NAMA NG SING PHING bukanlah asing di Perlis khususnya dalam kalangan masyarakat Cina. Ini berikutan komitmen Ketua Pemuda MCA negeri itu yang sering turun padang menyantuni rakyat.
Meskipun kadang-kala berdepan cabaran, Sing Phing tidak pernah mengalah dalam membantu barisan kepemimpinan menjalankan tugas demi kepentingan rakyat.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, gadis berusia 34 tahun itu berkongsi pandangan mengenai senario politik negara, DAP dan peluang MCA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Ikuti temu bual tersebut:
POLITIK
UTUSAN: Apa usaha MCA dalam menarik sokongan masyarakat Cina?
Kita mula nampak ada perubahan yang masyarakat Cina kembali menyokong Barisan Nasional (BN) selepas kecewa Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP gagal ketika diberi peluang mentadbir negara.
Dalam tempoh 22 bulan memerintah, PH dilihat lebih banyak bermain politik daripada menjaga kepentingan rakyat termasuk masyarakat Cina. Hal ini dibuktikan dengan peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini. Kita yakin momentum tersebut berterusan sehingga PRU-15.
Pandangan mengenai budaya lompat parti sejak akhir-akhir ini?
Budaya tersebut saya lihat tidak baik untuk perkembangan politik kita. Saya lihat budaya lompat parti bergantung kepada pemimpin itu sendiri yang lebih mementingkan kedudukan dan jawatan.
Kita menyertai parti atas dasar prinsip. Jika pemimpin sendiri lompat parti, apakah prinsip mereka? Sudah pasti mereka tiada pendirian. Dalam MCA, tidak pernah ada lagi pemimpin yang lompat parti dan kami memegang penuh kepada prinsip dan perjuangan parti.

DAP
DAP sering tanamkan sentimen dalam kalangan orang Cina, kononnya MCA hanya ‘balaci’ kepada UMNO, komen?
Tidak betul kita ikut telunjuk UMNO. Kami dan parti-parti komponen dalam BN sentiasa saling menghormati dan membuat sesuatu keputusan melalui perbincangan dan kata sepakat. Sejak sebelum merdeka, kerjasama ini berterusan. Parti-parti dalam BN terus bersama-sama berjuang untuk kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
Pandangan mengenai DAP?
Pandai bercakap dan berjanji kosong khususnya dengan masyarakat Cina ketika menjadi sebahagian kerajaan sebelum ini. Masyarakat Cina rata-rata cukup marah sebab DAP tidak tunaikan janji khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan.
Satu lagi, DAP suka menanam kebencian dan bermain emosi kemarahan antara kaum. Mereka banyak bermain isu perkauman dan perkara ini tidak sesuai dengan politik Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum.

PRU-15
Peluang MCA termasuk di Perlis?
Saya percaya, kita mampu tambah lagi kerusi di peringkat Parlimen di seluruh negara. Peluang kita nampak lebih cerah sebab kebanyakan rakyat sudah serik dengan kerajaan PH meskipun hanya memerintah selama 22 bulan.
Masyarakat Cina khususnya dilihat sudah kembali dan kita akan terus berusaha untuk menarik sokongan mereka. Di Perlis, kita yakin tidak ada masalah mengekalkan DUN Titi Tinggi selain merampas kembali DUN Indera Kayangan.
Peluang anda dipilih sebagai calon PRU-15?
Saya serah sepenuhnya kepada pucuk kepemimpinan untuk menentukannya. Apa yang penting, saya terus bekerja untuk rakyat. Kita hanya mampu merancang, tuhan yang menentukan segala-galanya.
Kalau diberi peluang, saya lebih teruja untuk bertanding di kerusi DUN Indera Kayangan kerana ingin merampas kembali daripada PKR sejak dua penggal lalu. Kita sudah menjalankan kerja-kerja mendekati pengundi sejak dari awal. Apa yang penting, pemilihan calon biarlah yang disenangi rakyat. Siapa pun diberi peluang, saya akan terus membantu dan berkhidmat untuk rakyat dan parti.
KEHIDUPAN
Bagaimana bahagi masa kerjaya dan politik ?
Saya perlu membahagikan masa antara kerjaya sebagai usahawan dan ahli politik. Saya minat dalam bidang politik. Tidak menjadi masalah untuk saya membahagikan masa untuk dua perkara yang penting dalam kehidupan saya ini. Apa yang penting, saya gembira dengan keadaan sekarang.
mohd
Saya masih tidak mempunyai teman lelaki istimewa dan belum lagi terfikir bila akan menamatkan zaman bujang. Buat masa ini, biarlah penghuni Indera Kayangan menjadi ‘teman lelaki istimewa’ saya. Saya sanggup berkhidmat demi kebahagian penduduk setempat. Kalau boleh, calon lelaki pilihan itu mestilah yang memahami diri saya sebagai ahli politik selain mempunyai persefahaman. Tidak kisah jika tidak berharta, apa yang penting memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya.











