fbpx

Martabatkan sepak takraw

PASUKAN sepak takraw Malaysia meraikan pingat emas yang diraih pada Sukan Asia 2018 selepas menewaskan pasukan Indonesia dalam perlawanan akhir acara antara regu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk memberi ulasan setelah membaca di ruangan ini tentang cadang-an supaya diwujudkan muzium badminton. Saya bersetuju dengan saranan itu kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh pemain badminton negara hingga ke peringkat dunia.

Pada masa sama, saya mencadangkan diwujudkan muzium sepak takraw di negara kita. Sebagai sukan yang berasal dari negara kita dan muncul ramai pemain hebat sejak 1960-an lagi, sudah sampai masanya diwujudkan muzium sedemikian.

Sukan yang diasaskan oleh Abdul Hamid Mydin pada 1946 di Pulau Pinang, kemudian diperkemaskan peraturan pada 1960 dan dibenarkan dipertandingkan pada Sukan SEAP 1965.

Kini sukan itu dipertandingkan di peringkat Sukan Asia dan Malaysia mencipta sejarah apabila memenangi emas dalam Sukan Asia 2018. Usaha-usaha sedang dibuat oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) untuk membawa sukan itu ke pentas Sukan Olimpik pula.

Setakat ini, sepak takraw dimainkan di 45 negara sedangkan syarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), sukan itu perlu dimainkan di 75 negara.

Ramai pemain terkemuka kita muncul sejak 1960-an, antaranya Rehan Md. Din, Raziman Hassan, Azman Ismail dan Omar Husin. Sayangnya, sukan yang kita asaskan menerima saingan hebat dari Thailand, Myanmar dan Indonesia.

Maka sudah sewajarnya Kementerian Belia dan Sukan berusaha mewujudkan muzium sepak takraw sebagai satu langkah mempopularkan lagi sukan itu dan menghargai tokoh serta pemain yang telah mengharumkan nama negeri dan negara.

Legenda sepak takraw, Adnan Saidin tentu gembira dengan cadangan ini. Selaku Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986, beliau memiliki banyak koleksi dan cenderamata kejayaannya.

Tentu paparan kehebatan beliau yang pernah menyebabkan pemain Thailand rebah beberapa kali akibat terkena rejamannya pada Sukan SEA 1979 dapat menjadi inspirasi kepada bakat baharu dan peminat sukan ini.

Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia memperkenalkan Liga Sepak Takraw memang wajar dipuji tetapi liputannya hanya terdapat dalam siaran Astro Sport. Sepatutnya stesen RTM dan TV3 sama-sama memberi liputan dan publisiti. Maka tidaklah bola sepak dan badminton diberi keutamaan.

Usaha menyemarakkan sukan sepak takraw perlu pembabitan semua pihak, iaitu kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai. Janganlah dibiarkan sukan ini hidup segan mati tak mahu. Peranan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan amat diperlukan.

Prasarana dan gelanggang sepak takraw semakin kurang dan di luar bandar, masalah itu semakin ketara. Taman-taman perumahan pun memang tiada gelanggang berkenaan, kecuali berkongsi dengan gelanggang badminton. Bagaimana pemain generasi baharu mahu mendapat pendedahan?

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN