fbpx

21 Januari 2021, 7:12 pm

  TERKINI

Keluar tanpa syarat

PENGELUARAN i-Sinar akan melibatkan lapan juta pencarum. – IHSAN KWSP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA membaca pelbagai reaksi orang ramai mengenai pengumuman oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkenaan dengan pengeluaran i-Sinar, baru-baru ini.

Majoriti komen dalam media sosial berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarat-syarat yang dikenakan.

Apakah tiada rasa malu pihak kerajaan apabila melihat lebih daripada 50,000 pengguna media sosial yang membuat komen turut memohon bantuan daripada seorang bekas Perdana Menteri sedangkan beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan?

Bukankah pihak kerajaan sendiri yang sepatutnya mendengar keluhan mereka? Balik-balik yang disalahkan adalah pencarum. Paling tidak pun, cybertrooper menuduh pencarum ingin membeli iPhone 12 atau motosikal baharu jika wang berkenaan dikeluarkan.

Pihak KWSP dan juga media arus perdana seperti mencurahkan minyak di atas api yang sedang marak dengan mengeluarkan pelbagai poster atau kenyataan daripada beberapa orang pakar seperti ahli perbankan untuk memberikan justifikasi tentang syarat atau kriteria pengeluaran i-Sinar ini.

Kenyataan dan justifikasi yang kelihatan seperti melawan arus menyebabkan orang ramai terutamanya pencarum menjadi lebih emosi dan marah bukan sahaja terhadap KWSP malah keseluruhan pemimpin sehingga Perdana Menteri sendiri. Pada pendapat saya, kerajaan perlu mengkaji semula keputusan itu secepat mungkin agar sentimen masyarakat boleh dipulihkan.

Pengumuman kerajaan bahawa i-Sinar akan melibatkan pengeluaran berjumlah kira-kira RM70 hingga RM80 bilion meliputi lapan juta pencarum dan ia lebih besar daripada inisiatif i-Lestari sebelum ini.

Jika fungsi dan tujuan pengeluaran ini adalah sama, mengapa perlu pelbagai syarat dikenakan?Adakah kerana wang di Akaun 1 itu memang telah digunakan untuk pelaburan? Dan kalau benar ia digunakan untuk pelaburan, tidakkah ada cara untuk mencairkan semula bagi membantu pencarum? Pada akhirnya, jika pencarum itu sudah memasuki usia pencen, wang Akaun 1 itu juga bakal dikeluarkan. Bayangkan jika ada lapan juta pencarum pada masa ini akan berpencen, bukankah konsepnya sama?

Saya ingin mengulas pencarum Kategori 2 yang hanya boleh memohon secara dalam talian mulai 11 Januari tahun depan. Penghujung dan awal tahun ialah bulan yang sangat kritikal kepada rakyat di mana pelbagai persediaan sekolah perlu dibuat dengan kos alat-alat persekolahan masih tiada sebarang penurunan harga.

Perlu diingatkan kepada pihak yang membela kerajaan yang menyatakan pelbagai bantuan telah diberikan, mereka perlu sedar harga barangan di pasaran masih tidak turun. Baru-baru, ini kita diberitahu bahawa harga roti telah dinaikkan. Bawang juga telah naik harga disebabkan oleh banjir besar yang berlaku di India.

Ada juga yang menyatakan pencarum tidak terjejas secara langsung tidak perlu buat pengeluaran. Pada pandangan saya, kelebihan pengeluaran kepada pencarum yang tidak terjejas secara langsung akan membantu merancakkan ekonomi negara.

Tidakkah kerajaan melihat perkara ini? Mengeluarkan lesen perniagaan atau penjaja begitu banyak tetapi tiada pembeli. Bijakkah tindakan itu? Lebihan tunai pada rakyat membolehkan mereka berbelanja di luar. Sekurang-kurangnya penjual nasi lemak di tepi-tepi jalan boleh mendapat hasilnya.

Saya masih tertanya-tanya apakah pemimpin kerajaan tidak melihat perkara ini atau mereka hanya duduk di kafe mahal untuk minum kopi tanpa memikirkan nasib penjaja kecil yang begitu ramai pada masa kini.

PENCARUM83
Kuala Lumpur

POPULAR

BERITA BERKAITAN