Kita sering mendengar pelbagai cerita negatif tentang kehidupan bermasyarakat di bandar-bandar besar, khususnya di ibu kota. Antara isu yang paling lazim diperkatakan, jiran-jiran tidak bertegur sapa sehinggakan ada yang tidak mengenali siapakah orang di sebelah rumah mereka.
Saya bersyukur kerana keadaannya amat berbeza di kawasan kejiranan kami di mana penduduk hidup seperti sebuah keluarga yang besar. Kami semua sangat rapat dan hidup bagai aur dengan tebing. Malah, sejak arwah ayah meninggal, saya sangat berterima kasih kepada jiran-jiran yang begitu mengambil berat tentang kebajikan kami dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Waktu kecil, saya sangat seronok setiap kali tibanya Ramadan kerana kami akan bertukar-tukar juadah. Malah, jiran-jiran rapat kami sudah tahu makanan kegemaran saya serta kakak-kakak yang ketika itu masih kecil dan baru belajar berpuasa.
Begitu juga suasana di surau berhampiran rumah kami yang menjadi pusat kehidupan bermasyarakat. Sebelum penularan Covid-19, keadaan di surau sentiasa meriah dan penuh semangat setiakawan.
Hidup bermuafakat membawa berkat. Semangat kejiranan yang tinggi adalah pemangkin kepada semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Keharmonian negara hanya akan dapat direalisasikan apabila adanya persepakatan, sikap hormat-menghormati serta tolong-menolong dalam kalangan rakyat.
Sikap individualistik dan hanya mementingkan diri yang kini semakin meresapi kehidupan kita adalah ibarat barah yang akan merosakkan kehidupan bermasyarakat.
Kita perlu muhasabah dan berusaha memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih bertanggungjawab. Jangan kita menjadi ibarat kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak; langit dapat dilukis, sudut kambut diserayakan.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










