IMEJ potret politik Malaysia ketika ini jelas menggambarkan sesuatu yang tidak sihat sekali gus tidak baik kepada negara dan rakyat.
Percaturan tentunya dalam kalangan ahli politik sendiri yang mencorakkannya. Jika baik coraknya maka baiklah potretnya dan jika tidak, maka sebaliknya akan berlaku.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemu bual Ketua Puteri UMNO Kuantan, FADWAH ANUWAR berhubung isu dan kemelut politik yang berlaku dalam negara.
TIDAK STABIL
UTUSAN: Komen tentang situasi politik sekarang?
FADWAH: Politik Malaysia pada hari ini adalah tidak menentu dan tidak stabil. Ketidaktentuan dinamika politik yang sedang berlaku semestinya menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Situasi politik pada hari ini bukanlah a feel good factor rakyat.
Bukan sahaja rakyat, malah isu ini mendapat perhatian serius dari institusi raja. Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah menasihati dan memberi peringatan kepada rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah, rakyat sudah mula bosan dan meluat dengan tindak-tanduk ahli politik yang dilihat sentiasa bercakaran dan bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.
Rakyat dan negara sedang berhadapan dengan pandemik global yang memberi kesan besar kepada ekonomi. Jika dibaca dalam media sosial, rakyat melahirkan rasa kecewa dan marah mereka terhadap pemain politik yang berterusan menjadikan kuasa sebagai agenda utama.
Benar, jika dilihat dari satu sudut, kelangsungan politik itu perlu tetapi dalam keadaan sekarang, ia tidak sesuai untuk diangkat sebagai keutamaan.
Rakyat melihat ahli politik seolah-olah tidak kisah dengan soal kebajikan, sara hidup dan keselamatan mereka. Imej yang dipotret oleh senario politik ini nyata tidak sihat dan perkara ini perlu dipandang serius oleh ahli politik.
Apa langkah terbaik perlu diambil?
Jalan terbaik sudah semestinya mengembalikan semula mandat kepada rakyat iaitu melalui pilihan raya. Namun, dalam keadaan sekarang adalah mustahil untuk pilihan raya diadakan memandangkan peningkatan mendadak kes Covid-19. Banyak negeri berada dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan langkah pencegahan penularan giat dijalankan.
Bagi meredakan kepincangan ini, parti-parti politik baik dari pihak kerajaan atau pembangkang perlu bertenang seketika dan mengenepikan dahulu soal siapa sudah cukup majoriti untuk mentadbir negara.
Tukar Perdana Menteri dan kerajaan bukan jalan terbaik dan tiada jaminan virus Covid-19 akan berhenti menular.
Adalah lebih baik sekiranya kedua-dua pihak berganding bersama dan fokus kepada kemaslahatan rakyat. Pilihan raya tetap akan datang cuma masanya bukan sekarang.
GENCATAN POLITIK
UMNO mengumumkan gencatan politik, komen?
Satu tindakan yang tepat pada masanya. Gencatan politik ini secara tidak langsung membuktikan UMNO adalah sebuah parti politik yang berjiwa besar, matang dan meletakkan rakyat di hadapan.
Walaupun umum mengetahui berlaku krisis antara parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO memilih untuk mendukung kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19.
Pada masa sama, kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik pada saat negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi. Asas bagi sebuah negara yang stabil ialah apabila politiknya stabil. Politik stabil akan mewujudkan ekonomi yang stabil.
Rancangan Puteri UMNO untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN)?
Kerjasama Puteri bersama Ameerah (Biro Wanita Muda Pas) bukan suatu perkara yang baharu. Kerjasama ini sudah bermula sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, tahun lalu.
Kerjasama ini berterusan dalam beberapa siri PRK sehingga kini.
Terbaru, MN akan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan. Justeru, gerakan dan kerjasama Puteri dan Ameerah akan diperkasakan dengan lebih sistematik dan tepat pada sasaran.
Kerjasama ini bukan hanya di peringkat nasional tetapi sehingga akar umbi. Puteri dan Ameerah mempunyai matlamat politik yang hampir sama, golongan sasar yang sama tetapi mungkin berbeza sedikit dari sudut pendekatan.
Namun, kedua-dua sayap ini sentiasa berbincang dan konsisten mencari titik temu dalam merangka kaedah yang sesuai. Ia sudah pasti menarik untuk dipraktikkan kepada golongan wanita muda.
LEBIH RAMAI CALON PILIHAN RAYA
Apa fokus Puteri UMNO pada masa ini?
Sudah semestinya semua parti politik memang tidak dapat lari daripada konsep berjuang untuk rakyat. Tanpa rakyat, tak ke manalah parti politik. Maka amat mustahak bagi parti politik untuk berterusan memperjuangkan nasib rakyat, lebih-lebih lagi dalam situasi Covid-19.
Ekonomi rakyat kini sengsara. Ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Kesihatan rakyat juga penting. Dua perkara ini (ekonomi dan kesihatan) bukan perkara mudah dan tidak boleh diperkecilkan sama sekali.
Nyawa rakyat dalam ancaman, begitu juga isu sosial. Rakyat amat mengharapkan perhatian ahli politik terutama kerajaan agar fokus kepada agenda rakyat, bukannya pertelingkahan politik. Mesej rakyat ini cukup jelas.
Di Pahang, adakah Puteri perlu diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
Susulan penurunan had umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun, menjelang 2023 (jika PRU-15 diadakan pada tahun tersebut), jumlah pengundi muda akan bertambah dengan cukup ketara berbanding PRU-14.
Jika dinilai dari sudut angka, semestinya pengundi muda bakal mengubah landskap politik negara.
Maka dengan itu, wujud rasional untuk memberi lebih peluang kepada Puteri (bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara) sebagai calon pilihan raya.
Tidak dinafikan, memang sudah ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dari Puteri UMNO tetapi bilangannya amat terhad.
Pilihan raya juga merupakan medan ilmu kepimpinan kepada kami sebagai penerus perjuangan parti.
Dengan kata lain, ini akan memberi ruang dan suara untuk kami bersama-sama dalam mencorak kepimpinan negara dan memastikan ideologi parti sentiasa dipelihara. Kita harus bergerak seiring dalam evolusi politik ini.










