Mukadimah
SEBUAH portal berita baru-baru ini membuat satu ‘pemerhatian’ terhadap kursus wajib praperkahwinan pasangan beragama Islam yang digambarkan tidak lebih sekadar sesi sembang seks. Dalam pemerhatian itu, penceramah dilihat sering berjenaka mengenai seks menyebabkan beberapa peserta kursus terkejut dan tidak selesa, sekali gus diulas sebagai satu trend membimbangkan oleh beberapa aktivitis dan ahli akademik.
Mereka menyatakan kursus tersebut tersasar daripada objektif untuk mendidik masyarakat Islam mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan. Kehadiran pun dianggap sekadar mahu memperoleh sijil.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), DATUK ABDUL AZIZ JUSOH tampil menafikannya.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM di Putrajaya, beliau yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Jakim memberi penjelasan lanjut tentang kursus berkenaan, baru-baru ini:
UTUSAN: Mengapa Kursus Praperkahwinan Islam (KPPI) diperkenalkan dan diwajibkan kepada masyarakat?
ABDUL AZIZ: Menerusi tinjauan dan permasalahan ummah dalam aspek kekeluargaan yang dibuat ketika itu, memperlihatkan betapa institusi kekeluargaan Islam perlu dibantu dari aspek bimbingan seawal pembinaan rumah tangga. Justeru, bagi tujuan tersebut, maka pelaksanaan KPPI diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif Jakim.
Kewajipan menghadiri kursus ini dinyatakan dalam Garis Panduan Bagi Prosedur Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk bagi masyarakat Islam di Malaysia. Sijil kursus ini mesti dikemukakan oleh pasangan yang ingin memohon kebenaran berkahwin di Jabatan Agama Islan Negeri (JAIN) masing-masing.
Bagaimana penyelarasan kursus dibuat di seluruh negara?
Modul yang diguna pakai ialah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) sejak mula kursus ini diperkenalkan pada 1996. Dari aspek pelaksanaan, Jakim menyelaras bersama JAIN di seluruh negara. Melalui Persidangan Ketua-ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang diadakan setiap tahun, pelbagai isu berkaitan perkahwinan, penceraian dan lain-lain prosedur berhubung kekeluargaan dibincang dan diselaraskan.
Selain modul, Garis Panduan Pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam turut disediakan bagi memastikan perkara-perkara berkaitan penganjuran dan pelaksanaan kursus dapat diselaras, dipantau dan dikawal selia dengan sebaiknya oleh Jakim dan JAIN. JAIN bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pihak-pihak yang menganjurkan kursus ini di negeri masing-masing, seperti permohonan kebenaran untuk menjadi penganjur, pemberian sijil kursus kepada peserta dan lain-lain perkara berkaitan teknikal seperti tempat dan kemudahan.
Ada segelintir pihak mengatakan kursus praperkahwinan banyak menyentuh tentang seks. Benarkah?
Tidak benar jika menyatakan kursus praperkahwinan hanya sekadar sesi sembang seks. Seperti yang saya telah sebut tadi, modul kursus praperkahwinan ini merangkumi ilmu asas syariat Islam, prosedur perkahwinan, penceraian dan rujuk, pengurusan stres dan konflik, pengurusan kewangan, pembubaran perkahwinan serta majlis akad nikah dan walimatulurus.
Beberapa portal dan komen netizen mempersoalkan kualiti kandungan ceramah kursus ini. Apakah kandungan sebenar modul?
Kandungan MBKPI disesuaikan bagi mencapai objektif untuk mendedahkan ilmu pengetahuan menyeluruh berkaitan aspek kekeluargaan Islam. Kandungan modul ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa selaras keperluan masyarakat yang menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Secara keseluruhannya, modul ini meliputi prosedur perundangan berkaitan perkahwinan, pengurusan kewangan, kesihatan dan asas-asas Islam.
Sejauh mana modul ini membantu peserta kursus?
Sehingga kini, kandungan MBKPI telah disemak sebanyak empat kali bermula 1996 hingga 2018. Bagaimanapun, kandungan utama modul ini dikekalkan, iaitu ilmu asas syariat Islam seperti akidah, akhlak dan ibadah yang disatukan sebagai ilmu Tasawwur Islam, juga Fiqh Munakahat iaitu melalui tajuk Perkahwinan.
Peserta kursus seterusnya diberikan pendedahan berkaitan perundangan dan prosedur perkahwinan, penceraian dan rujuk. Pendedahan maklumat berkaitan ini penting bagi memastikan pasangan yang akan berkahwin bersedia dengan pengetahuan serta peka tentang hak-hak mereka dalam perkahwinan.
Malah, tajuk ini merangkumi hampir 70 peratus dalam modul yang disampaikan iaitu menerusi tajuk Prosedur Perkahwinan, Pengurusan Stres dan Konflik, Pembubaran Perkahwinan serta Majlis Akad Nikah dan Walimatulurus.
Menyedari tentang kepentingan dalam matlamat perkahwinan iaitu mewujudkan institusi kekeluargaan yang sakinah, mawaddah dan rahmah, maka modul kursus turut memberi penjelasan kepada peserta mengenai tanggungjawab dan komunikasi antara suami isteri. Selain itu, sebagai nilai tambah kepada aspek pengurusan kekeluargaan, peserta turut didedahkan dengan ilmu pengurusan kesihatan dan kewangan keluarga.
Justeru, para peserta perlu mengikuti kursus ini sebaik-baiknya bagi memastikan segala kandungan modul dapat difahami dan seterusnya dimanfaatkan untuk pembinaan rumah tangga yang bahagia dan sejahtera. Malah, kaedah pengajaran bersemuka bersama penceramah terlatih membolehkan peserta bertanya apa jua soalan atau kemusykilan berkaitan.
Walaupun ada kandungan modul yang dilihat seolah-olah terlalu asas bagi sebahagian peserta yang mungkin menerima pendedahan ilmu syariat Islam, namun perkongsian pengalaman dan kemahiran penceramah perlu dimanfaatkan.
Bagaimana Jakim dan JAIN memastikan penyampaian modul kursus memenuhi piawaian atau kualiti ditetapkan?
Penceramah kursus memainkan peranan sangat penting dalam memastikan penyampaian kandungan modul dapat disampaikan kepada peserta yang menjadi sasaran utama pelaksanaan kursus ini.
Dua perkara dipastikan kualiti penceramah, iaitu dengan memberikan latihan kepada penceramah dan pemantauan. Peserta juga boleh membuat aduan secara bertulis kepada JAIN sekiranya terdapat isu-isu tertentu yang mungkin tidak menggambarkan kualiti penceramah sebagaimana sepatutnya.
Jakim sentiasa mengambil perhatian sewajarnya dalam memastikan penceramah serta modul yang digunakan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama pelaksanaan kursus ini adalah untuk membantu pembinaan institusi kekeluargaan yang sejahtera dan bahagia.
JAIN sebagai institusi agama yang berperanan penting menjadi penguasa agama di negeri, sentiasa memantau dan mengawal selia penganjur dan pelaksana kursus yang diadakan saban minggu.
Penggemblengan kerjasama erat antara Jakim dan JAIN dalam usaha memastikan institusi kekeluargaan Islam bukan sekadar dalam ruang lingkup pelaksanaan kursus sahaja, malah pelbagai program, modul bimbingan dan lain-lain penyelarasan turut diwujudkan.










