Selamatkan hutan paya bakau - Utusan Malaysia

Selamatkan hutan paya bakau

KAKITANGAN Gas Malaysia Berhad menanam anak pokok bakau sebagai program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu di Kuala Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hutan paya bakau ialah khazanah yang sangat bernilai, bukan sahaja penting kepada manusia tetapi juga kepada hutan dan tumbuh-tumbuhan lain. Ini kerana hutan jenis ini mempunyai pelbagai fungsi bagi mengimbangi ekosistem flora dan fauna di dalamnya.

Bagaimanapun, ia semakin terancam dek kerana pelbagai faktor, lantas membuatkan jumlah keluasan hutan paya bakau semakin berkurangan.

Menurut Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr. Ahmad Ismail, sumbangan hutan tersebut sangat besar dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, keseimbangan ekosistem dan survival habitat flora serta fauna.

“Dari segi ekonomi, kebanyakan nelayan bergantung harap kepada hutan ini yang menjadi habitat hidupan air seperti ketam, udang kara, ikan patin dan ikan haruan.

“Justeru, mereka amat berharap hutan paya bakau terus wujud untuk memastikan habitat air ini masih ada bagi menjana pendapatan mereka,” katanya.

Selain sumber kepada nelayan, hutan paya bakau menjadi kawasan ekopelancongan kerana keindahan pemandangan serta landskap yang dihuni pelbagai tumbuhan dan haiwan.

Sekiranya dijadikan kawasan ekopelancongan, Ahmad mencadangkan diselitkan juga sesi ceramah kepada pengunjung supaya mereka mendapat maklumat mengenai kepentingannya. Beberapa juru pandu pelancong boleh dilantik untuk menyalurkan maklumat kepada pengunjung mengenai kawasan pokok bakau ini. Dari situ, pelancong boleh menyuntik kesedaran kepada keluarga mereka supaya lebih menyayangi hutan paya bakau.

PUPUS

Bagaimanapun, banyak aktiviti manusia menjadi penyumbang utama kepada kekurangan kawasan hutan ini sejak bertahun lamanya. Pembinaan bangunan dan jalan raya di kawasan tepi pantai menjadi salah satu sebab kemusnahannya selain pembinaan kolam ternakan ikan dan udang. Sehubungan itu, sudah tiba masanya tindakan dilaksanakan bagi melindungi kawasan hutan paya bakau daripada terus berkurangan.

Ketika ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung dilihat begitu agresif mengenal pasti dan melihat semula status hutan di negara ini.

Namun Ahmad memberitahu, usaha jabatan itu masih belum mencukupi bagi mengekalkan hutan disebabkan pihak-pihak yang memikirkan keuntungan sahaja. Tindakan segera daripada kerajaan negeri perlu dengan mengazetkan sebanyak mungkin kawasan hutan paya bakau daripada terus diteroka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN