Rom tidak dibina dalam sehari - Utusan Malaysia

Rom tidak dibina dalam sehari

BUKAN mudah untuk membangunkan Malaysia termasuk pembinaan KLCC kerana ia memerlukan masa bukan sekejap dengan pelbagai cabaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCIPTA sebuah tamadun yang kompleks memerlukan masa bukan sekejap untuk direalisasikan. Bukan sekelip mata untuk menjadikan ia sebuah bangsa dan budaya yang naik seiring dengan kotanya.

Kehebatan kota Rom diungkapkan dalam pepatah: “Kota Rom tidak dibina dalam sehari”. Pencapaiannya menyaksikan perit jerih dan pertumpahan darah untuk mendominasi kuasa pemerintahan.

Ya, kejayaan tidak datang dengan mudah. Kejayaan tidak jatuh bergolek ke kaki dan anda cuma perlu mengutipnya. Itu semua hanyalah angan-angan di siang hari.

Ada seorang rakan semalam paraphrase kepada petikan Shakespeare dalam lakonan ‘Julius Caesar’.

Begitupun perlu disebutkan di sini, tokoh Rom yang menyatakan “It is not that I love Caesar less, but that I love Rome more”, adalah Brutus, anak angkat Caesar. Brutuslah yang bersama-sama dengan Casca, Cassius dan konco-konco komplotnya telah menikam dan membunuh Caesar.

Apabila Brutus menikam Caesar, bapa angkatnya memandang mata Brutus dan berkata: “Et tu Brute”, “Engkau pun Brutus”, lalu Caesar jatuh dan menghembuskan nafas terakhir.

Apakah kita boleh menjadikan Brutus sebagai contoh? Orang politik kerap memberi alasan yang ‘noble’ apabila melakukan yang salah. Demikianlah apabila ada pihak cuba mengatakan sebarang seruan ke arah kesatuan Melayu dianggap rasis atau perkauman. Mana-mana tokoh atau pihak yang menyeru digemblengkan kesatuan atau permufakatan umat Melayu akan terus dilabel rasis termasuk oleh segelintir Melayu-Muslim sendiri.

Dalam banyak ketikanya, kita sesekali mengagumi kesatuan orang lain untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki.

Berpecah

Dan tidak ada salahnya orang Melayu mencontohi sentimen seumpama ini. Bak kata pepatah Inggeris: “Imitation is the best form of flattery” (Peniruan adalah bentuk sanjungan yang tertinggi).
Dalam dua pilihan raya umum (PRU) yang lepas terutamanya, corak pengundian mereka tidak dibezakan sama ada seseorang itu dari aliran berbeza. Lebih menarik lagi, ramai mengakui ahli-ahli komponen dalam parti-parti Melayu turut mengundi parti lain, sekali gus menyebabkan parti Melayu yang mereka anggotai kalah teruk.

Di ambang PRU ke-14 lepas, kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR serta Amanah.
Inilah kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri dalam era moden yang tidak dapat menguruskan perbezaan. Atau barangkali permainan pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’.

Secara kasarnya dari keputusan PRU-14 boleh dianggarkan UMNO memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, Pas (33%), Bersatu (15% ) dan PKR/Amanah (10%).
Sudah berakhirkah perpecahan para pemimpin Melayu selama ini? Ya, belum lagi.

Pengorbanan

Tidak insafkah kita lagi selama lebih 500 tahun orang Melayu dijajah, dihina, dipijak dan diperhambakan. Portugis, Belanda, British, Jepun, Siam, bahkan siapa sahaja terpaksa kita pertuankan.
Setelah sekian lama dijajah dan dihina, kita berjaya membebaskan diri kita semula. Ramai yang terkorban dalam usaha ini. Datuk Bahaman, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong, Rosly Dobi, Mat Salleh, Dato Sagor dan lain-lain lagi. Tidak kurang berbakti ialah pemimpin-pemimpin seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Setelah pengorbanan dan perjuangan mereka berhasil apakah kita berhak mensia-siakan kemerdekaan yang diperoleh selepas lima abad ditindas dan diperhambakan? Pada 1511, Sultan Melaka mungkin berpendapat bahawa kesultanannya akan kekal selama-lamanya. Hari ini kita tahu yang ia tidak kekal. Apakah tidak mungkin kemerdekaan kita juga tidak kekal, bahkan hilang dalam sekelip mata, kerana kecuaian kita?

Nukilan ini bukan bertujuan untuk menggemparkan sesiapa. Yang mahu disebutkan ini ialah yang nyata dan berkemungkinan. Kita mungkin tidak akan dijajah semula seperti mana British dahulu menjajah kita. Tetapi penjajahan dan penghinaan ke atas kita boleh dibuat dalam pelbagai cara dan bentuk.

Yang bahananya ialah apabila ‘nilai-nilai hak asasi’ dijadikan gong politik pihak yang mahu meragut perpaduan orang Melayu.

Maka kita orang Melayu pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk. Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Ingatlah, bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×