Sekolah vernakular: Bersikap jujurlah... - Utusan Malaysia

Sekolah vernakular: Bersikap jujurlah…

Pihak yang mempertahankan kewujudan sekolah vernakular sering menyatakan perbuatan mempersoal, membantah dan menuntut institusi itu ditutup adalah salah mengikut Akta Hasutan 1948. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam mempertahan kewujudan sekolah vernakular, pihak yang menyokongnya sering menggunakan dalil bahawa perbuatan mempersoal, membantah apatah lagi untuk menutupnya adalah salah dari segi Akta Hasutan 1948. Oleh itu, tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka yang berbuat demikian. Untuk ini, satu kes mahkamah pada 1978 disebut bagi memperingat golongan terbabit.

Kes itu melibatkan seorang wakil rakyat yang meminta keputusan dibuat tentang penggunaan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) serta pada papan tanda semasa perbahasan di Parlimen. Beliau berpendapat, sekolah ini harus ditutup dan disekat sama sekali penulisan papan tanda dalam bahasa lain.

Untuk ini, beliau tidak pun dikenakan sebarang tindakan perundangan kerana tidak bersalah pun untuk bercakap sedemikian. Ini kerana penganjuran penutupan sekolah vernakular itu tidak pun bersifat menghasut pada Akta Hasutan 1948.

Walaupun begitu, beliau masih didapati bersalah dalam kes ini. Mahkamah Persekutuan mendapati percakapannya bahawa jika penutupan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa lain di papan tanda itu tidak dapat dilakukan di sisi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka beliau menyarankan Perlembagaan Persekutuan harus dirombak. Tambah beliau, sekiranya rombakan itu tidak berjaya dilakukan, ia akan menghampakan amanah rakyat yang mahu melihat identiti negara bersifat peribumi dan bukan sebaliknya.

NATIF

Beliau dikenakan tindakan di bawah Akta hasutan 1948 kerana menyarankan Perlembagaan Persekutuan dirombak jika Perkara 152 didapati berpihak kepada kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa lain di papan tanda. Ini kerana saranan beliau itu salah di sisi Seksyen 3(2) perenggan (c) Akta Hasutan 1948 yang sama sekali melarang sebarang pertanyaan tentang kehadiran Perkara 152 (peranan bahasa kebangsaan), 153 (kedudukan istimewa Melayu, anak negeri Sabah dan natif Sarawak) atau 181 (kedaulatan institusi raja) pada Perlembagaan Persekutuan.

PROFESIONAL

Natijahnya di sini, kesalahan wakil rakyat itu ialah bukan sesekali kerana beliau menghasut agar tindakan diambil terhadap sekolah vernakular dan papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya, beliau dijatuhi hukuman kerana menghasut agar Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 152 dirombak.

Dengan ini, pihak yang menyokong kewujudan sekolah vernakular, lebih-lebih lagi mereka yang terlatih dalam bidang perundangan, tidak sepatutnya mengherotkan fakta perundangan ini. Ia perlu dinyatakan pada landasan kebenarannya!

Untuk menyokong kewujudan sekolah vernakular di negara ini, pihak terbabit hendaklah bertindak bukan sahaja secara profesional, yakni dengan tidak sesekali mengelirukan, ia juga haruslah dilakukan dengan penuh kesedaran nasional, iaitu mengambil kira kepentingan negara.

Masalah sekolah vernakular yang rata-ratanya ditanggapi umum sebagai lubuk penghalang perpaduan dan ketiadaan identiti nasional, perlu ditangani secara jujur demi kebaikan semua pihak, sama ada masyarakat mahupun negara. Diakui sendiri pemimpin bukan Melayu, selain merupakan hakikat umum bahawa rata-rata pelajar dan lepasan sekolah vernakular tidak memiliki kecekapan berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini yang merupakan bahasa kebangsan dan bahasa rasmi.

Ketidakcekapan ini menyebabkan kehidupan mereka bersifat eksklusif Cina atau India, yakni tidak bergaul dengan kaum lain, hanya fasih dalam bahasa ibunda dan membaca bahan dan menonton rancangan televisyen dalam bahasa ibunda sahaja. Oleh sebab tidak cekap berbahasa Melayu, walaupun pada kadar kefasihan munasabah berdasarkan tahap pendidikan, mereka ini dianggap sebagai tiada identiti nasional yang diwakili simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Dalam kes ini ialah bahasa Melayu, setelah dipersetujui dalam perjanjian etnik menjelang kemerdekaan 1957.

PERPADUAN

Masalah tidak cekap ini perlu diatasi segera bukan sahaja ia sudah lama tertangguh setelah merdeka 63 tahun, ia banyak menjejaskan proses pembentukan negara bangsa. Antaranya yang terpenting ialah bahasa Melayu sebagai alat perpaduan yang tidak terjadi kerana tiadanya kefasihan untuk mencetuskan komunikasi bermakna bagi memupuk perpaduan tulen.

Untuk mengatasi masalah ini agar kefasihan munasabah dapat dimiliki setiap warganegara, masyarakat bukan Melayu hendaklah lagi terbuka minda mereka untuk lebih mengidentifikasikan diri dengan masyarakat Melayu. Sehubungan ini, pembelajaran bahasa Melayu perlu melangkaui orientasi instrumental, yakni untuk memenuhi syarat tertentu antaranya lulus untuk memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

ORIENTASI

Ia hendaklah diimbangi dengan orientasi integratif, yakni untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu. Pembelajaran integratif ini pasti akan mengubah sikap mereka terhadap bahasa Melayu itu sendiri dan juga kaum Melayu yang merupakan penutur jati bahasa Melayu. Inilah caranya bahasa Melayu akan berjaya sebagai alat perpaduan!

Kita semua harus ada kesedaran nasional bahawa selain bahasa Melayu sebagai alat komunikasi yang boleh mewujudkan perpaduan negara, ia faktor penting dalam pembentukan negara bangsa, yakni ia identiti nasional Malaysia, identiti budaya rakyat Malaysia. Dengan ini, bahasa Melayu ialah institusi sosial rakyat Malaysia kerana digunakan dalam pentadbiran kerajaan, bidang pendidikan dan perundangan negara serta segala macam yang lain.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×