Bilalah nak ada stesen radio? - Utusan Malaysia

Bilalah nak ada stesen radio?

HAMPIR dua dekad diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dengan 100,000 penduduk, Putrajaya masih belum mempunyai stesen radio sendiri. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERINGAT kali pertama saya menjejakkan kaki di Putrajaya sekitar 1999 ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, empat tahun setelah kawasan itu mula dibangunkan.

Kini, seusai hampir genap dua dekad diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan, Putrajaya amat pesat dengan penduduk kira-kira 100,000 orang.

Segalanya lengkap waima sudah ada plat pendaftaran kenderaan sendiri iaitu F sejak 2016 bagi menggantikan siri plat peringatan khas Putrajaya yang diperkenalkan sebelum itu.

Ironi, ada dua perkara yang dianggap agak pelik kerana secara kebetulan masih lagi belum wujud di sini, iaitu sebuah pasukan bola sepak profesional sendiri dan stesen radio tempatan.

Isu bagi permainan popular itu mungkin bakal menjadi realiti ekoran ada desas-desus kelab Felda United akan dijenamakan semula sebagai Rakyat United, dan khabarnya mewakili Putrajaya.

Bagaimanapun, isu stesen radio setempat untuk wilayah kecil seluas 49 kilometer persegi ini barang kali kurang diperkatakan penduduknya sendiri dek dianggap bukan perkara penting.

Majoriti mungkin lebih ‘selesa’ KLFM 97.2 MHz yang dapat diikuti jelas dipancar dari Menara Kuala Lumpur selain jirannya, Selangor FM 100.9 MHz dari pemancarnya di Gunung Ulu Kali, Pahang.

MENUMPANG

Dua stesen domestik milik RTM di bawah Jabatan Penyiaran dengan pusat operasi di Angkasapuri di ibu kota itu, turut ada sekali-sekala menyiarkan bahan berkaitan Putrajaya. Hasilnya, situasi janggal itu menjadikan Putrajaya satu-satunya pusat pentadbiran kerajaan di dunia yang langsung tiada saluran radio sendiri sebagai medium siaran komunikasi massa.

Bayangkan, Labuan setelah diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan kedua pada 1984 pun cuma ambil masa dua tahun untuk ada Labuan FM tanpa ‘menumpang’ lagi stesen Sabah FM.

Uniknya, tidak padan dengan saiz kecil pulau itu seluas 92 kilometer persegi, selain jumlah penduduk seperti Putrajaya, saluran itu ada dua gelombang iaitu 103.7 MHz dan 89.4 MHz.

Ini membolehkan liputan siarannya menjangkau jauh ke Brunei dan Limbang di Sarawak, apatah lagi juruhebah bercakap bahasa Kadayan Brunei yang berbeza daripada dialek Melayu Sabah.

Senario pelik ini juga dapat dilihat Langkawi FM yang genap usia 27 tahun pada 1 November lalu setelah pulau itu dimasyhurkan sebagai bebas cukai, apabila ada dua frekuensi berbeza. Ia dipancarkan melalui 104.8 MHz dan 87.5 MHz yang dapat didengar begitu terang hatta nun sampai Pulau Pinang dan wilayah Satun di Thailand di samping Perlis dan sebahagian Kedah.

Kewujudan saluran setempat itu bukan sekadar alat hiburan semata-mata, malah berperanan mempromosi keunikan pulau terbabit selain membantu menyebarkan dasar kerajaan untuk difahami penduduk.

Fungsi siar raya ini jugalah berjaya dimainkan stesen KLFM apabila lahir pada 1973, setahun lebih awal sebelum Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan yang pertama.

Bermula dengan gelombang sederhana AM 800 KHz dengan waktu siaran terhad kepada FM Stereo akhir dekad 1980-an dan beroperasi 24 jam, ia gah menjadi stesen pilihan nombor satu warga kota.

LUCU

Justeru timbul persoalan, kenapa Putrajaya masih belum ada stesen sendiri dan paling lucu, ramai keliru ‘menyangka’ Putra FM dipancar melalui 90.7 MHz sebagai radio Putrajaya.

Walhal, ia ialah stesen dalaman kampus Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor yang dikendalikan para pelajarnya di makmal penyiaran untuk tujuan latihan amali sejak 1998.

Hakikatnya, sudah tiba masa RTM bergandingan dengan Perbadanan Putrajaya menubuhkan Putrajaya FM sebagai wadah merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat.

Atau mungkin Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri boleh membuat inisiatif khas mewujudkan stesen ini dengan kerjasama sektor swasta dan RTM agar kos operasinya tidak begitu tinggi.

Pengalaman saya di luar negara turut membuktikan kepentingan strategik saluran radio di pusat pentadbiran kerajaan bukan isu remeh meskipun teknologi komunikasi semakin canggih.

Biarpun dunia kian moden, rakyat marhaen di Putrajaya tetap mahu suara hati mereka dilayan mesra serta ‘didengar’ baik pihak pemerintah. Medium paling efektif ialah stesen radio!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN