Rakyatlah king maker demokrasi - Utusan Malaysia

Rakyatlah king maker demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Demokrasi merupakan satu proses yang rakyat mahukan, idamkan dalam memilih jalan terbaik untuk diri mereka dan negara. Rakyat memiliki kuasa mutlak. Rakyat jugalah yang menjadi king maker dalam menentukan hala tuju proses demokrasi ini.

Pemimpin politik, parti politik sering melaungkan mengenai kekuatan, kegemilangan dan keutuhan suara demokrasi setiap kali wujudnya krisis politik di negara ini. Ketika musim pilihan raya, lagilah kuat suara mereka.

Laungan slogan demi rakyat dan demi negara sudah menjadi kempen politik yang semakin lumrah untuk meraih undi demi mencari kuasa. Pemimpin politik sudah seperti hilang ingatan dan mudah lupa segala janji yang dilontarkan mereka ketika berkempen.

Malah segala aku janji sudah menjadi bahan jenaka, namun mereka tetap gunakan rakyat sebagai modal untuk terus berkuasa, mencari kuasa ataupun lompat ke sana ke sini.

Gaya politik umpama kosmetik ini sudah menjadi satu trend baharu di negara ini sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Rakyat digunakan, dipergunakan oleh pemimpin dan parti untuk mememuhi nafsu politik masing-masing.

Tidak ada pegangan politik ataupun satu prinsip yang kental demi menjamin harapan rakyat. Mungkin ada yang tanya, dalam perjuangan politik mana nak cari kesetiaan ataupun prinsip? Budaya cari makan seperti inilah meghancurkan harapan rakyat khususnya generasi muda yang sudah semakin muak dengan sikap segelintir ahli politik.

Sikap tidak kosisten pemimpin politik seperti inilah yang menyebabkan hala tuju politik negara tidak menentu dan tiada kestabilan. Suara rakyat merupakan suara keramat. Malaysia merupakan negara contoh di dunia yang mempraktikkan proses demokrasi dengan tertib, tersusun dan terancang selama ini.

TERKAPAI-KAPAI

Hormatilah pilihan rakyat dan kuasa demokrasi. Ketika ini, masa depan politik negara masih dilihat terkapai–kapai kerana sikap pemimpin politik tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang yang masih mahu ambil kesempatan ketika negara sedang bertarung dengan pandemik Covid-19.

Siapa yang memikirkan mengenai rakyat? Itulah persolan cukup kritikal yang terlintas dalam pemikiran saya ketika menulis rencana ini.

Wah! Ketika pejuang barisan hadapan sedang berjuang, bertarung untuk menyelamatkan negara daripada ancaman Covid-19, pemimpin politik pula sibuk menguruskan, menyiapkan agenda masing–masing.

Apa lagi mereka mahu? Rakyat sudah tidak kisah lagi mengenai PRU-15. Mereka sudah bosan, menyampah dan naik angin melihat perangai ahli politik. Rakyat sedang menderita, terhimpit dan tergugat.

Laporan muka depan Mingguan Malaysia bertajuk Gelombang kemiskinan pada 1 November lalu memberikan gambaran sebenar apa yang sedang berlaku dan akan berlaku. Cukup membimbangkan dan merisaukan.

Laporan tersebut memetik Pengerusi Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, impak wabak boleh menyebabkan masyarakat jatuh ke kelas ekonomi yang lebih rendah sekali gus menambah golongan miskin tegar secara mendadak.

TERJEJAS

Secara realitinya saban hari kita dapat melihat, membaca dan mendengar derita rakyat bukan sahaja dalam kalangan kumpulan B40 tapi semua kumpulan terjejas. Dilema hilang kerja juga semakin menjadi-jadi dan fenomena itu semakin mengkhuatirkan. Banyak lagi isu yang sedang melanda negara kita disebabkan Covid-19.

Tidak dinafikan kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan kemampuan mereka dan sedang merencanakan pelbagai tindakan, rancangan untuk membantu rakyat dan selamatkan ekonomi negara.

Dalam menangani krisis seperti ini, kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak khususnya ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat. Ini bukan masanya untuk mendabik dada, menuding jari ataupun tunjuk kuasa siapa kuat, siapa pandai ataupun buat tuntutan politik.

RINTIHAN

Tidak perlulah letak syarat untuk untuk sokong Belanjawan 2021. Parti politik berhak untuk memberikan cadangan dan pandangan. Kerajaan juga sudah tentu membuat pembentangan yang masuk akal.

Tindakan Menteri Kewangan menjemput wakil semua parti politik untuk berkongsi pandangan merupakan satu langkah yang terbaik untuk merakyatkan Belanjawan 2021.

Diharap suara, rintihan wakil parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan badan–badan lain diberikan perhatian sewajarnya kerana mereka juga mewakili suara rakyat.

Sidang Parlimen sudah bermula sejak minggu lepas. Sebelum sesi Parlimen ini bermula, macam – macam cerita sudah berlegar dan masih segar lagi kerana agak sukar juga untuk membaca percaturan pemimpin politik kerana kedudukan politik negara tidak kukuh seperti dahulu dan kerajaan sedia ada memiliki majoriti yang tipis.

Ingatlah, strategi politik ataupun pertukaran kerajaan tidak akan membantu negara dan rakyat . Ini bukan masanya. Semua ahli Parlimen yang dipilih melalui proses demokrasi perlu memahami situasi sebenar yang sedang melanda negara ketika ini dan bertindaklah mendahulukan rakyat, bukanya kuasa.

Wahai ahli–ahli Yang Berhormat, berganding bahulah antara satu sama lain dan menjadi barisan hadapan untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Tunggulah masanya yang sesuai dan selamat setelah Covid-19 semakin pulih dan rakyat sudah mampu untuk bangkit semula daripada serangan pandemik ini.

Gunakanlah sidang Parlimen untuk membahaskan, membangkitkan isu–isu relevan yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan. Sebarang usul berkaitan politik sudah tentunya akan meletupkan lagi kontroversi politik di negara ini. Rakyat sudah tidak mampu melihat satu lagi ‘kerajaan pintu belakang.’

Pada masa sama, kerajaan yang ada sekarang ‘wajib’ menghormati peranan dan suara ahli Parlimen pembangkang sekiranya mahukan hubungan lebih akrab antara satu sama lain demi rakyat dan negara. Sebarang keputusan penting perlu dibuat melalui perbincangan dua hala antara wakil kerajaan dan pihak pembangkang.

Elakkan petembungan, perselisihan dan pertelingkahan yang membuang masa. Rakyat, rakyat, rakyat yang perlu dijadikan prioriti ketika ini.

Kuasa ditangan anda tapi ingatlah, rakyatlah king maker!

DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik dan perunding media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN