Terima kasih Ebit Lew - Utusan Malaysia

Terima kasih Ebit Lew

EBIT LEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM ada yang memuji, tidak kurang juga yang tidak senang dengan tindakan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar di sebuah institusi perguruan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selepas Kementerian Pengajian Tinggi menunda kemasukan semua pelajar di seluruh negara akibat peningkatan kes Covid-19.

Bantuan yang dihulurkan oleh Ebit Lew ekoran terdapat keluhan daripada pelajar yang tidak mampu untuk membiayai kos pengangkutan untuk pulang ke kediaman masing-masing seperti yang tular di dalam media sosial.

Terbit rasa kesian apabila terbaca posting mengenai kesusahan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa untuk menampung perbelanjaan anak ke kampus. Ia melibatkan ratusan ringgit dan pastinya keadaan itu membebankan keluarga yang kurang berkemampuan.

Bukan sahaja Ebit Lew, malah beberapa pihak lain seperti Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan juga menawarkan sebuah kediamannya untuk pelajar yang terkandas.

Secara jujurnya, saya tidak melihat bantuan yang disalurkan itu sebagai sesuatu yang negatif kerana berdasarkan gambar-gambar yang tular, jelas menunjukkan pelajar-pelajar tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika berada di dalam bas.

Tindakan pantas pendakwah bebas itu bukan sahaja meringankan beban pelajar yang terkandas di kampus, malah dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa apabila anak mereka terpaksa tinggal di asrama dalam keadaan pandemik ini.

Sudah pastilah ibu bapa risau tentang kesihatan, makan dan minum anak-anak mereka. Walaupun saya percaya pihak institusi akan membantu pelajar sepanjang tempoh itu, tetapi penularan pandemik yang tiada kepastian bila akan berakhir menambahkan kegusaran.

Sepatutnya perkara ini dapat dielakkan sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi membuat pengumuman lebih awal. Namun, mungkin kementerian ada alasan tersendiri mengapa pengumuman itu dibuat lewat dan pada hari pendaftaran sedangkan beberapa hari sebelumnya kerajaan sudah mengetahui tentang trend peningkatan kes.

Bahkan terdapat beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) telah mengumumkan untuk menangguh sesi pendaftaran secara fizikal bagi pelajar dari Sabah dan Kedah. Mengapa tidak sahaja diseragamkan bagi semua negeri?

Bagaimanapun, dalam kes ini tidak perlu saling menuding jari. Bantuan yang dihulurkan perlu disambut dengan baik dan bukannya mencari sisi kesalahan sebaliknya berganding bahu menyelesaikan perkara ini dengan segera mungkin.

Pada masa sama, Kementerian Pengajian Tinggi perlu belajar daripada kekhilafan ini dengan menundakan kemasukan pelajar ke IPT sehingga benar-benar yakin virus Covid-19 berjaya ditentangi. Sementara itu, sesi pembelajaran boleh diteruskan secara dalam talian.

Langkah ini lebih baik dalam memastikan pelajar tidak ketinggalan menimba ilmu serta padamasa sama tidak terdedah kepada ancaman Covid-19.

SARAH AZMIN
Johor Bharu, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.