Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Klang dan tiga lagi daerah di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran tidak dapat dielakkan. Masyarakat memahami rasional di sebalik keputusan oleh kerajaan itu.
Peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam minggu ini sehingga mencatatkan rekod-rekod baharu jumlah jangkitan iaitu 691 pada 6 Oktober lalu dan tersebar ke seluruh negara memang meresahkan rakyat.
Angka jangkitan seluruh dunia juga terus meningkat. Dengan seramai 36,053,144 orang disahkan terkena virus Covid-19 dan 1,054,716 kematian di seluruh dunia sehingga Rabu lalu, pandemik ini pastinya menjadi antara peristiwa paling dahsyat dalam sejarah dunia.
Amerika Syarikat mendahului dengan lebih 7.7 juta kes, diikuti India (6.7 juta kes), Brazil (4.9 juta kes) dan Rusia (1.2 juta kes). Malaysia berada pada kedudukan ke-96 dengan lebih 13,000 kes.
Senario ini turut mengakibatkan masjid dan surau di kawasan terlibat ditutup. Solat berjemaah hanya dihadkan kepada tiga orang iaitu imam, bilal dan siak. Program pengimarahan yang lain seperti kuliah, ceramah dan kenduri kendara semuanya terpaksa dihentikan sepanjang tempoh PKPD.
Masjid adalah jantung hati umat Islam. Masjid juga disebut sebagai rumah-rumah Allah. Sekaligus menjadi pusat kehidupan umat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi’en masjid adalah institusi paling utama dan mempunyai pengaruh yang besar dalam membina individu, masyarakat dan umat Islam yang terbaik, cemerlang dan gemilang dalam segala bidang.
Pejabat Mufti Sabah memutuskan bahawa kesemua masjid dan surau yang berada dalam zon merah di negeri itu ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga 16 Oktober ini berikutan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, semua aktiviti dan program di masjid atau surau juga ditangguhkan, malah solat berjemaah tidak dibenarkan kecuali untuk melaungkan azan pada lima waktu.
“Solat Jumaat juga tidak dibenarkan diadakan pada 9 Oktober sehingga 16 Oktober ini. Ahli kariah wajib melaksanakan fardu Zuhur di kediaman masing-masing pada masa solat Jumaat tersebut,” katanya.
Jumlah masjid yang terpaksa ditutup adalah kira-kira 160 buah iaitu 75 di Tawau, Klang (47), Kota Kinabalu (24) dan Papar (14). Bilangan itu tidak termasuk surau dan surau Jumaat yang bilangan dianggarkan lebih 300.
Apabila masjid ditutup, maka satu daripada nikmat beribadat di dalamnya telah ditarik oleh Allah SWT. Jika sebelum ini, kita bebas ke masjid dengan mamatuhi prosedur operasi standard (SOP), mulai hari ini kebebasan itu tiada lagi.
Kalau di masjid kita boleh mengutip banyak pahala yang fardu dan sunat. Antaranya solat sunat tahiyatul masjid, niat iktikaf, berzikir dan membaca al-Quran selain menunaikan solat fardu. Kini, semuanya terpaksa kita lupakan buat seketika sehinggalah status kawasan terlibat bertukar kepada hijau.
Kita semua maklum tentang kelebihan solat fardu berjemaah berbanding solat sendirian. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun, disebabkan pahala itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, ramai yang masih tidak mengambil berat tentang solat jemaah.
Andai kata, Allah bagi tunai pahala solat jemaah pasti masjid dan surau di negara kita melimpah ruah. Buat masjid 10 tingkat pun masih tidak cukup. Apa tidaknya, selesai solat jemaah saja masing-masing dapat RM27.
Menurut Imam an-Nawawi, solat fardu berjemaah adalah tuntutan fardu kifayah bagi orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Yang dikesalkan, kebanyakan masjid di kawasan lain yang tidak terlibat dengan PKPD bilangan jemaahnya masih sama. Tidak bertambah. Hanya ‘orang sama dan lama’ yang datang. Muka-muka jemaah baharu boleh dibilang dengan jari.
Inilah antara hal yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki oleh umat Islam di Malaysia. Jangan kita lupa semasa tempoh PKP dulu, betapa rindunya kita untuk solat berjemaah di masjid dan surau. Begitu juga kerinduan kita untuk mengikuti kelas-kelas pengajian berkitab selepas Subuh, Maghrib dan duha.
Memanglah boleh diadakan kuliah-kuliah secara dalam talian. Namun, kesannya tidak sama dengan kita menadah kitab atau bersemuka dengan alim ulama. Memang banyak perbezaannya.
Oleh yang demikian, bagi kita yang berada di kawasan-kawasan hijau pastikan tidak terlepas peluang berjemaah di masjid dan mengikuti pengajian-pengajian di dalamnya. Dengan purata umur yang tidak panjang iaitu 60 ke 70 tahun, sudah sewajarnya kita berlumba-lumba menyiapkan bekalan untuk bertemu Allah kelak.
Jangan kita jadi insan yang rugi dan hanya sedar selepas kematian lalu memohon untuk kembali ke dunia. Walhal kita tahu, permintaan itu tidak akan jadi kenyataan.
Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (bagi menolak rayuan itu Allah berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ‘Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”. (Al-Sajdah: 13)










