SEKTOR pendidikan menerima tamparan berikutan penularan wabak Covid-19 terutama aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Saya ingin menyentuh dari segi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) yang memerlukan murid belajar beberapa puisi, cerpen, drama dan novel.
Dengan pelaksanaan silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) baharu pada tahun ini, ia memerlukan konsep berbentuk praktikal seperti berasaskan projek, didik hibur dan penggunaan teater sebagai medium pembelajaran mereka.
Pada Mac lalu, negara kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah terpaksa ditutup sehingga Julai. Sehubungan itu, proses pembelajaran pelajar terganggu disebabkan kekangan masa menyebabkan guru mengajar dengan cepat untuk menghabiskan silibus kurikulum yang padat.
Selain itu, guru terpaksa meminimumkan dan membuat pemilihan kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja.
Guru dan pelajar masih memahami dalam pelaksanaan KSSM yang diselaraskan kepada aliran Sastera Melayu bagi tingkatan empat dan lima.
Maka dengan keadaan tidak mengizinkan menyebabkan guru tidak berkesempatan untuk memikirkan dan merancang pengajaran yang kreatif bagi menarik minat pelajar khususnya dalam mengeksploitasi mata pelajaran KMK.
Keadaan ini juga memberi kesan negatif kepada pencapaian serta penguasaan kemahiran pelajar seperti mana objektif KSSM untuk melahirkan pelajar berkemahiran abad ke-21.
DIDIK HIBUR
Selain itu, proses penghayatan untuk menyelami setiap naskhah sastera juga mengalami masalah kerana kesuntukan masa bagi menghabiskan silibus. Sebagai contoh, sekiranya guru ingin melaksanakan pengajaran berpusatkan pelajar seperti didik hibur atau berkonsepkan pembelajaran berasaskan projek, mereka perlu merancang, menyusun dan membina langkah-langkah bagi menghasilkan sesuatu projek yang sesuai seperti mana kehendak kurikulum. Keadaan ini menyukarkan guru yang terlalu mengejar masa bagi menghabiskan silibus untuk membuat persiapan dalam menghadapi peperiksaan akhir.
Perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak sekolah dan guru. Kebijaksanaan guru dalam memacu proses PdP boleh menangani masalah ini. Pelaksanaan transformasi dalam pendidikan yang memerlukan strategi, pendekatan dan kaedah semasa proses pengajaran dan pembelajaran baharu serta pelbagai agar setiap pelajar mampu memiliki ilmu pengetahuan yang sempurna serta menguasai kemahiran diperlukan dalam abad ke-21 (Pelan Pembangunan 2 Pendidikan Malaysia PPPM 2013-2025).
PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










