DALAM satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan, enam tahun lalu, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku) melontarkan pandangan agak keras tetapi jujur mengenai perpaduan orang Melayu. Katanya, orang Melayu seperti orang Arab, sukar untuk bersatu. Beliau menjadikan faktor sejarah dan penjajahan yang dilalui oleh orang Melayu sebagai penyebab kepada kepayahan untuk menyatukan mereka.
Saya berpendapat, penjajahan hanyalah faktor pengganda kepada kecenderungan orang Melayu untuk berpecah belah. Lama sebelum kedatangan penjajah dari Barat ke rantau sebelah sini, orang Melayu telah pun terbiasa dengan perpecahan. Sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama di Nusantara, dari era Hindu-Buddha hinggalah selepas kedatangan Islam, sarat dengan kisah-kisah perpecahan yang sebahagiannya membawa kepada peperangan.
Kita juga tidak menghadapi masalah dalam soal agama. Semua orang Melayu beragama Islam tidak pernah berperang kerana perselisihan. Yang ada hanyalah perpecahan kerana kuasa. Dalam bahasa mudahnya, politik.
Adalah tidak benar jika dikatakan UMNO sebagai punca terjadinya pecah-belah itu. Ia juga bukan disebabkan oleh Pas, PKR atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam UMNO, perpecahan berlaku sejak awal penubuhannya apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang sebelum itu bergabung dengannya menarik diri pada 29 Jun 1946.
Perpecahan berlaku lagi lima tahun kemudian apabila Datuk Onn Jaafar membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Yang Dipertua UMNO pada persidangan agung 1951 selepas menyedari cadangannya untuk membuka pintu parti kepada bukan Melayu ditolak oleh akar umbi.
Beberapa nama dicalonkan sebagai pengganti dan keputusan berpihak kepada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Tidak lama selepas itu, pada tahun sama, Onn meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti Independence of Malaya Party (IMP).
Pada tahun itu juga, Ahmad Fuad Hassan dan sekumpulan ulama UMNO menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya. Persatuan inilah kemudiannya berkembang dan menjadi Parti Islam Se-Malaya (Pas).
Pada 1953, UMNO bergolak lagi susulan pemecatan Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz yang merupakan salah seorang pengasas UMNO. Puncanya kerana beliau ketika itu Menteri Besar dan Ketua UMNO Perak mengetuai enam menteri besar menubuhkan National Convention, satu tindakan yang menyebabkan Tunku Abdul Rahman tersinggung kerana sebagai Yang Dipertua UMNO, beliau sepatutnya dimaklumkan dahulu mengenai penubuhan itu. Tetapi ada pihak berpendapat, ada lagi sebab lain. Tunku Abdul Rahman dikatakan takut pengaruh Abdul Wahab menyainginya.
ANWAR IBRAHIM
Pemecatan itu menyebabkan banyak ahli UMNO Perak keluar parti mengikut jejak Abdul Wahab. Pada 1964, UMNO kalut dengan pemecatan Aziz Ishak. 1969, pemecatan Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) dan Musa Hitam (kini Tun). 1978, Sulaiman Palestin menawarkan diri bertanding kerusi presiden mencabar Datuk Seri Hussein Onn (kemudiannya Tun). Demikianlah parti Melayu terbesar itu, tidak pernah berpeluang tenteram untuk tempoh lama.
Kemuncak kalut-malut itu adalah pada 1987 apabila team A diketuai Dr. Mahathir bertembung team B diterajui Tengku Razaleigh Hamzah. Ia membawa kepada perpecahan besar dengan Tengku Razaleigh menubuhkan parti baharu, Semangat 46.
11 tahun selepas itu, satu lagi perpecahan besar terjadi susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lahir pula Parti Keadilan Nasional, yang kemudian dijenamakan menjadi PKR.
Pas juga tidak sunyi dengan pergolakan. Pada pilihan raya umum 1959, parti itu berjaya membentuk kerajaan di Terengganu. Tetapi dua tahun kemudian tumbang apabila berlaku lompat melompat, yang akhirnya membolehkan Perikatan membentuk kerajaan. Perpecahan berlaku lagi menjelang pilihan raya 1977 ketika Pas berada dalam Barisan Nasional (BN). Pergeseran antara kumpulan pro Yang Dipertua Pas, Datuk Asri Muda (kemudiannya Tan Sri) dengan kumpulan pro Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamed Nasir yang mesra UMNO membawa kepada penyingkiran menteri besar itu dari parti. Muhamed Nasir kemudiannya menubuhkan Berjasa, yang mengambil alih peranan Pas dalam BN.
Untuk tempoh lima tahun selepas itu, Pas tidak pernah tenang dalam erti kata sebenar. Golongan ulama diketuai Yusuf Rawa mula bergerak untuk menguasai parti itu. Perpecahan terburuk Pas berlaku menjelang 2015 apabila Majlis Syura mengesahkan hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan. Tindakan itu secara langsung ‘meruntuhkan’ Pakatan Rakyat (PR) dianggotai Pas, DAP dan PKR. Ia juga menyebabkan Pas berpecah kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan ulama dan kumpulan progresif.
Pemilihan dalam Muktamar Pas ke-61 pada Jun 2015 menyaksikan kumpulan progresif diketuai Mohamad Sabu (Mat Sabu) kalah teruk. Susulan kekalahan itulah, kumpulan yang pro PR mengambil langkah menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).
PKR juga tidak terkecuali daripada politik pecah-belah. Sejak penubuhannya, PKR kehilangan banyak nama besar yang pernah menjadi tulang belakang. Dr. Chandra Muzaffar, Marina Yusuff, Annuar Tahir, Anuar Shaari, Ezam Mohd. Noor, Ruslan Kassim, Zainur Zakaria, Datuk S. Nallakarupan dan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Terkini, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen PKR.
Badi perpecahan turut hinggap pada Bersatu. Pada usia baru tiga tahun lebih sedikit ia berkocak, bergelora dan akhirnya terbelah dua, menjadi Bersatu asal dan Bersatu serpihan yang sekarang dalam usaha menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Tidak diketahui sampai bila kita akan terus ‘terpaksa’ melihat, membaca dan mendengar kisah-kisah perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Kata Pak Ungku dalam wawancara sama, sehingga mereka (orang Melayu) bertambah pandai. Soalnya bilakah kita akan ‘pandai’? Bilakah? Masa, waktu dan niat suci akan menentukannya.
Datuk Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.










