Laporan media tempatan minggu lalu mengenai tindakan undang-undang yang difailkan oleh Christina Caroline Gerarda Johanna Verstappen, 56, iaitu ibu kepada Ivana Esther Robert Smit, warga Belanda berusia 18 tahun yang mati dalam keadaan masih jadi tanda tanya sehingga kini, tidak mengejutkan saya.
Ivana Smit ditemui mati pada 7 Disember 2017 dalam keadaan bogel di tingkat enam balkoni sebuah unit kondominium di Persiaran Capsquare Residences, Kuala Lumpur selepas terjatuh dari tingkat 20.
Dalam tuntutan sivil yang difailkan melalui satu firma guaman di Kuala Lumpur, plaintif (ibu Ivana) mendakwa defendan pertama (Ketua Polis Negara) dan tiga defendan lain, iaitu pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah (defendan kedua), Menteri Dalam Negeri (defendan ketiga) dan Kerajaan Malaysia (defendan keempat) telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka serta cuai ketika menjalankan siasatan kematian Ivana. Plaintif memohon mahkamah memerintahkan defendan menjalankan siasatan semula kes itu.
Plaintif mendakwa, siasatan yang dijalankan sebelum ini dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira semua aspek termasuk laporan bedah siasat dan laporan kimia, selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan polis.
Plaintif menyatakan, pada 8 Mac tahun lalu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana yang jatuh dari unit kondominium di Capsquare Residences, tiga tahun lalu adalah disebabkan misadventure. Koroner yang mendengar inkues bagi menentukan punca sebenar kematian Ivana mendapati tiada siapa yang terlibat secara jenayah.
Ibu Ivana bagaimanapun, tidak puas hati dengan keputusan koroner itu dan memohon semakan kehakiman (judicial review) oleh Mahkamah Tinggi. Pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi mengetepikan dapatan (finding) inkues oleh koroner itu dengan memutuskan kematian Ivana adalah disebabkan oleh ‘tindakan seorang yang dikenali atau tidak dikenali.’
Selain itu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Pejabat Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat punca kematian Ivana.
Berasaskan latar belakang fakta tersebut, plaintif kini memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan semua defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan melakukan penghinaan mahkamah (contempt of court) kerana sengaja ingkar atau gagal melaksanakan arahan Mahkamah Tinggi itu.
Plaintif juga memohon mahkamah memerintahkan Ketua Polis Negara mengeluarkan defendan kedua (pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah) dari pasukan petugas khas baharu serta menghendaki PDRM melaporkan perkembangan siasatannya kepada mahkamah, peguam plaintif atau kepada plaintif sendiri dari semasa ke semasa.
Plaintif juga memohon perintah supaya PDRM dan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan waran tangkap terhadap Alexander William Johnson (warga Amerika Syarikat) dan Lunara Almazkyzy (warga Kazakhstan), iaitu dua individu terakhir yang ada bersama Ivana ketika kejadian yang membawa kepada kematiannya itu berlaku supaya mereka boleh hadir dan diminta membantu siasatan kes sehingga selesai.
Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
KEPUTUSAN HAKIM
Akhbar tempatan bertarikh 22 November 2019 melaporkan, Hakim Collin Lawrence Sequerah telah meluluskan permohonan semakan kehakiman oleh keluarga Ivana untuk membatalkan keputusan Mahkamah Koroner yang mengklasifikasikan kematiannya disebabkan misadventure. Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati kematian Ivana adalah disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali.’
“Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Koroner diketepikan dan saya meminta Pejabat Peguam Negara untuk mengarahkan pihak polis menyiasat punca kematian Ivana Smit,” katanya.
Mengikut hakim lagi, koroner dalam keputusannya bersetuju dengan dapatan pakar patalogi Belanda, Dr. Frank Van De Goot bahawa pergelutan atau perkelahian telah berlaku antara dua individu (Alex Johnson dan Luna Almaz) dengan Ivana. Anehnya, walaupun setuju dengan keterangan saksi pakar itu, koroner memutuskan kematian Ivana sebagai misadventure.
“Keputusan itu tidak konsisten dengan dapatan koroner membabitkan keterangan pakar (Dr. Frank),” tambahnya.
Pada 28 November 2019, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan susulan arahan baru oleh Pejabat Peguam Negara selepas menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan koroner itu. Polis menyiasat semula kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis akan menubuhkan pasukan khas terdiri daripada Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan JSJ Bukit Aman bagi menyiasat semula kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar. Beliau menambah, pihaknya akan memanggil semula individu yang sudah dirakam percakapan atau belum dirakam percakapan sekiranya perlu.
Perkembangan siasatan semula inilah yang menjadi tanda tanya dan kini dibangkitkan dalam tuntutan sivil ibu Ivana.
ELEMEN KES
Kes sivil yang difailkan oleh ibu Ivana ini mengandungi dua elemen penting, iaitu elemen kecuaian (negligence) dan elemen penghinaan mahkamah (contempt of court).
Mengikut prinsip utama undang-undang keterangan, sesiapa yang mendakwa (iaitu plaintif dalam kes sivil atau pendakwa dalam kes jenayah), dialah yang memikul beban bukti – dalam kes sivil, ke tahap kebarangkalain dan dalam kes jenayah, sehingga melampaui keraguan yang munasabah.
Sebagai plaintif dalam kes kecuaian, ibu Ivana menanggung beban untuk membuktikan:
- Defendan ada kewajipan atau tugas kepada plaintif di sisi undang-undang untuk menjalankan siasatan semula ke atas kematian anaknya (Ivana).
- Defendan telah gagal atau mungkir melaksanakan kewajipan tersebut.
- Plaintif telah mengalami kerugian atau kerosakan disebabkan kegagalan atau kemungkiran defendan.
- Kerugian atau kerosakan yang dialami plaintif tidak terlalu jauh (remote) iaitu dalam erti kata lain, boleh diramalkan.
Untuk membuktikan elemen kedua tuntutannya, plaintif perlu membuktikan defendan telah sengaja gagal atau ingkar melaksanakan perintah mahkamah untuk menjalankan siasatan semula kematian Ivana hingga selesai.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










