Kisah sedih Mara Digital - Utusan Malaysia

Kisah sedih Mara Digital

LENGANG... Mara Digital Mall gagal menarik ramai pengunjung sehingga menyebabkan tiga premisnya di Kuantan, Shah Alam dan Johor Bahru ditutup tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, jurugambar Utusan Malaysia, Amir Khalid singgah di Aras 3, Menara Mara, Kuala Lumpur. Dari nada suaranya ketika menghubungi saya, dia tampak kecewa, sedih.

Katanya, pemandangan Mara Digital Mall di aras itu menyedihkan. Ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak outlet ditutup.

Sempat Amir bersembang dengan beberapa peniaga di situ. Antara mesej dititipkan kepada saya, lebih kurang begini:

“Peniaga 1 kedai laptop: Start menyewa dari 2016 waktu mula dibuka. Perkembangan bisnes ala kadar. Biasa. Punca rugi sewa mahal.

“Peniaga tinggal kurang daripada 10 kedai daripada 20++. Kebanyakan yang tinggal peniaga dari management dalam 5-6 buah kedai. Tapi berniaga on-off.

“Peniaga 2 kedai phone: Start sewa dari 2016. Perkembangan bisnes biasa sahaja. Punca rugi, sewa mahal selain sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Bila sewa mahal nak maintain sewa kedai (outlet) pun susah. Kebanyakan kedai sebelum PKP masih banyak lagi. Rintihan lebih kurang macam peniaga 1 tadi.”

Saya pun ikut sama sedih mendengar cerita Amir yang baru berumur 27 tahun itu. Berbanding Amir, saya, 50, lebih terkesan kerana saya mengikuti pelancaran ‘gilang gemilang’ Mara Digital tanggal 8 Disember 2015.

Apa sudah jadi dengan Mara Digital? Semasa pelancaran lima tahun lepas, syarikat-syarikat besar seperti Apple, Samsung, Oppo dan HP (Hewlett-Packard) berpusu-pusu buka outlet mereka.

Berkobar-kobar dan bersemangat pihak yang melancarkannya: “Kita akan membuka Mara Digital di seluruh negara dan bersaing dengan pusat IT bangsa lain.”

Ya, kerana itulah pusat jualan produk digital Melayu berskala besar pertama di negara ini. Diuar-uarkan sebagai pesaing untuk memecah monopoli perniagaan IT bukan Melayu.

Waktu itu orang Melayu teruja. Bertepuk tangan. Harap benar penguasaan perniagaan IT bukan Melayu dipecahkan.

Suatu ketika pada 2016 dilaporkan lebih sejuta pengunjung dengan lebih RM18 juta jualan dicatatkan Mara Digital Mall di ibu negara. Kempen BMF (Buy Muslim First) merancakkannya lagi.

Setakat Ogos 2017 telah merekodkan 585,580 pengunjung dengan jualan melebihi RM7.6 juta.

Gah semasa pelancaran, belum dua tahun beroperasi, dilaporkan jualan jatuh. Jumlah pelanggan menyusut. Susulan itu Mara bertekad melakukan promosi besar-besaran bagi meningkatkan perniagaan usahawan bumiputera di situ. Terngiang-ngiang kata seorang ketua pengarah Mara tiga tahun lepas yang operasi Mara Digital Mall turut akan diperluaskan dengan pembukaan tingkat 4 Menara Mara. Tapi wal hasil balik asal.

MARA DIGITAL LAIN ‘BUNGKUS’

Sayang, realitinya bukan begitu. ‘Rakan-rakan’ Mara Digital di Kuantan, Johor Bahru dan Shah Alam semua terpaksa tutup kedai. Bungkus.

Mara Digital Kuantan dihentikan operasi Disember 2018; Mara Digital Johor Bahru Februari 2019. Khabarnya, pilihan produk terhad. Diburukkan lagi dengan kekurangan promosi menyebabkan perniagaan tidak berdaya maju, memaksa peniaga menghentikan operasi.

Mara Digital Shah Alam pula dihentikan operasi pada Mac 2018 bagi kerja-kerja menaik taraf premis berkenaan kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam. Maka, satu-satunya yang tinggal nyawa-nyawa ikan itulah di Menara Mara sekarang. Tetapi pergilah ke sana hari ini. Saksikan sendiri.

Semasa pewujudan Mara Digital, tujuan asalnya bagus. Untuk bersaing dengan mereka di luar sana. Ambil bumiputera dudukkan di situ supaya menjadi 1Kluster untuk IT (teknologi komunikasi dan maklumat) serta meningkatkan kebolehpasaran keusahawanan. Tapi kenapa tak dapat sambutan? Bukankah ditempatkan dalam bangunan Mara. Tapak Melayu. Institusinya pun Melayu. Jika ada masalah, naiklah ke tingkat Menara Mara itu. Ketuk pintu jumpa pegawai adukan masalah. Tempat itu lubuk bantuan dan tajaankan? Lagipun, hanya gunakan 1Kluster iaitu bisnes handphone.

Bukannya berniaga makanan atau PKS.

Atau adakah kerana idea penubuhan Mara Digital begitu tergesa-gesa ekoran pergaduhan kumpulan remaja Melayu dan peniaga Cina di Plaza Low Yat gara-gara kecurian sebuah telefon bimbit?
Sekali air bah, sekali pantai berubah. Sejarah inspirasi Mara Digital agar menjadi pilihan pengguna, gagal.

APA KHABAR PELAN PENDIDIKAN 2013-2025?
Demikianlah juga pendekatan-pendekatan yang baik untuk rakyat sebelum itu. Isunya tidak ada kesinambungan atau continuity. Dalam soal pendidikan, begitulah jua. Ingat lagi tak dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 cetusan ilham Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap menteri pendidikan yang dilancarkan 6 September 2013?

Pelan itu mengandungi lima aspirasi sistem dan enam ciri murid yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun. Tapi bila menteri lain selepas Muhyiddin ambil alih Kementerian Pendidikan, pelan itu tidak diperkasakan. Tidak ada continuity.

Muhyiddin digugurkan dari Kabinet pada 2015 (sebelum dipecat dari UMNO Jun 2016). Untuk pelan pendidikan itu sahaja, kita berhabis berpuluh juta ringgit. Adakah pelan ini masih dalam agenda kementerian sekarang?

Isu Mara Digital ini lebih kurang sama. Sezaman. Walaupun hasrat permulaannya baik, ia bukan suatu legasi. Meskipun demi kebolehpasaran usahawan, yang mengantikan pemulanya, tidak pula diteruskan.

Mara Digital sepatutnya menjadi hab IT Lembah Klang, apatah lagi beroperasi di bawah bumbung Mara. Salah satu objektif Mara pun adalah untuk perkasakan keusahawanan. Namun nampaknya berniaga handphone bukan rezeki orang Melayu.

Mara Digital Mall sepatutnya menjadi one stock centre atau pusat sehenti. Tapi pelanggan lebih pilih bangunan sebelahnya – ruang niaga handphone Kompleks Pertama.

Semangat BMF nampaknya bukan untuk semua barangan. Juga barangkali susah untuk orang Melayu bersaing. Produk harian keluaran Islam seperti kicap, sos cili, sos tomato, belacan, mi, roti walaupun ada penyertaan orang Melayu, masih belum setanding daya saing bangsa lain.

Apatah lagi pasti tidak sama sekali untuk produk IT seperti terbukti dalam kes Mara Digital. Masih jauh. Orang Melayu perlu lebih banyak belajar. Lebih penting lagi, perkemaskan sikap, keikhlasan dan disiplin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN