Tiga tahun lalu, dalam perjalanan dari Segamat ke Pasir Gudang, Johor, arwah ayah membawa kami melawat Galeri Darurat Bukit Kepong. Kunjungan itu memberi keinsafan dan mengajar saya erti pengorbanan dan kesetiaan pasukan polis dalam mempertahankan tanah air.
Sebelum ini, saya sering mendengar dan membaca tentang tragedi Bukit Kepong. Namun, melawat galeri itu membuka perspektif berbeza untuk saya mendalami kejadian berkenaan.
Balai Polis Bukit Kepong terletak di tebing Sungai Muar. Pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan bot menyusuri Sungai Muar.
Pada 23 Februari 1950, balai ini diserang hendap hampir 200 komunis.
Oleh kerana jumlah pengganas jauh lebih ramai berbanding anggota polis, pihak musuh yakin boleh menawan balai itu dengan mudah. Namun, pasukan polis diketuai Sarjan Jamil Mohd. Shah melawan habis-habisan. Malah, isteri-isteri mereka turut nekad mengangkat senjata mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada ditawan musuh.
HANGUS
25 orang terdiri daripada anggota polis, ahli keluarga mereka dan orang awam terkorban. Terdapat juga mangsa yang hangus terbakar.
Perisitwa tersebut yang digambarkan kembali dalam pelbagai bentuk termasuk pameran audio visual, membuatkan saya seolah-olah ada di situ ketika kejadian. Lebih signifikan, galeri ini dibina di atas tapak asal Balai Polis Bukit Kepong.
Turut dipamerkan, laporan akhbar tentang serangan pengganas komunis ke atas balai-balai polis lain, sabotaj kereta api serta pelbagai lagi.
Mengambil iktibar daripada kekejaman dan sifat tidak berperikemanusiaan pengganas komunis selama ini, sewajaranya kita bersikap patriotik dan menjauhkan diri daripada gerakan neo-komunis dan neo-sosialis yang jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










