Samuel Paty, 47, adalah seorang guru di Conflans-Sainte-Honorine, iaitu sebuah pekan di barat daya Paris, Perancis. Pada 6 Oktober lalu, sewaktu mengajar muridnya tentang kebebasan bersuara di negara itu, dia telah menggunakan kartun Charlie Hebdo yang menghina Nabi Muhammad SAW. Dia maklumkan murid-muridnya yang beragama Islam bahawa jika mereka tidak selesa dengan apa yang ditunjukkan itu, mereka boleh keluar meninggalkan kelas.
Mengikut seorang pelajar, Paty telah melakukan perkara sama (menggunakan kartun menghina Nabi setiap kali isu kebebasan bersuara diajar kepada murid) setiap tahun semenjak peristiwa berdarah Charlie Hebdo pada 2015.
Tindakan inilah yang mengundang bencana baginya apabila seorang pelarian dari Chechnya bernama Abdullakh Anzorov (remaja berusia 18 tahun) bertindak ganas membunuhnya dan memenggal kepalanya pada Jumaat, 16 Oktober lalu. Paty dibunuh ketika berjalan pulang dari sekolah ke rumahnya. Anzorov menikamnya dengan pisau (12 inci panjang) dan kemudian memenggal kepalanya.
Sebagai seorang guru yang berpengalaman, Paty sepatutnya sensitif tentang isu kartun menghina Nabi Muhammad SAW. Sepatutnya dia mengambil pengajaran dari peristiwa berdarah pada 2015 apabila 12 orang terkorban ekoran penyiaran kartun yang menghina Rasulullah.
Sejurus selepas pembunuhan kejam itu, imej kepala Paty yang dipenggal dimuat naik ke akaun Twitter milik Anzorov, berserta satu mesej daripadanya kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menyatakan bahawa dialah yang membunuh guru itu disebabkan perbuatannya menghina Nabi Muhammad.
Polis kemudian berjaya menjejaki Anzorov dan cuba menangkapnya. Remaja itu kemudian menembak anggota polis dengan senapang angin (air rifle) dan cuba menikam mereka. Dalam tindak balas mereka, polis menembaknya sebanyak sembilan kali dan membunuhnya. Dalam telefon Anzorov, polis temui pengakuannya membunuh Paty serta foto mayat guru itu.
KRISIS
Anzorov, lahir di Rusia tetapi menjadi warganegara Chechnya, menetap di bandar Évreux, kira-kira 100 kilometer dari kawasan sekolah itu sejak 2008.
Mengikut ketua pendakwa anti-keganasan Perancis, Jean-François Ricard, tujuh orang suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut. Dua pelajar sekolah berkenaan telah diupah oleh Anzorov untuk membantunya mengenal pasti identiti mangsa.
Polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun (bapa seorang murid) kerana disyaki terlibat dalam kempen kebencian kepada Paty. Polis juga menahan datuk, kedua ibu bapa dan seorang adik Anzorov. Lebih 50 persatuan Muslim Perancis turut disiasat.
Tiga orang teman rapat Anzorov ditahan polis – seorang daripadanya telah memandu kereta menghantarnya ke sekolah tempat Paty mengajar, manakala seorang lagi membelikan senjata untuk Anzorov.
Pembunuhan Paty segera mengundang kemarahan warga Perancis. Dalam kenyataan awalnya, Macron mengatakan, pembunuhan Paty dilakukan oleh ekstremis Islam (a typical Islamist terrorist attack).
Komuniti Islam di Perancis (berjumlah enam juta orang) merupakan 10 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu, sering menjadi mangsa rasisme dan diskriminasi.
Macron juga dilaporkan berkata, Islam kini berada dalam krisis dan beliau mahu Perancis membuat undang-undang yang lebih keras untuk memerangi Islamist separatism.
Ucapan Macron ini mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Macron sebagai seorang yang sakit mental.
Hubungan Turki dan Perancis yang sebelum ini akrab menjadi renggang dan tindakan tit-for-tat diplomatik berlaku. Erdogan meminta Turki memboikot semua produk buatan Perancis termasuk barang kosmetik. Seruan yang sama kedengaran di Qatar, Jordan, Maghribi, Iran dan Kuwait. Pada 2019, eksport barangan Perancis ke negara-negara Islam bernilai AS$45.8 bilion, sementara importnya bernilai AS$58 bilion.
TRAGIS
Demonstrasi anti-Macron berlaku di beberapa negara Islam termasuk Bangladesh, Pakistan dan Timur Tengah. Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyelar Macron sebagai pemimpin yang menggalakkan Islamofobia.
Apa pengajaran daripada kes pembunuhan Paty di Perancis ini? Kes tragis dua insan dari dua budaya berlainan, punyai dua pegangan bertentangan antara satu sama lain, berakhir dengan kematian kedua-dua mereka.
Di satu pihak, ada seorang guru menjelang usia tua yang berpegang kepada kebebasan bersuara secara mutlak, warga sebuah negara yang megah dengan status sekularnya, mengajar anak muridnya tentang kebebasan itu menggunakan kartun, walaupun sedar kartun itu menghina agama sebahagian muridnya sendiri dan pernah pada suatu ketika menyebabkan pertumpahan darah.
Menghina mana-mana agama bukan satu kesalahan di bawah undang-undang Perancis.
PERTEMBUNGAN
Pada pihak lagi satu pula, ada remaja pelarian dari Chechnya (negara penuh huru-hara), barangkali mangsa radikalisasi, percaya perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW adalah satu jenayah besar yang perlu dihukum segera. Pertembungan dua insan dari dua budaya ini merupakan resipi untuk malapetaka.
Bagaimanakah sepatutnya pendirian kita? Walaupun perbuatan guru itu (yang diulanginya setiap tahun semenjak 2015) adalah satu kebiadaban dan penghinaan terhadap Rasulullah, justeru perlu ditegur, namun perbuatan kejam membunuhnya tetap salah (lihat al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat 32).
Pada masa sama, ucapan Macron yang menyifatkan pembunuhan Paty sebagai satu serangan eksremis Islam juga satu sweeping remark (ucapan menyapu) yang keterlaluan, manifestasi Islamofobia.
Apakah demonstrasi jalanan (seperti yang berlaku di Pakistan dan Bangladesh) dan seruan memboikot barangan buatan Perancis (di Turki, Qatar, Jordan, Mahgribi, Iran dan Kuwait) akan mendatangkan apa-apa natijah yang konstruktif, mendatangkah berfaedah berpanjangan atau hanya retorik semata-mata?
Pada 2019, eksport barangan Perancis ke negara-negara Islam tersebut bernilai AS$45.8 bilion manakala importnya bernilai AS$58 bilion. Apakah pembunuhan Paty pada 6 Oktober lalu akan mengubahnya?
DATUK Dr. Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










