan dunia komunikasi global, interaksi sosial yang semakin meluas dan sebagainya.
Pada 2014, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim pernah membangkitkan isu orang kita yang tabiat berbahasanya sekerat belut sekerat ular. Jelas beliau, bahasa cacamarba ini sudah mewarnai pelbagai lapisan masyarakat yang bebas berkomunikasi, tidak kira apa situasi dan tempat pun. Nasib baiklah di sekolah masih digunakan bahasa baku. Nasib baik jugalah rancangan-rancangan akademik media elektronik masih mengetengahkan bahasa baku supaya semua yang menonton memahaminya.
Jika tidak, tentu semua media dikawal oleh golongan muda yang ‘gila’ berbahasa rojak. Di media sekarang pun, jika kita tonton rancangan-rancangan realiti berbahasa Melayu, lebih banyak bahasa Inggeris yang keluar daripada bahasa kita sendiri, seolah-olah bukan di Malaysia lagi. Agaknya, kalau pelancong dari Barat datang dan menonton rancangan-rancangan tersebut, mereka pun boleh faham walaupun sepatah haram bahasa Melayu tidak diketahuinya.
KABUR
Nasib bahasa Melayu di negara sendiri agak kabur. Perubahan zaman dan faktor kemasukan istilah asing dan istilah golongan remaja yang tidak diketahui dari mana asalnya mula membengkak, berkembang dan membiak dari semasa ke semasa dalam bahasa Melayu standard.
Golongan yang dilabel sebagai intelektual pula ada yang sengaja hendak bercakap Inggeris bercampur-campur dengan bahasa Melayu. Namun, lebih banyak Inggeris seolah-olah bukan bercakap dengan khalayak bangsanya sendiri atau penduduk negara yang rata-rata boleh berbahasa Melayu. Ini antara ‘penyakit’ yang dikatakan sekerat belut sekerat ular dan mencemarkan kemurnian bahasa kebangsaan. Golongan ini, jika ditegur akan muncullah dua reaksi, sama ada mereka diam atau akan memperlekehkan orang yang menegur mereka.
Tugas mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu terletak pada dua ejen yang mempunyai pengaruh besar iaitu guru dan media. Guru-guru di sekolah mesti menegaskan kepentingan bahasa Melayu dan tidak mudah membiarkan pelajar berbahasa sewenang-wenangnya.
Di sekolah ada Minggu Bahasa Kebangsaan yang memfokuskan pelajar-pelajar dalam keterampilan bahasa. Ini sudah cukup sebagai satu pengisian program ke arah memantapkan bahasa kebangsaan supaya berada di peringkat sewajarnya walaupun ia mengambil masa sekejap sahaja daripada lebih 200 hari pelajar berada di sekolah.
MEDIA
Di pihak media, kita tidak begitu bimbang dengan media cetak dan media arus perdana yang sentiasa mengawal bahasanya. Apa yang dibimbangi ialah media elektronik termasuklah media sosial yang tidak ada editor ini seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan pelbagai lagi, memang menjadi lubuk bahasa rojak. Media inilah yang sukar dikawal kerana di situ ada pelbagai golongan yang bebas mengeluarkan kata, pendapat dalam bahasa ikut selera mereka sendiri.
Anak-anak muda sekarang kelihatan pantang diusik. Kalau ada apa-apa isu negara, tidak kira sama ada politik, ekonomi, sosial dan apa-apa sahaja, maka bercambahlah pendapat di Facebook dengan pelbagai macam ragam bahasa yang keluar sehingga tidak faham dibuatnya. Istilah-istilah remaja yang tidak diketahui mana asalnya pun terkeluar sama.
Maka sudah tentu di tangan merekalah perlu ada kesedaran tentang bahasa sendiri, kecintaan terhadap bahasa dan sikap mahu mempertahankannya. Jika tidak mereka, siapa lagi.
Penulis ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










