Dilema harga barang naik serta isu daging ‘haram’ - Utusan Malaysia

Dilema harga barang naik serta isu daging ‘haram’

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Belum pun sempat tirai 2020 berlabuh, rakyat yang sedia terjejas akibat pandemik dan ‘drama’ politik tak berkesudahan, dihambat pula isu kenaikan harga barang yang mendadak.
Hal menjadi semakin parah apabila pada masa sama, media membongkarkan bahawa daging import yang berlegar di pasaran kita, diragui pula status halalnya.
Persoalannya, apa sebenarnya di sebalik dua isu menggusarkan ini? Apa peranan yang dimainkan pihak kementerian? Yang paling utama, selama manakah isu kenaikan harga barang serta daging import yang diragui status halalnya, harus membelenggu rakyat?
Tekad mendapatkan penjelasan, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub dan Fahmi Faiz bertemu bual dengan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Ikuti wawancara ini, yang mengupas isu kenaikan harga barangan, selain mengulas perihal kartel daging yang baru-baru ini menggemparkan tanah air.

MINGGUAN MALAYSIA: Heboh baru-baru ini, harga barang basah seperti bawang merah, sayuran dan produk laut naik mencanak. Apa faktor masalah itu berlaku?
ALEXANDER: Ada pelbagai faktor. Ini termasuk permintaan dan penawaran, cuaca, nilai tukaran matawang, kedudukan bekalan barangan yang stabil dan mencukupi, bekalan negara pengeluar asal bagi barangan yang diimport serta faktor harga bahan mentah dan komoditi.

Bagaimana pula dengan tindakan monopoli?
Ya, ini juga faktor. Ia berlaku akibat tindakan peniaga yang disyaki mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah. Dalam kata lain, tindakan mencatut. Untuk makluman, pasukan Penguat Kuasa Kementerian komited dan kerap mengadakan pemantauan harga dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengawal kenaikan harga yang tidak munasabah. Ini dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Dalam konteks kenaikan harga barang terkini, rakyat perasan yang pertama naik harga bawang, kemudian diikuti barangan basah lain. Kenapa berlaku rantaian kenaikan, dari satu barang ke barangan lain?
Kita perlu menyedari terdapat elemen-elemen lain dalam perniagaan yang memberi kesan kepada penentuan penetapan harga jualan. Peniaga digalakkan menjalankan perniagaan secara kompetitif melalui penawaran harga jualan yang dipamerkan selaras dengan penguatkuasaan dan keperluan peniaga mematuhi peruntukan penandaaan harga oleh peruncit di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Apakah ada kemungkinan tindakan mencatut oleh peniaga yang memonopoli?
Ya. Walaupun kenaikan harga boleh berpunca daripada eksploitasi peniaga yang tidak beretika, tetapi bukan semua isu harga disebabkan perbuatan mencatut. Peningkatan dan penurunan harga adalah kesan daripada pelbagai faktor antaranya faktor permintaan dan penawaran, pertukaran mata wang asing yang memberi impak ke atas harga barangan diimport, fenomena alam seperti kemarau dan banjir, kos buruh, kos utiliti, kos sewaan dan operasi sesuatu sektor industri.

Jadi, kenapa tidak diperketatkan penguatkuasaan?
Jika dilihat dari sudut perniagaan, kementerian perlu memastikan segala tindakan penguatkuasaan dan kawalan hendaklah tidak keterlaluan ketat sehingga menjejas struktur pembangunan perniagaan domestik.

Apa maksudnya?
Malaysia mengamalkan perdagangan terbuka iaitu pemasaran barangan adalah bebas dan harga ditentukan oleh penawaran dan permintaan (kuasa pasaran atau market forces). Namun dalam situasi tertentu, campur tangan kerajaan diperlukan dalam memastikan harga adalah munasabah dengan bertindak mengawal dan memperuntukkan perundangan bagi memastikan peniaga di setiap peringkat perniagaan (yang terdiri daripada pengeluar/ pengilang/ pengimport/ pengedar/ pemborong/ peruncit) mengenakan harga berpatutan ke atas barangan keperluan utama agar tidak membebankan rakyat.

PANDEMIK DAN KESAN
TERHADAP INFLASI

Sejauh mana pandemik beri kesan ke atas kenaikan harga barang?
Pandemik wabak Covid-19 yang melanda dunia mengubah ekosistem ekonomi global menyebabkan kegiatan ekonomi banyak negara terhenti untuk tempoh agak lama disebabkan pelaksanaan kawalan pergerakan dan sekatan terhadap negara-negara terjejas. Perkara ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap perubahan harga barangan.

