SOAL jawab Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan dengan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, malam Khamis lepas, saya percaya diikuti ramai.
Jawapan Annuar dalam wawancara cepumas itu menampakkan keterbukaannya dalam memperjelaskan cakap-cakap kononnya dia menjadi pak turut Parti Bersatu. Ringkas kata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muyidddin Yassin.
Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa, realiti kedudukan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini atas pilihan diri ahli Parlimen parti itu masing-masing. Pas yang berjaya membentuk gabungan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) melalui kemenangan 7-0 dalam siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini pun, bukan sahaja sudah berada dalam Jawatankuasa Tertinggi PN, bahkan pegang jawatan-jawatan penting dalam gabungan itu.
Kata Pas, seperti dipetik daripada kenyataan Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan: “Pas mahu perkasakan MN tetapi pada masa sama mempertahankan PN.”
Bukankah ini semua meletakkan UMNO sendiri dalam persimpangan dilema? Apabila sebilangan besar pemimpin UMNO dan ahli parti sudah memperlihatkan belah bahagi dalam penentuan sikap dan sokongan terhadap pemimpin kerajaan, justeru pemimpin partinya harus mencari jalan keluar yang sebaik-baiknya.
Dalam sejarah UMNO tidak pernah berlaku di mana presiden hampir-hampir kalah ditentang oleh pemimpin pecahan dari dalam UMNO sendiri. Apabila situasi yang hampir 50-50 ini berlaku, sebaik-baiknya pucuk pimpinan UMNO lekas-lekas bertindak mencari penyelesaian.
BERKOKOK JANGAN SENADA
Dilontarkan juga hujah, apakah perpaduan Melayu itu kini hanya penting diperjuangkan dalam lingkungan Melayu UMNO sahaja? Mengapa tidak dilibatkan sama seluruh Melayu – tidak kira Pas, Bersatu, Pejuang, bahkan MUDA dan Putra harus dilibatkan sama? Jangan berkokok dengan satu nada sahaja, iaitu nada yang dikokokkan oleh pemegang politik kuasa, tetapi bukannya nada Melayu sejagat.
Jika dapat diwujudkan perpaduan perjuangan antara dan sesama semua orang Melayu dengan tidak mengira latar belakang politik mereka, bukankah itu lebih meluas dan lebih sempurna? Soal perpaduan atau penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu itu harus diterima dalam konteksnya yang lebih luas. Tidak dalam genggaman politik kuasa yang sempit.
Harus akur, perpecahan dalam kalangan orang Melayu dicetuskan oleh kepemimpinan politik Melayu itu sendiri. Kerana itu semua parti Melayu harus sanggup mencari jalan bagaimana perpaduan itu mahu dan harus dicapai. Tetapi kerana kesan politik cantas dan lompat parti yang dipraktikkan semenjak 2018, ia menimbulkan rasa cemas.
Tumbangnya BN, runtuhnya kerajaan baru 22 bulan, ketidakstabilan yang ditentukan oleh satu, dua undi penentu majoriti dihadapi pemerintah sekarang, kemungkaran politik dan kekangan meruncing ekonomi serta kesan-kesan lain yang mudarat, maka kecenderungan untuk terus akur kepada kepimpinan yang ada sudah menjadi kian tipis.
Adalah diakui bahawa tradisi politik kuasa orang Melayu harus dikekalkan demi menjamin sifat dominan Melayu di dalam politik dan pentadbiran negara. Unsur-unsur tradisi perjuangan harus dicari kembali. Kalau tercicir dicari, kalau hanyut dipintas. Jika ini tidak diamalkan, Melayu itu akan hilang sifat bangsanya sendiri.
‘MENINDAS’
Segala kemungkaran politik, undang-undang, ekonomi, pentadbiran harus dipulihkan. Mana-mana pemegang kuasa, baik dalam parti masing-masing mahukan induk dan kerajaan harus tidak lagi mendabik dada dengan kuasa yang ada. Sehinggakan ‘menindas’ mereka yang bertembung pendapat dan aliran dengan mereka.
Hak penentu bukan lagi melalui tohmahan atau penyalahgunaan kuasa atau undang-undang yang dipinda sewenang-wenangnya. Tetapi seharusnya melalui suara rakyat.
Kebebasan kehakiman adalah tuntutan yang tertinggi. Negara akan hanya dihormati dan dicintai dari luar dan dalam sekiranya keluhuran undang-undang itu tidak dirombak dan dicabul sekerap kita mengganti baju dalam.
Perpaduan Melayu dan penyatuan ummahnya dalam saat ‘politik berkecamuk’ hari ini tidak boleh dituntut. Ia wujud apabila keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan nampak dan kelihatan sebagai berfungsi.
TIPU HELAH
Begitu juga halnya dengan penghormatan dalam mentadbir dan menyempurnakan politik kuasa – tidak boleh melalui paksaan dan budaya tipu helah. Ia mesti diwarisi melalui proses yang telah wujud dan diteraskan melalui perjuangan asal.
Baik UMNO, Pas dan Bersatu, waima Pejuang sekali pun, fikir-fikirkan penyatuan umat Melayu. Harus ini menjadi agenda pertama dan utama.
Dan terkenang saya kepada dokumen disediakan oleh MacMichael pada 1946 untuk ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu.
Taktik personaliti Inggeris itu benar-benar lembut gigi daripada lidah. Berjaya dia mendapatkan tandatangan Raja-Raja Melayu bagi tujuan merompak mereka daripada kedaulatan yang ada.
Tetapi mujurlah ada Datuk Onn Jaafar. Dengan pertolongan beberapa orang pegawai Inggeris yang sayangkan orang Melayu seperti Swettenham dan Braddell, patahlah rancangan MacMichael itu.
Jangan pisang berbuah dua kali. Perbuatan MacMichael itu kita boleh fahami kerana mereka penjajah.
Cuma jangan sampai muncul MacMichael Melayu dalam kalangan kita.










