SUATU prosiding jenayah itu lazimnya merentasi dua fasa sebelum sampai ke penghujung.
Fasa pertama bermula apabila pertuduhan dibaca kepada tertuduh dan dia mengaku tidak bersalah (mahu dibicarakan). Fasa ini berakhir apabila pendakwa berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap tertuduh. Selepas itu, mahkamah akan memanggil tertuduh membela diri. Sebaliknya jika pendakwa gagal membuktikan kes prima facie, mahkamah akan membebaskan dan melepaskan atau acquit and discharge (AAD) tertuduh, dan prosiding berhenti di sini.
Fasa kedua bermula apabila tertuduh mengemukakan pembelaannya. Sekiranya dia berjaya membuktikan dia tidak bersalah atau pun dia dapat menimbulkan keraguan munasabah, dia layak dibebas dan dilepaskan.
Sekiranya dia gagal berbuat demikian dan pendakwa dapat meyakinkan hakim bicara melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh bersalah, maka tertuduh akan disabit dan dihukum.
Selepas itu, terserah kepada tertuduh jika dia mahu membuat rayuan.
Ada masanya, urutan prosiding seperti digambarkan di atas tidak berlaku. Awal lagi, sebelum sampai ke penghujung fasa pertama, pendakwa memaklumkan mahkamah niatnya untuk tidak meneruskan prosiding. Pendakwa kemudian meminta mahkamah melepaskan tanpa membebaskan tertuduh atau discharge not amounting to acquittal (DNAA). Terserah kepada budi bicara mahkamah sama ada hendak memberi DNAA atau AAD kepada tertuduh.
Ada perbezaaan besar antara dua keputusan itu kepada diri tertuduh. Jika dia diberi DNAA, dia boleh pada bila-bila masa diheret semula ke mahkamah, dituduh dengan kesalahan sama dan dibicarakan sehingga penghujung. Sebaliknya, jika AAD, dia tidak boleh diheret ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan dengan kesalahan sama kerana dia dilindungi oleh Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan daripada perbicaraan berulang atau double jeopardy rule.
PELUANG KEDUA
Biasanya pendakwa akan memohon mahkamah memberi DNAA kepada tertuduh apabila saksi pentingnya (pengadu) sudah tidak minat lagi memberi keterangan untuk membolehkannya mendapatkan sabitan.
Ini berlaku dalam kes juruwang sebuah pasar raya di Kota Kinabalu, Sabah pada Jun 2019. Morzelyna Ansuku, 28, dituduh melakukan pecah amanah wang milik majikannya. Ketika perbicaraan bermula, pengadu (majikan tertuduh) memberitahu mahkamah, dia tidak mahu memberi keterangan bagi pihak pendakwa kerana ingin memberi ‘peluang kedua’ kepada tertuduh yang telah pun meminta maaf dan berjanji akan memulangkan wang yang diambilnya.
Pada April 2019, Mahkamah Sesyen Kangar memberi DNAA kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dituduh melakukan gangguan seksual terhadap seorang gadis berusia 15 tahun (mangsa) dalam keretanya pada 20 Oktober 2018. Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat perintah itu setelah dimaklumkan bahawa pendakwa tidak mahu meneruskan prosiding kerana mangsa (saksinya yang kelima) enggan memberi keterangan.
Pada September lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh memberi DNAA kepada bekas pekerja ladang M. Sugu yang dituduh mencederakan isterinya, S. Pavithira (YouTuber) pada 21 Julai lalu. Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas Pavithra menyatakan dia menarik balik aduannya terhadap tertuduh dengan rela hati, tanpa dipaksa oleh sesiapa pun.
Saya kira rakyat boleh terima keputusan DNAA dalam ketiga-tiga kes di atas kerana pendakwa tidak ada pilihan lain apabila saksi pentingnya tidak lagi bersedia memberi keterangan. Andainya pendakwaan diteruskan juga, kebarangkalian prosiding akan berakhir dengan pembebasan dan pelepasan tertuduh, yang bermakna tertuduh tidak boleh diheret semula ke mahkamah. Sebaliknya, jika DNAA diputuskan oleh mahkamah, pintu prosiding pada masa depan belum lagi tertutup.
Lain pula ceritanya dengan DNAA melibatkan Riza Aziz yang menghadapi lima pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001. Majlis Peguam menganggap kesanggupan Peguam Negara memohon DNAA tertuduh dalam kes ini perplexing (sukar difahami). DNAA dipohon dalam kes ini bukan kerana pendakwa khuatir kesnya tidak akan berjaya.
Sebaliknya sebab utama adalah kesanggupan tertuduh ‘memulangkan semula’ sejumlah wang yang merupakan aset asal 1MDB. Kata Majlis Peguam lagi, it is indefensible and outrageous to allow an accused person to buy himself out of a serious criminal offence. (www.theedgemarkets.com, 28 Mei 2020).
TIDAK ADIL
Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi DNAA kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menghadapi tuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang pemaju hartanah, Datuk Tan Eng Boon. Pemaju tersebut mengaku salah pada September lalu atas kesalahan bersubahat dan didenda RM1.5 juta.
Hakim bicara Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan DNAA bagi tertuduh atas permohonan pendakwa, walaupun peguambela tertuduh menyatakan keputusan itu tidak adil bagi anak guamnya kerana pertuduhan rasuah itu akan ‘terus tergantung atas kepala tertuduh sehingga bila-bila.’
Berasaskan amalan mahkamah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bolehlah saya simpulkan isu ini seperti berikut:
• Kalau saksi pendakwa tidak lagi bersedia memberi keterangan bagi pihaknya, tetapi pendakwa merasakan masih ada peluang untuk meneruskan kes ini pada masa depan terhadap tertuduh, pendakwa akan memohon DNAA. Ini berlaku dalam kes Sugu dan Shahidan di atas.
• Kalau pendakwa merasakan sukar bagi pihaknya meneruskan prosiding disebabkan ada saksi yang sudah mati, mengalami masalah kesihatan dan sukar mendapatkan kerjasama daripada pihak lain, pendakwa akan memaklumkan mahkamah ia tidak berhasrat meneruskan kesnya, seperti yang berlaku dalam kes Tan Sri Musa Aman. Pada 9 Jun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebas dan melepaskan (AAD) tertuduh setelah pendakwa menarik balik semua 46 pertuduhan terhadapnya.
• Kadangkala berlaku plea bargaining (perundingan) antara kedua-dua pihak, di mana hasilnya pendakwa meminda pertuduhan asal kepada pertuduhan lain yang membawa hukuman lebih ringan (apabila disabitkan). Tertuduh kemudian akan mengaku salah kepada pertuduhan baharu ini dan disabitkan. Anehnya, ini tidak berlaku dalam kes Riza Aziz, di mana dia diberi DNAA oleh mahkamah.
Ada beberapa kes lain di mana tertuduh menerima DNAA daripada mahkamah. Hendaknya apa juga yang dilakukan oleh mereka yang ada kuasa dalam hal ini dilakukan atas pertimbangan undang-undang sepenuhnya, dan tidak sekali-kali dipengaruhi oleh faktor luaran lain.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










