Dalam usaha negara mengejar kemakmuran, amat penting untuk kita memahami keutamaan dan prasyarat kepada sesuatu agenda pembangunan. Pengukuhan asas penting bagi sesebuah negara terletak kepada keupayaan warganya mempertahankan keharmonian dan keamanan terutama aspek hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. Saban hari, kita dipaparkan dengan berita-berita membimbangkan tentang kerapuhan hubungan dan konflik kaum dan agama yang berlaku di luar negara. Perkara ini seharusnya menyedarkan kita tentang pentingnya memelihara hubungan yang baik antara kaum.
Dalam kehidupan insan, terdapat dua dimensi utama yang perlu diberi perhatian, iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia. Hubungan manusia dengan Tuhan memerlukan manusia untuk tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan dan menjauhi larangan ke atasnya seperti digariskan dalam agama. Manusia dijadikan khalifah oleh Allah SWT untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya dan mengurus kehidupan masing-masing menurut syariat-Nya. Hubungan manusia dengan manusia pula memerlukan kita untuk berbuat baik terhadap insan lain dengan berlaku adil, saling hormat-menghormati, bertoleransi dan harus berlandaskan kefahaman bahawa hubungan ini adalah sebagai satu bentuk persaudaraan.
Ramai yang sangat bernostalgia dengan semangat persaudaraan dan persahabatan masyarakat pelbagai kaum yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Rata-rata menyatakan, masyarakat dahulu hidup dalam suasana yang amat harmoni. Budaya kunjung-mengunjungi, bantu-membantu serta persahabatan akrab terjalin dengan baik dan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum sama ada di kampung mahupun taman perumahan di bandar. Jika dibandingkan keadaan dahulu dan sekarang, memang tidak dinafikan terdapat perbezaan ketara. Hari ini, kita lihat ramai anggota masyarakat lebih bersifat individualistik. Kepekaan sosial dan keprihatinan semakin berkurangan. Konsep masyarakat hanya menjadi satu terjemahan akademik tetapi pada realitinya, ia semakin longgar.
SYAK WASANGKA
Persoalannya, apa sebenarnya terjadi kepada masyarakat hari ini sehinggakan hubungan masyarakat pelbagai kaum tidak seharmoni dahulu? Jika pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan, penjajah dipersalahkan sebagai punca perpecahan dan penyebab jurang ekonomi dan perbezaan politik yang wujud antara kaum. Namun hari ini, pada siapa jari telunjuk itu perlu dituding? Jika diteliti, masyarakat yang harmoni dan aman dapat dibentuk jika kita hidup dalam keadaan bebas daripada syak wasangka dan sikap perjudis antara satu sama lain.
Perasaan syak wasangka itu adalah sesuatu yang membinasakan. Tidak kira sama ada curiga dan syak wasangka itu wujud terhadap mukmin yang lain atau juga sesama manusia secara amnya.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat, 49: 12).
Hal ini juga terdapat dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, syak wasangka akan menjejaskan tahap kepercayaan serta kerukunan dalam perhubungan sosial antara kelompok berbeza. Sama ada kewujudan kelompok ini disebabkan perbezaan dalam pandangan politik, ekonomi atau latar belakang sosial, sikap prejudis dan syak wasangka melebarkan jurang sedia ada. Penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, mengaibkan dan berasaskan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan minda masyarakat semakin lesu dan bercelaru. Hal ini diburukkan lagi dengan penyalahgunaan media sosial yang menjadi wadah komunikasi hari ini. Penyampaian dan penyebaran berita palsu serta berbaur fitnah berupaya menyumbang kepada intensiti perasaan curiga dan sangka buruk.
KRITIKAL
Namun begitu, sebagai masyarakat yang hidup dalam satu komuniti dan juga satu negara, persabahatan dan persaudaraan yang terjalin juga harus diraikan dalam ruang lingkup sebagai saudara senegara. Tanggungjawab dan hak sebagai seorang warganegara adalah sama di sisi undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Perasaan cintakan tanah air seharusnya wujud dalam naluri setiap warganegara tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
Dalam hal ini, aspek kepimpinan juga memainkan peranan amat kritikal bagi memandu masyarakat untuk hidup bersama dalam suasana harmoni. Pemimpin hari ini perlu mempunyai rasa tanggungjawab tinggi untuk memastikan agenda kemakmuran yang bertunjangkan perpaduan dan keamanan dapat direalisasikan bersama. Rasa hormat dan kasih sayang dalam masyarakat pelbagai kaum juga harus berlandaskan kesedaraan bahawa kita hidup berbumbungkan langit sebuah negara yang sama bernama Malaysia.
Sebarang usaha untuk memecah belahkan, momokan kebencian serta benih syak wasangka ditanam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab seharusnya ditangkis. Kita tidak boleh memberi ruang kepada mana-mana individu atau kumpulan untuk memecah-belahkan masyarakat bagi memenuhi agenda peribadi atau kelompok masing-masing. Keharmonian dan kesejahteraan yang terjalin sekian lama, hasil usaha pemimpin terdahulu hendaklah terus dibaja dengan baik oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahamam Islam Malaysia (IKIM).










