Wajarkah perkenal semula PLKN? - Utusan Malaysia

Wajarkah perkenal semula PLKN?

Kem PLKN Ayer Keroh, Melaka diwartakan sebagai penjara sementara bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan. – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penolakan terhadap cadangan kerajaan untuk mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dilihat dari sudut positif. Ini mengambil kira keadaan semasa ketika seluruh dunia termasuk Malaysia masih bergelut dengan penularan Covid-19. Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menghentikan PLKN kerana melibatkan kos tinggi kira-kira RM700 juta setahun.

Jumlah besar ini tidak boleh ditampung dan ditanggung oleh kerajaan pada masa ini kerana banyak peruntukan kewangan perlu disalurkan kepada golongan-terjejas teruk akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun ini. Pandemik ini mengakibatkan ramai hilang pekerjaan serta sumber mata pencarian.

Kerajaan juga perlu ketahui, mereka dijangka kehilangan sumber pendapatan tahunannya. Kehilangan sumber pendapatan ini sekali gus bakal menyekat kerajaan untuk menyalurkan banyak peruntukan kepada agensi dan pihak yang lebih memerlukan di pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, pelancongan, pertahanan, penerbangan dan perhotelan.

MAJORITI

Sekiranya ingin meneruskan juga cadangan tersebut, kerajaan perlu memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen dan rakyat mengenai jumlah peruntukan kewangan sebenar yang ingin digunakan bagi menanggung dan menampung segala kos. Mereka juga perlu mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen.

PLKN diperkenalkan pada 2004 bertujuan memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan golongan belia. Program ini juga ditubuhkan bagi membina sahsiah diri bermatlamat meningkatkan dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional selain membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.

PLKN juga ditubuhkan bagi mengurangkan dan membendung segala masalah sosial melibatkan golongan belia. Pelatih yang dipilih merupakan pelajar yang baru menamatkan pendidikan sekolah menengah.

Kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan pelaksanaan semula PLKN secara lebih teliti dan mendalam. Jawatankuasa khas ini perlu dianggotai pihak yang memiliki pengalaman dalam melaksanakan program kesukarelawanan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kewangan serta beberapa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Sebarang keputusan muktamad terhadap pelaksanaan semula PLKN perlu memberi keutamaan kepada kedudukan kewangan negara pada ketika ini serta perbelanjaan untuk sektor yang lebih memerlukan perhatian.

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN