Bangga! Itulah perasaan saya tatkala melihat warga asing di Malaysia yang mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan. Bertambah bangga lagi apabila memikirkan keadaan negara kita yang semakin hilang identiti kebangsaan khususnya buat mereka yang mengaku sebagai warganegara tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Ada pula yang sampai ke tahap memerlukan penterjemah, sangat memalukan. Orang asing yang bijak akan mengambil peluang mempelajari bahasa kebangsaan, kemudian menggunakan kelebihan tersebut untuk menjadi terkenal menerusi saluran media sosial seperti Facebook dan Instagram. Lalu berbondong-bondonglah orang kita memuji dan menyanjung mereka. Dalam artikel sebelum ini pun saya pernah kongsikan nasihat dan kritikan warga Rusia tentang bangsa kita yang lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga menyukarkan mereka untuk mempelajari bahasa kebangsaan.
UNIK
Baru-baru ini, saya melawat sebuah syarikat, Malaysian International Education Centre (MIEC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan. Apa yang mengejutkan, MIEC turut mengadakan kelas bahasa Melayu kepada warga asing di negara ini.
Menurut Pengerusi MIEC, Ir. Shahul Hamid Mohd. Ismail, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan ia dipertuturkan secara meluas di peringkat antarabangsa, bahkan ia merupakan bahasa rasmi dalam berurusan dengan kerajaan. Maka, bahasa kebangsaan sangat berguna kepada warga asing apatah lagi dalam urusan seharian.
Tuan Shahul juga melihat bahasa Melayu sebagai kunci untuk memahami dan menghargai budaya Malaysia, khususnya dalam kalangan warga asing yang tinggal di sini.
“Sasaran MIEC ialah untuk menghubungkan kembali hubungan antara rakyat tempatan dan warga asing ini dengan mewujudkan kokurikulum bahasa Melayu yang unik dan lebih efektif,” katanya.
Saya sendiri begitu teruja dan bangga melihat kelas bahasa Melayu berlangsung dengan lancar. Saya kagum dengan teknik mengajar gurunya, M. Subashini yang kreatif dan mesra pelajar.
Shubashini begitu profesional memandangkan dia berpengalaman puluhan tahun sebagai guru bahasa Melayu dan Inggeris. Dia yang lebih setahun berkhidmat di MIEC menyatakan, pelajar asing gemar mempelajari bahasa kebangsaan menerusi simpulan bahasa seperti kaki bangku dan panjang tangan.
“Saya juga seronok mengajar mereka kerana pada masa sama dapat mempelajari budaya mereka,” ujarnya.
NEGARAKU
Konsep mengajar bahasa kebangsaan di MIEC bukan hanya sekadar fokus kepada tatabahasa tetapi juga sejarah negara seperti nama-nama negeri dan kemerdekaan. Begitu membanggakan apabila saya sendiri berpeluang mendengar Negaraku dinyayikan oleh pelajar-pelajar Rusia. Saya kagum dan menghargai MIEC yang menggalas tanggungjawab mengangkat martabat negara menerusi kelas bahasa kebangsaan. Apatah lagi melihatkan Ketua Pegawai Eksekutif MIEC, Bayan Nishan merupakan warganegara Kazakhstan, namun aktif mempromosi kelas bahasa ini dalam kalangan rakyat asing di Malaysia!
“Kami baru sahaja mempromosi kelas bahasa kebangsaan kepada warga asing. Sehingga kini, kami mempunyai 10 pelajar termasuk warganegara Rusia, Kazakhstan dan India.
“Kesemua mereka mampu belajar dan menguasai dengan baik bahasa Melayu,” jelasnya.
CAHAYA MATAHARI
Dalam pada itu, Ilona, 22, berkata, dia menetap di negara ini sejak berumur 11 tahun. Dia belajar bahasa Melayu dengan rakan-rakannya meskipun mereka lebih sukan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Ilona yang bermaksud ‘cahaya matahari’ dalam bahasa Lithuania kini melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi di Universiti Sunway.
Di MIEC, dia mengikuti kelas bahasa Melayu bersama ibu bapanya. Ibunya, Irina, berasal dari Moscow merupakan seorang pengembara. Irina telah mengembara ke banyak negara dan sentiasa berusaha untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan.
“Sebagai seorang warga Rusia, mempelajari bahasa Melayu bukanlah begitu mudah. Cabaran utama adalah untuk memahami perkataan, tatabahasa, susunan ayat dan penggunaan perkataan harian yang mempunyai maksud berbeza berdasarkan situasi tertentu,” katanya.
BERKELANA
Suaminya, Slava, yang berkelana di Malaysia selama 10 tahun atas urusan perniagaan melihat kepentingan menguasai bahasa Melayu sekalipun secara asas.
“Dengan mempelajari bahasa Melayu, ia dapat memberikan kita pengetahuan yang lebih baik tentang budaya dan tradisi orang Malaysia,” katanya.
Begitulah kepentingan dan kelebihan menguasai bahasa tempatan di bumi asing agar kita tidak ketinggalan atau gagal menjalin hubungan dengan masyarakat di sekeliling. Namun, itu semua bukanlah suatu perkara yang besar sekiranya dibandingkan dengan mereka yang lahir dan membesar di negara sendiri tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa ibunda. Ini adalah sesuatu yang sangat memalukan!
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










