Kerajaan perlu peka 2.4 juta dijangka hilang pekerjaan - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu peka 2.4 juta dijangka hilang pekerjaan

Hilang sumber pendapatan boleh mengundang kemurungan dan akhirnya memilih untuk terlibat dalam aktiviti jenayah atau membunuh diri. – GAMBAR HIASAN/SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Kerajaan menjangka sebanyak 2.4 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang akibat penularan pandemik Covid-19.

Angka tersebut berdasarkan unjuran dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang didedahkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Jumlah yang besar itu amat merisaukan kerana ia boleh menyebabkan seseorang tertekan dan akhirnya melibatkan diri dengan aktiviti jenayah demi sesuap nasi.

Lebih teruk, jika mereka memilih jalan singkat dengan membunuh diri kerana terpaksa menanggung bebanan hutang yang banyak. Sudah beberapa kejadian melibatkan rakyat Malaysia yang membunuh diri ekoran tertekan akibat hilang pekerjaan.

Justeru, kerajaan perlu peka dengan masalah ini dengan mencari solusi bagi membolehkan rakyat masih boleh menguruskan kehidupan pada waktu getir itu nanti.

Antara inisiatif yang boleh diambil adalah dengan penyaluran bantuan kewangan dan melanjutkan moratorium secara bersasar kepada golongan yang terkesan.

Langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka sementara menunggu tawaran pekerjaan baharu.

Pada masa sama kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bukan sahaja kepada lepasan institusi pengajian tinggi, malah untuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh memohon kepada institusi perbankan untuk memudahkan pinjaman kewangan bagi mereka yang mahu menjalankan perniagaan sendiri tanpa syarat-syarat yang terlalu ketat.

Usaha-usaha begini dilihat antara yang terbaik bagi membolehkan rakyat meneruskan kelangsungan hidup walaupun tidak semewah dahulu.

RAMLAH RAMLI
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya