Cadangan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) baru-baru ini agar pemberian bonus kepada penjawat awam dilaksanakan mengikut merit walaupun secara teorinya menarik, namun dari segi realitinya ia mungkin sukar dilaksanakan. Ini kerana proses sasaran pekerja yang telah ditetapkan khususnya pada tahun ini sukar untuk dipenuhi oleh mereka berikutan pandemik Covid-19.
Menurut Presiden MAAC, cadangan berkenaan berkemungkinan boleh dilakukan berdasarkan markah laporan nilai prestasi tahunan (LNPT) serta prestasi petugas dalam mencapai penunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh jabatan dan kerajaan.
KPI
Namun, persoalannya sama ada segala sasaran kerja yang telah ditetapkan melalui proses LNPT dan KPI terutama untuk tahun ini sudah diubah suai dengan mengambil kira keadaan masa kini?
Sekiranya masih sama seperti tahun-tahun sebelum ini, ramai pekerja berkemungkinan tidak akan dapat memenuhi sasaran kerja yang telah ditetapkan sekali gus menafikan hak mereka untuk mendapat sebarang bonus dan segala jenis hak yang sepatutnya mereka terima.
Walaupun ada tempat kerja menyarankan kakitangan untuk bekerja dari rumah, tidak semua tempat kerja mampu menggunakan sistem teknologi komunikasi moden dengan sepenuhnya atas faktor-faktor tertentu. Hasil kerja melalui penggunaan teknologi komunikasi moden tidak dapat menyaingi dan mencapai tahap keberkesanan dan mutu sistem kerja secara konvensional dengan berada di tempat kerja seperti yang biasa diamalkan oleh para pekerja di negara kita buat sekian lama.
Sehubungan itu, adalah wajar majikan di semua sektor melihat dan menyemak semula semua sasaran kerja yang telah ditetapkan oleh mereka serta tahap prestasi yang diharapkan bagi dipenuhi oleh setiap pekerja. Sasaran kerja serta tahap prestasi setiap pekerja tidak boleh lagi dinilai pada tahun ini dengan mengikut cara-cara yang telah dilakukan sebelum ini. Hakikat perubahan ini harus diterima oleh setiap majikan di negara kita.
Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