Bagaimana ia menjejaskan harga barangan?
Kita dapat lihat pada permulaan penularan wabak Covid-19, banyak negara mula membuat sekatan terhadap sesetengah barang yang diimport keluar. Negara penerima terkesan teruk, termasuklah Malaysia pada ketika itu.

Boleh beri contoh?
Sebagai contoh, bahan-bahan mentah diperlukan untuk membuat pelitup muka ada yang diimport dari China. Tetapi di peringkat awal penularan wabak, disebabkan pelbagai kekangan akibat penutupan sempadan dan sebagainya, harga bahan mentah pelitup muka naik mendadak dan sekali gus memberi kesan kepada harga jualan pelitup muka di dalam negara.

PERANAN KEMENTERIAN

Apa peranan KPDNHEP dalam mengawal kenaikan harga barang?
Kementerian ini sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan rapi sepanjang masa dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran. Antaranya, kita menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga. Kita juga menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020. Ini bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual atau mempamerkan senarai harga.

Contoh lain tindakan penguatkuasaan?
Kita juga melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga barang keperluan musim perayaan tertentu, semasa musim-musim perayaan utama dalam negara

Bagaimana pula kementerian uruskan kartel monopoli?
Seperti disebut tadi, kita melaksanakan tindakan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara. Harus jelas sebarang perubahan harga barangan atau perkhidmatan yang berlaku, ia harus sejajar dengan perubahan kadar kos langsung dalam menentukan harga barangan. Kementerian juga melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan bertindak jika ada peniaga dikesan berkomplot dalam penentuan harga atau terlibat dalam manipulasi harga dengan tingkah laku anti persaingan.

BAGAIMANA HARGA
BARANG DIPANTAU?

Bagaimana KPDNHEP memantau harga barangan?
Kementerian membuat pemeriksaan harga barangan pada setiap hari dan berkala. Selain itu, pemantauan harga barangan juga diadakan dengan kerjasama bersama pelbagai pihak, antara lain termasuk Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negara di bawah Kementerian. Selain itu kita ada rakan KPDNHEP yang merupakan mata dan telinga Kementerian.

Boleh ulas lanjut?
Kementerian akan bekerjasama dengan pengguna yang menyertai program ini bagi menyebarkan maklumat berhubung kepenggunaan terutama mengenai isu harga barang.

Ada sebarang tanda aras untuk isytihar, satu-satu kenaikan harga barang itu terlalu tinggi? Adakah ‘keluhan’ dan ‘rungutan’ rakyat yang digunakan sebagai indikator?
Benar. Keluhan dan rungutan rakyat digunakan sebagai asas tindakan perundangan oleh kementerian. Tidak dinafikan ada pengusaha atau peniaga cuba menaikkan harga kerana harga kos barang naik, tetapi tidak turun harga apabila kos barang turun. Situasi ini boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengguna. Pegawai-pegawai penguat kuasa kementerian yang menjalankan siasatan aduan mengenai harga ini tidak akan berkompromi terhadap peniaga-peniaga yang melanggar undang-undang. Siasatan akan dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

NOTIS PENGUATKUASAAN SEPANJANG PKP

Berapa banyak notis dikeluarkan KPDNHEP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Secara keseluruhannya, sepanjang pelaksanaan PKP sehingga 27 Disember 2020, sebanyak 4,937 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 dikeluarkan peniaga di seluruh negara. Pada masa sama, kita juga perlu ingat terdapat elemen-elemen lain dalam perniagaan yang memberi kesan kepada penentuan harga jualan. Pada keseluruhannya, pematuhan pihak peniaga dalam negara adalah baik hanya segelintir peniaga sahaja yang cuba ambil kesempatan.

Apa mekanisme digunaka untuk turunkan dan kawal semula harga barang yang naik?
Dalam tindakan penguatkuasaan ke atas harga barangan, pegawai penguatkuasaan akan mengambil tindakan mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada peniaga yang menaikkan harga untuk mengemukakan justifikasi kenaikan harga barangan. Peniaga dikehendaki memberi dokumen-dokumen sokongan yang relevan untuk menyokong sebarang kenaikan kos dan harga jualan. Dalam hubungan ini dengan adanya penguatkuasaan pencatutan melalui peraturan berkuat kuasa sekarang, kita dapat mewujudkan satu check and balance yang mana peningkatan margin keuntungan adalah terkawal melalui asas yang ditetapkan di bawah mekanisme.

TIADA DNA KANGGARU, BABI

Komen mengenai isu daging halal yang sedang hangat sekarang?
Kementerian sentiasa mengambil berat mengenai isu ini. Siasatan menyeluruh terus dilakukan dan semestinya kepentingan pengguna di dalam hal ini menjadi keutamaan kementerian. Hasil analisis yang diperoleh daripada Jabatan Kimia pada 28 Disember 2020 menunjukkan tiada DNA daging kanggaru, babi atau kuda dalam sampel produk daging import yang disita dari sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor Bahru, awal bulan ini.

Jadi, DNA apa yang ditemukan?
Didapati, keputusan analisis sampel DNA daging import tersebut merupakan daging kambing, lembu, angsa dan ayam. Siasatan pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP mendapati syarikat ini telah memalsukan kelulusan logo Halal luar negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta memalsukan jenama daging import popular. Syarikat ini mula beroperasi pada 2014 dan memperoleh lesen sebagai pengimport produk sejuk beku pada 2017.

Apa tindakan kementerian ke atas jaringan rangkaian (network) yang terkesan?
Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah mengarahkan pejabat KPDNHEP Negeri dan Cawangan di seluruh negara membuat pemeriksaan melibatkan sejumlah 82 premis pemborong dan 521 peruncit. Untuk makluman, pada 30 Disember 2020, sebuah syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, bagi kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperakukan perkhidmatan pengangkutan sebagai halal tanpa kelulusan Jakim. Syarikat ini mempunyai kaitan dengan syarikat yang sedang disiasat.

Di pihak rakyat, apa yang perlu kami lakukan?
Sebagai panduan, bagi memastikan pengguna mendapatkan sumber daging sejuk beku import yang halal dan tidak diragui, pastikan produk berkenaan menepati piawaian pembungkusan produk yang lengkap dengan perihalan atau keterangan mengenai produk, sebagai contoh, negara sumber produk berkenaan dibawa masuk. Pengguna juga boleh membuat semakan jenama dan perihalan produk dalam laman web Halal Jakim bagi memastikan daging sejuk beku import itu dibawa masuk oleh syarikat pengimport yang disahkan dan diiktiraf Jakim.

Apa pula tindakan wajar diambil pemborong dan pengusaha restoran yang menggunakan produk daging sejuk beku?
Bagi pembeli di kalangan pemborong, pengusaha restoran dan peruncit, mereka dinasihatkan untuk memastikan invois yang dikeluarkan oleh pengedar atau pembekal produk sejuk beku import itu menyatakan perihalan lengkap produk sebagaimana tertera pada pembungkusan produk. Kementerian juga ingin menyeru orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat yang tidak disahkan kesahihannya. Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat melalui saluran aduan dan maklumat sekiranya mendapati wujud sebarang unsur meragukan terhadap jualan produk sejuk beku import di negara ini.

BUKAN 40 TAHUN BEROPERASI

Ada desas-desus, kartel ini sudah beroperasi selama 40 tahun. Sepanjang tempoh itu, mustahil KPDNHEP tak mengetahui kewujudan komplot ini?
Siasatan pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP mendapati syarikat yang diambil tindakan telah mula beroperasi pada 2014 dan memperoleh lesen pengimport produk sejuk beku pada 2017. Jadi, tuduhan kartel daging sudah 40 tahun beroperasi itu sebenarnya tidak berasas.

FOOTPRINT ORANG DALAM DI KEMENTERIAN?

Ada mendakwa, pengurusan atasan beberapa kementerian, termasuk KPDNHEP ada footprint dalam kegiatan kartel. Komen Datuk Seri?
Tiada pegawai KPDNHEP yang terlibat atau bersubahat dalam mana-mana syarikat pengimport atau pembekal daging sejuk beku di negara ini.
Untuk rekod, hasil pemeriksaan dan siasatan telah menghasilkan dua kes di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Sesyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.
Jumlah rampasan keseluruhan termasuk 10,876 kotak daging sejuk beku pelbagai jenis dengan nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua kes dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

Jadi kementerian beri jaminan tiada ‘orang dalam’ terlibat?
Ya. Berdasarkan kepada jumlah sitaan dan kesalahan yang disiasat mengikut perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP menunjukkan keseriusan dan komitmen kita dalam membendung aktiviti penyalahgunaan logo halal terutamanya bagi produk sejuk beku yang diimport.

SOKONG TUBUH RCI

Sokong jika ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk kenal pasti dalang isu ini?
Ya, KPDNHEP turut menyokong penuh penubuhan RCI bagi memastikan kes ini disiasat dengan lebih telus. – Mingguan Malaysia

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×