Kita gagal martabat Jawi - Utusan Malaysia

Kita gagal martabat Jawi

Pemilik kedai ukiran papan tanda, Fwu Chang Carving Art Gallery di Melaka, Ting Wee Chia juga berkemahiran menghasilkan kaligrafi Jawi. – GAMBAR HIASAN/Rasul Azli Samad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sesetengah pendekatan yang digunakan untuk memartabat dan melestarikan tulisan Jawi sebagai agenda negara agar tidak pupus seperti berlaku pada beberapa sistem tulisan Melayu lampau, didapati kurang sesuai walaupun bagi mendapat sokongan masyarakat bukan Islam yang kuat menentangnya.

Antaranya, pernyataan daripada kaum Melayu sendiri bahawa ia pernah digunakan untuk menghasilkan karya berahi dan sebagai bahasa iklan untuk arak. Sebagai sistem tulisan, sudah tentu Jawi digunakan untuk menyampaikan pelbagai maklumat dalam konteks bahasa Melayu menjadi alat komunikasi. Oleh itu, ia wujud dalam semua bentuk sama ada baik serta sopan mahupun sebaliknya.

Sebenarnya dalam usaha mengangkat tulisan Jawi sebagai skrip satu lagi pada bahasa Melayu selaku bahasa negara, kita sesekali tidak perlu merendahkan etika unggul pada tulisan itu dengan mendedahkan sisi jeliknya, biarpun sebagai strategi psikologi untuk mengurangkan penentangan terhadapnya. Ini kerana dengan berbuat demikian, kita sebetulnya menjatuhkan martabatnya, khususnya sebagai asas utama untuk mempelajari al-Quran bagi tujuan ibadah dalam Islam.

Perlu diakui, sebelum adanya usaha mengangkat tulisan Jawi sebagai warisan negara yang perlu didukung semua warganegara, naratifnya begitu Melayu-Islam sekali. Sehubungan itu, di samping ia digambarkan sebagai lambang warisan Melayu semenjak abad ke-13 lagi, tulisan Jawi ditegaskan sebagai perantara utama dalam penyebaran Islam mulai abad ke-15 dan keperluan penting untuk membaca teks suci utama Islam. Dengan ini, ia lebih dipaparkan sebagai kegiatan agama Islam. Ini pula disahihkan dengan usaha memperkasanya sebagai antara tugas penting majlis agama Islam negeri di seluruh Malaysia.

Semua ini pasti tidak membantu dalam membentuk persepsi masyarakat bukan Islam bahawa tulisan Jawi pertama-tamanya adalah sistem tulisan semata-mata. Oleh itu, mereka gagal melihatnya sebagai representasi perlambangan bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi bertulis yang boleh digunakan bagi semua bidang. Sehubungan itu, ia tidak semestinya untuk tujuan keagamaan Islam sahaja seperti yang berlaku di Melaka dahulu apabila bahasa Melayu melalui tulisan Jawi ikut digunakan untuk menyebar agama Buddha dan Kristian pada abad ke-15.

ISLAMOFOBIA

Sementara menunggu perubahan persepsi yang tidak lagi mengaitkan tulisan Jawi dengan Islamofobia, ia hendaklah dipupuk sebagai agenda Melayu terlebih dahulu. Ini kerana selain sebagai unsur penting Islam di negara ini, ia identiti Melayu semenjak zaman berzaman. Oleh itu, ia harus bermula sebagai pelestarian warisan Melayu sebelum dijadikan warisan Malaysia.

Sebagai agenda Melayu, seluruh etnik Melayu hendaklah memainkan peranan aktif dalam erti kata sebenarnya. Dengan ini, tulisan Jawi harus dipupuk dalam jiwa setiap orang Melayu. Untuk itu, perisytiharan setiap Jumaat sebagai Hari Jawi perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak boleh dibiarkan wujud sekadar retorik tanpa adanya perancangan rapi lagi tekun pada peringkat komuniti oleh etnik Melayu sendiri. Di sini, ia perlu wujud dalam konteks warisan Melayu dan unsur penting Islam.

Pada peringkat negara, ia hendaklah dipenuhi penggunaan Jawi sebagai sistem tulisan dalam pelbagai cara yang lebih giat sifatnya oleh setiap entiti dalam negara, dalam konteks warisan negara sahaja agar tidak diherotkan oleh masyarakat bukan Islam sebagai proses pengislaman. Sebagai sistem tulisan, Jawi diperlihat semata-mata sebagai kaedah untuk mewakili sesuatu bentuk bahasa berdasarkan skrip dan peraturannya. Dengan ini, Jawi adalah hanya sistem komunikasi bertulis untuk semua!

Sebenarnya, usaha puluhan tahun untuk memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan negara terbantut, malah gagal kerana pendekatannya yang ingin terus menjadikannya tradisi penting negara sebagai kehormatan dan kebanggaan rakyat jelata. Sedangkan ia belum pun betul-betul berjaya dikenal pasti oleh kaum Melayu sendiri sebagai warisan Melayu yang masih ada kepentingan besar pada zaman moden ini.

Sehubungan itu, Jawi hendaklah pertama-tamanya diperlihat kaum Melayu sendiri sebagai lambang dan proses selain pencapaian yang masih mempunyai relevansi semasa yang tinggi untuk negara dan rakyat. Ini penting untuk mewujudkan kesedaran nasional terhadap tulisan Jawi yang dimulakan oleh kaum Melayu sebagai warisan budaya yang dibanggai mereka untuk kemudiannya diangkat bagi diterima pula sebagai warisan negara oleh semua pihak.

Perkaitan kuat kaum Melayu kepada tulisan Jawi adalah prasyarat penting untuk juga mewujudkan sentimen nasional, iaitu perasaan, sikap dan pemikiran positif terhadap negara dalam konteks tulisan itu. Dengan adanya kesedaran dan sentimen nasional ini, ia akan pula mewujudkan identiti dan perpaduan nasional, iaitu jalinan dan kebersamaan rakyat pelbagai kaum sebagai satu komuniti nasional tanpa mengira etnisiti, agama dan budaya masing-masing untuk mendukung aspirasi negara.

Inilah cara untuk mengangkat tulisan Jawi sebagai agenda negara agar tidak berlaku yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Ini penting kerana ia tidak sesekali bersifat memaksa, melainkan diterima sendiri akibat kepentingannya sebagai keperluan sosial untuk memperlihat citra Malaysia yang rakyatnya berkongsi nilai dan aspirasi kenegaraan yang sama!

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN