Kerajaan selesai membentangkan Belanjawan 2021 yang tampil dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama bagi menyempurnakan tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniaagaan dan ketahanan ekonomi. Belanjawan yang cukup kritikal untuk rakyat dan negara ini membabitkan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM322.5 bilion. Kini segala tumpuan terarah kepada bagaimana semua cadangan, inisiatif dan insentif yang dikemukakan dalam belanjawan ini akan direalisasikan. Dalam konteks ini, saya percaya penjawat awam bakal memainkan peranan signifikan dan menjadi kunci kepada kejayaan pelaksanaan belanjawan tersebut.
Ironinya, penjawat awam adalah tulang belakang sistem pentadbiran kerajaan yang terlibat secara langsung dalam aspek pelaksanaan segala dasar dan inisiatif yang dirancang dan mahu laksanakan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Seimbas lalu, kelangsungan hidup semua kelompok masyarakat terjejas teruk angkara serangan wabak Covid-19 yang hampir melumpuhkan sistem ekonomi global. Justeru, kerajaan terpaksa merangka belanjawan yang menyediakan pelbagai imbuhan dan inisiatif agar semua yang terkesan dapat bangkit semula untuk memulakan hidup baharu. Daripada bantuan wang tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta kenaikan pelbagai elaun golongan tersasar sehinggalah bantuan kepada masyarakat perniagaan dan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan untuk ketahanan ekonomi disediakan dalam belanjawan kali ini dengan harapan ekonomi akan pulih segera dan rakyat boleh terus bertahan mengharungi cabaran mendatang.
GELISAH
Maka dalam hal ini, apa yang penting sekarang ialah proses pelaksanaan agar semua yang dirancang dan diperuntukkan sampai kepada golongan sasar. Di sinilah kita berharap penjawat awam memainkan peranan yang besar. Antara peranan penting penjawat awam sekarang ialah memastikan semua yang dirancang dan disediakan dapat dilaksanakan dengan pantas dan segera. Hal ini sangat kritikal kerana rakyat semakin gelisah dan sedang melalui detik cukup memeritkan. Oleh itu, tidak boleh berlaku sebarang penangguhan atau kelewatan dalam proses melaksanakan apa yang telah kerajaan janjikan kepada rakyat.
Misalnya, pelbagai insentif dan bantuan tunai disediakan oleh kerajaan bagi menambah aliran tunai rakyat untuk menampung perbelanjaan harian seisi keluarga. Antaranya kemudahan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah maskimum RM6,000 untuk tempoh 12 bulan serta bayaran BPR secara berfasa. Maka kita perlu memastikan bantuan tunai seperti BPR dapat diagihkan dengan segera tanpa sebarang karenah birokrasi di samping proses pengeluaran simpanan KWSP pada setiap bulan juga perlu dipermudahkan.
GAJAH PUTIH
Penjawat awam juga perlu memastikan dapat menyediakan perkhidmatan berkesan. Setiap inisiatif yang ada dalam belanjawan ini perlu diteliti dan dilaksanakan secara kreatif dan proaktif supaya mampu memberikan impak positif yang diharapkan oleh golongan sasar. Tuntasnya, tiada guna kita ada perancangan projek yang baik dan peruntukan mencukupi tetapi tidak dapat dilaksanakan secara berkesan di mana pada akhirnya ia akan merugikan semua pihak malah boleh menjadi projek gajah putih. Projek seperti penyelenggaraan jalan persekutuan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jalinan Digital Negara (Jendela), menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan di Sabah dan Sarawak serta projek pembangunan di lima koridor wilayah pembangunan ekonomi adalah antara projek besar dan penting yang bakal memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi negara. Penjawat awam yang akan menguruskan projek-projek penting ini perlu melaksanakannya dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan efisien.
Kita juga berharap agar elemen integriti akan terus menjadi pegangan dan amalan setiap penjawat awam supaya semua yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Harus diingat, ini membabitkan duit rakyat yang diamanahkan kepada kita demi manfaat bersama. Justeru, tidak boleh ada sebarang ruang yang boleh menjurus kepada pengkhianatan terhadap amanah dan kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat dan negara kepada kita. Buktikan integriti adalah perisai ampuh penjawat awam dan kita akan terus membantu kerajaan melaksanakan semua yang dirancang, sekali gus memastikan golongan sasaran memperoleh manfaat sewajarnya.
PENGHARGAAN
Ironinya, melalui belanjawan ini juga kerajaan dilihat sudah menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang bekerja keras selama ini dalam menangani wabak Covid-19 serta memastikan operasi perkhidmatan kerajaan berjalan seperti biasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Misalnya, kerajaan meneruskan Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan serta pemberian tambahan secara one-off sebanyak RM500 kepada petugas barisan hadapan. Manakala semua penjawat awam juga akan menerima bantuan khas sebanyak RM600. Maka inilah masanya untuk penjawat awam membalas kepercayaan dan penghargaan kerajaan dengan melaksanakan sebaik mungkin semua intipati Belanjawan 2021.
Berpegang kepada slogan Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan, saya yakin para penjawat awam mampu menterjemahkan impian Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dengan memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara. Ingatlah, rakyat dan negara meletakkan harapan tinggi kepada kita demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara tercinta ini.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










