Banjir yang menguji Seremban - Utusan Malaysia

Banjir yang menguji Seremban

Banjir kilat yang melanda Seremban dan Linggi di Port Dickson pada 4 November lalu mengakibatkan banyak harta benda penduduk musnah dan rosak.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tengah malam 4 November lalu, hujan lebat di Seremban. Bagi yang sudah lena, mungkin tidak sedar.

Namun bagi yang masih berjaga pasti terdetik di hati, hujan masa itu tidak seperti biasa lebatnya. Tiada siapa sangka, hujan pada malam itu sebenarnya membawa bencana.

Hujan di bahagian hulu menyebabkan paras air Sungai Linggi naik mendadak dan melimpah, sekali gus menenggelamkan kawasan sekitarnya.

Lebih 500 rumah di Ampangan dan Rasah, Kuala Sawah di Rantau sehingga ke pekan Linggi dan Permatang Pasir di Port Dickson tenggelam. Ramai yang memberitahu, air naik sampai paras dada.
Seawal subuh, saya terima mesej WhatsApp daripada seorang kenalan yang berkongsi gambar-gambar rumah keluarganya di Kampung Blok C, Ampangan yang dinaiki air. Disebabkan kawasan itu paling hampir dengan rumah saya, seawal 8 pagi, di situlah tempat pertama dituju.

Setibanya di situ, air sudah surut tapi kesannya memang memilukan dengan lumpur memenuhi segenap ruang di dalam rumah.

Jika air naik sudah di paras dada ditambah gelap gelita, memang tiada banyak harta benda dapat diselamatkan melainkan diri dan keluarga yang lebih lebih diutamakan. Kalau ada harta yang masih selamat pun mungkin jam di dinding dan kipas di siling.

HILANG

Di Rasah lebih teruk terjejas kerana melibatkan banyak taman perumahan.

Di Mambau, ada penternak yang hilang lembu dan kambing. Tidak tahu sama ada hanyut dibawa arus deras atau haiwan itu sendiri lari menyelamatkan diri.

Di Rantau, masjid dan kubur di kawasan Kuala Sawah tenggelam.

Kesan arus deras sungai juga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Linggi terhenti operasi apabila tebing Sungai Linggi runtuh. Air sungai tidak dapat memasuki LRA sekali gus tidak dapat merawat air untuk dibekalkan kepada penduduk di Rantau dan Port Dickson.

Ini merupakan banjir paling buruk pernah berlaku di Seremban. Ia betul-betul menduga ketika penduduk terpaksa menjaga diri ekoran pandemik Covid-19. Apatah lagi Seremban di bawah zon merah selepas mencatatkan peningkatan pesakit wabak tersebut.

Mujurlah banjir ini tidak meragut nyawa. Jika ia berlaku, tidak terbayang bagaimana keadaannya.

Penghargaan kepada semua anggota penyelamat seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertindak pantas. Tidak terkecuali petugas-petugas pembersihan yang bertungkus lumus membantu membersihkan kawasan dipenuhi lumpur.

Semua pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang banyak membantu menghulurkan sumbangan juga harus dihargai.

Tahniah kepada kerajaan negeri yang pantas menyediakan peruntukan. Wakil-wakil rakyat setiap kawasan yang terjejas juga pantas turun padang, menyingsing lengan baju dan melipat kaki seluar untuk meredah banjir.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN