Tutup hotel kotor jika masih gagal patuhi arahan kebersihan - Exco

Tutup hotel kotor jika masih gagal patuhi arahan kebersihan – Exco

ANGGOTA penguat kuasa MBAS melakukan pemeriksaan terhadap sebuah hotel yang dilaporkan gagal mematuhi tahap kebersihan yang tular di media sosial dalam kejadian di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hotel yang gagal mematuhi piawaian kebersihan berdepan tindakan lebih tegas termasuk diarahkan menutup operasi jika masih ingkar selepas diberikan amaran dan dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, hotel merupakan antara premis perniagaan yang tertakluk kepada pemantauan selain kedai makan serta lokasi pelancongan.

Katanya, PBT tidak akan berkompromi terhadap isu kebersihan kerana ia melibatkan imej negeri dan keselesaan pengunjung.

“Premis yang terus gagal membuat penambahbaikan boleh dikenakan tindakan penutupan bagi memastikan standard kebersihan dipatuhi sepenuhnya.

“Jika didapati mana-mana premis ada masalah, kita akan hantar penguat kuasa untuk mengambil tindakan. Bukan sahaja amaran atau kompaun, malah premis itu boleh ditutup jika masih tidak berubah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan dua kompaun dan satu notis terhadap sebuah hotel di bandar raya ini selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan.

Tindakan itu diambil susulan penularan video di media sosial memaparkan aduan pelanggan mengenai keadaan hotel berkenaan, termasuk bilik air berlumut dan cadar katil berbau.

Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, termasuk cubaan segelintir pihak mengaitkan isu berkenaan dengan imej Kerajaan Negeri Kedah sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap negeri itu.

Sementara itu Mansor berkata, PBT di seluruh Kedah akan terus mempergiat penguatkuasaan terhadap premis yang gagal mematuhi standard kebersihan bagi memastikan persekitaran sentiasa berada pada tahap memuaskan.

Katanya, MBAS dan PBT lain turut diarahkan melaksanakan pemantauan secara berterusan tanpa perlu menunggu aduan orang ramai atau isu ditularkan di media sosial.

“Jika terdapat kes berpunca daripada kecuaian pemilik premis, tindakan kompaun akan dikenakan. Sekiranya mereka masih gagal mengambil langkah pembaikan, premis berkenaan boleh diarahkan tutup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN